Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Alhamdulillah...dengan izinNya penulis masih
bisa menghirup nafas segar nikmat kurniaan ALLAH padanya. Alhamdulillah berkat
kasih sayangNya penulis masih bisa menyusun bicara, menyusun langkah menjadi
musafir & pengembara di bumi ALLAH ini. Al-Hamdulillah berkat kesabaran
penulis, dia akhirnya sampai menggabung tali persahabatannya yang jauh terpisah
di Seremban. Hari ini dah 22 Ramadhan 1435H...cepat betul masa berlalu ya...
Rindu pada sahabat yang dianggap sahabat
dunia akhiratnya ada pada waktu susah & senang sungguh menebal dalam jiwa.
& persahabatan kerana ALLAH itu memungkinkan yang jauh menjadi dekat. Biar
perlu merentas masa, biar beku kaki menunggu waktu, biar kebas pinggang menanti
saat bertemu, biar jauh perjalanan memakan masa yang lama, semua ujian dalam
persahabatan itu terangkum dalam erti kata sebuah pengorbanan.
Bertuah penulis punya ramai sahabat yang
berkawan dengannya kerana ALLAH, bertuah kalian punya sahabat yang tinggi
imannya, bisa menjaga saat kita rapuh, bisa memeluk saat kita sejuk, bisa
menghulur saat kita jatuh, bisa menenangkan saat jiwa kita resah, mengingatkan
kita kepada ALLAH Yang Maha Esa. Bersyukurlah kerana kalian punya sahabat yang
mengambil berat tentang diri kalian termasuklah penulis sendiri.
Tanpa sahabat dia seakan hilang arah, tiada
kawan yang mahu membimbing, tiada teman yang mahu memimpin. Tanpa sahabat
seolah hidup kosong tanpa roh kasih sayang. Tanpa sahabat mungkin tiada
kebaikan yang datang mendekat. Sahabat menjadi cerminan diri kita. Dek kerana
itu penulis sanggup lakukan apa sahaja semata-mata mahu melihat sahabatnya
bahagia dunia akhirat. Jika doa yang dipinta, doalah yang diberi, jika kasih
sayang yang dimohon, kasih sayanglah yang dikongsi, jika perkongsian itu
meringankan, berkongsilah walau sedih atau bahagia. Itulah sahabat hingga ke
syurga.
Mengembara adalah salah satu cara untuk
penulis meluangkan masanya bersama-sama sahabat. Ya, jika dengan mengembara
& bergelar musafir itu banyak mendatangkan ketenangan & kebahagiaan
pada sahabatnya, dia sanggup asal tidak melanggar hukum ALLAH. Ya, jika dengan
bergelar musafir itu menyenangkan hati sahabat & membuat dia tersenyum
bahagia tanpa dipaksa, itulah kebahagiaan hakiki bagi penulis.
Kali ini pengembaraannya membawanya bertemu
dengan insan-insan yang ibarat kain putih. Siapa mereka? Malaikatkah? Atau
manusia luar biasa? Cuba kalian teka apa jawapannya siapa ya yang ibarat kain
putih? Sungguh penulis rindu pada zaman dia ibarat kain putih. Kanak-kanak
ibarat kain putih & ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi corakan
yang baik atau sebaliknya.
Ya, penulis sempat berbual-berbual &
bertemu beberapa orang kanak-kanak sekolah tahfiz. Mereka sangat bijak. Yalah
jadi anak yang rapat dengan al-Quran ini sangat banyak kelebihan mereka. Banyak
benda yang mereka mahu ceritakan pada penulis & mendengar celoteh mereka
sangat membahagiakan penulis. Entah kenapa setiap kali berhadapan dengan
kanak-kanak seperti mereka duduk selama mungkin pun tak mengapa mesti ada satu
ulitan rasa bahagia & tenang sekali gus membuang terus segala masalah yang
bersarang di jiwa.
Mereka ibarat kain putih, & tiada
terpalit walau satu dosa pada kanak-kanak ini. Memang pantas penulis rasa
tenang & bahagia di samping mereka paling bahagia bila dapat peluk cium
mereka dengan sepenuh hati sepenuh kasih sayang. Sudah tentu mendengar cerita
mereka yang tiada dosa banyak mengajar penulis untuk jujur dengan insan yang
disayanginya.
Bermula satu cerita hingga bersambung ke
cerita seterusnya. Kanak-kanak paling seronok bila kita menjadi pendengar yang
baik pada mereka & menyukai apa yang mereka suka. Sebagai contoh mereka
asyik bercerita pasal makanan & kita turut sama suka pada makanan yang
digemari mereka, apa lagi semakin rancaklah perbualan mereka. Tambahan penulis
memang sangat suka mendengar cerita kanak-kanak, lagi dilayan & didengar
seolah-olah seorang ibu mendengar bicara kata anak-anaknya.
Penulis ibarat berada di alam kanak-kanak
mendengar mereka bercerita, berbual-bual, memeluk, bermain-main dengan mereka
bukan tujuan menunjuk atau mahu memanjakan kanak-kanak ini tetapi memang suka
pada gelagat lucu kanak-kanak. Ibarat hilang segala duka & ujian yang
menimpa dirinya. Ya ALLAH andai penulis bisa memutar masa ingin sahaja dia
hidup di alam kanak-kanak buat selamanya.
Menjadi kanak-kanak yang periang & dapat
membahagiakan insan-insan sekelilingnya cukup memberi manfaat berharga bagi
mereka yang mengetahui & berfikir dengan nikmat pemberian ALLAH ini. ALLAH
menjadikan kita terdiri dari bermacam-macam usia, daripada bayi, kanak-kanak,
remaja, dewasa, tua & meninggal dunia semuanya punya hikmah yang sangat
berharga.
Ada tujuan ALLAH ciptakan kanak-kanak untuk
kita saling memikirkan dengan sifat keanak-anakan merekalah mereka bisa jadi
sangat pintar, bisa berlaku jujur pada semua manusia, bisa membahagiakan
sesiapa sahaja yang melihatnya, punya keinginan yang tinggi untuk belajar &
tahu sesuatu yang baharu. Itulah kanak-kanak ibarat kain putih.
Bagaimana mahu penulis corakkan anak-anak
kandungnya yang ibarat kain putih yang bakal menjadi generasinya nanti? Ya,
dengan mencorakkan dirinya dengan corakan Islam terlebih dahulu. Memperbaiki
diri menjadi insan yang lebih baik di sisi ALLAH itu yang lebih utama sekarang
ini. Sambil-sambil tu boleh intai-intai macam mana nak memahami kanak-kanak
yang ibarat kain putih ini, supaya nanti senang untuk berdepan dengan mereka
kelak. Sungguh memang jiwa kanak-kanak masih menebal dalam diri penulis.
Bilang sahaja bagaimana nakal pun kanak-kanak
tersebut mesti ada suatu keistimewaan yang bisa membuatkan penulis jatuh cinta
pada kanak-kanak ini. Kasih sayang antara punca pengikat hati antara penulis
dengan kanak-kanak. Mereka sangat comel, mereka sangat bahagia, tiada istilah
sedih dalam kamus hidup mereka, apa yang mereka tahu nak buat itu nak buat ini
tak kisah apa yang bakal terjadi.
Jika diizinkan ALLAH penulis mahu zuriat yang
sangat ramai memeriahkan kehidupannya, berbakti pada Islam & menjadi
mujahid, mujahidah Islam, membahagiakan dirinya, menjadikannya ibu yang mithali
pada pandangan ALLAH. Dia nak mencurahkan sepenuh kasih sayang pada
anak-anaknya nanti. Sementara masih tiada anak ini, dia gunakan kesempatan ini
untuk mengenali watak-watak mereka. Ya benar, kanak-kanak sangat suka dibelai
dengan kasih sayang. & bila dia benci sesuatu dia akan benci sesungguhnya.
Kanak-kanak tak pandai untuk menipu walau perasaan sekalipun mereka bakal tahu.
Setakat ini dahulu pengembaraan penulis
tentang kanak-kanak ibarat kain putih. Cubalah untuk kita mencontohi
sifat-sifat mulia yang ada pada kanak-kanak. Fahamilah mereka, usahlah kita
mudah melenting bila mereka tidak memahami segala arahan & percakapan kita.
Mungkin ada silap dari sudut penyampaian kita. Sungguh dari lubuk hati yang
paling dalam kanak-kanak sangat memberi kesan pada penulis dalam kehidupannya.
Banyak pengalaman yang ditimba penulis saat bersama insan yang ibarat kain putih
ini. Belajarlah dari kewujudan mereka.
Salam Ramadhan kareem 22 Ramadhan 1435H buat
semua pembaca setia blog ini. Hargailah kanak-kanak yang ada di samping kita. Kerana kita semua juga bermula kehidupan dengan kanak-kanak & kita pernah jadi kanak-kanak. Setakat
ini dulu ya coretan hati mainan rasa penulis untuk hari ini. Moga memberi
manfaat pada ummah. Moga kita semua bisa belajar sesuatu dari coretan ringkas ini. Sesungguhnya kita adalah pengembara & musafir di bumi ALLAH, & gelaran musafir itu tidak sesekali mematahkan semangat kita untuk terus belajar sesuatu yang baik.
Siiru ‘alaa barakatillah...
No comments:
Post a Comment