Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...berkat kasih sayangNya
penulis masih bisa meneruskan penulisannya, masih punya nyawa untuk terus
menyebar kebaikan, masih punya kesempatan untuk mengucap syukur pada ALLAH di
atas setiap nikmat & musibah pemberianNya. Al-hamdulillah Ya ALLAH penulis
bangun dari tidur bersama syahadahNya. Islam & iman masih berbunga di
hatinya walau terkadang ia naik & terkadang turun.
Doa dikirim buat semua sahabat yang sudi
ziarah blog yang serba kekurangan ini. Ketahuilah bahawa kehadiran penulisan
ini adalah untuk mengisi masanya sebagai seorang Muslimah kerana dia hanya
manusia biasa yang terdetik di hati mahu mengajak diri & semua manusia
kepada kebaikan & Islam terutamanya. Doa buat kalian moga sentiasa mendapat
kebahagiaan, kebebasan & ketenangan dunia akhirat. Ameen.
Ya ALLAH, hati penulis sedih bertambah pilu
kerana sekali lagi dia bakal & kena berjauhan dengan keluarganya serta
bergelar musafir atas sebab kerja. Hari terakhir di kampung penulis. Meninggalkan kampung halaman tercinta. Ini
adalah takdir yang tertulis padanya jadi, penulis kena telan walaupun pahit.
Yalah, nak sihat kena telan ubat yang pahit kan? Nak kaya kena usaha lebihkan?
Nak dapat cinta ALLAH bukan boleh duduk goyang kaki sahaja kan? Jadi,
sahabat-sahabat terus mendoakan penulis semoga musafirnya di bumi ALLAH ini
memberi kebaikan pada ummah sekelilingnya.
Terima kasih atas peluang untuk penulis terus
berkarya di blognya Ya ALLAH, walau nanti tiada siapa yang mahu membaca
bait-bait katanya. Hari ini penulis terpanggil mengisi blognya dengan ‘entri’
tentang ikhlas sekeping hati setelah mendapat khabar yang kurang baik daripada
sahabat-sahabatnya. Sebelum itu izinkan penulis berkongsi salah satu kata-kata
sahabat yang disimpan kemas dalam telefonnya yang berbunyi: “Perasaan ditemani
ALLAH merupakan penghibur dalam kesepian, pelindung dalam ketakutan, perencah
keamanan diri, pencorak keceriaan jiwa, penawar segala duka, peneman di kala
senang & payah...hati terdetik diketuk rasa rindu padaNya, hati redha menerima
segala ketentuanNya...itulah erti tawakal yang sebenar...Hiasi nurani diri
dengan amal ibadah & munajat kepadaNya...Semoga rahmatNya sentiasa
bersamaMu.”
Al-Hamdulillah, usai meneliti keputusan
peperiksaan Bahasa Inggeris atau dengan kata lain UEPT yang dikhaskan kepada
graduasi-graduasi USIM yang tidak melepasi ‘band 3’ dalam MUET. Al-Hamdulillah
untuk peperiksaan kali ini keputusan penulis adalah baik, tetapi itu tidak
menjamin untuk dapat melepasi Hari Konvokesyen nanti. Penulis sebenarnya takut
bertambah debar hanya kepada ALLAH diserahkan segala urusan setelah berusaha
pada awalnya. Moga penulis redha walau apapun keputusannya nanti.
Sedihnya bila mendapat khabar ramai antara
sahabat penulis yang tidak mendapat keputusan yang baik. Bukan kerana mereka
tak berusaha, bukan kerana mereka malas. Ini semua kerja Tuhan. Pantas
al-Fatihah & doa dihadiahkan kepada sahabat-sahabatnya moga mereka sabar
& tenang menghadapi ujian ini. Izinkan penulis memetik kata-kata dalam buku
pada halaman 18 & 20 buku bertajuk, ‘Angguk Geleng Himpunan Kisah Dakwah
Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna Hassan, terbitan Telaga
Biru Sdn. Bhd yang berbunyi:
“Hidup adalah silih berganti antara nikmat
& musibah. Apa yang penting hati kita mesti selalu bersangka baik dengan
takdir tanpa mengurangkan sedikit pun kesungguhan kita untuk mentadbir.
Pujuklah hati kita dengan selalu berbisik, insyaALLAH apa sahaja yang berlaku
pasti ada hikmahnya.”
“Jangan sesekali mempersoalkan apa yang telah
ALLAH tetapkan untuk kita. ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat
hambaNya. Boleh jadi sesuatu yang kita pandang hari ini sebagai musibah
merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari.”
Moga kata-kata di atas dapat membalut luka
& kesedihan sahabat-sahabat penulis. Ingatlah, ALLAH menguji hamba-hambaNya
bukan kerana benci, tetapi kerana terlalu sayangkan kita & ALLAH pasti
mengetahui bahawa setiap hambaNya mampu menghadapi setiap ujian & mehnah
yang telah diaturNya. Tengah bersedih dengan khabar sahabat-sahabat, datang
satu lagi berita tentang kemalangan seorang sahabat lain. Al-Hamdulillah,
bersyukur kepadaNya kerana sahabat penulis tidak mengalami sebarang kecederaan
cuma mungkin terkejut dengan kemalangan yang diatur itu. Kembali penulis
membelek memuhasabah diri, betapa kuasa doa untuk sahabat mampu mengelak
sahabatnya dari musibah.
Kembali pada buku bertajuk, ‘Angguk Geleng
Himpunan Kisah Dakwah Satira’ karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi & Husna
Hassan, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd pada halaman 43 tajuk kecilnya adalah ‘Doaku
untukmu’. Kisah tentang dua orang sahabat karib yang tinggal berjiran
bernama Ahmad & Ali. Masing-masing dihimpit dengan kesempitan hidup tetapi
tak pernah putus berdoa pada ALLAH setiap kali singgah di masjid.
Ahmad bertanya pada sahabatnya apa doa dia
hari ini? Ali menjawab dia minta dimurahkan rezeki, Ali bertanya semula kepada
Ahmad & Ahmad hanya mengukir senyuman. Esoknya, Ali menceritakan berita
gembira bahawa doanya dimakbulkan dengan dia mendapat bonus dari majikannya.
Ahmad bertanya kembali hari ini Ali doa apa pula, pantas Ali menjawab dia
berdoa moga isterinya selamat bersalin. Seperti kebiasaan Ali kembali bertanya
soalan yang sama tetapi Ahmad hanya tersenyum.
Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu
bahawa isterinya selamat bersalin & doa keduanya juga dimakbulkan Tuhan.
Ali berdoa untuk kali ke tiga agar disembuhkan penyakit anak bongsunya. Ahmad
dengan tenang memberi nasihat supaya Ali berdoa dengan bersungguh-sungguh &
istiqamah. Setelah beberapa hari keadaan anak bongsu Ali bertambah baik.
Berkatalah Ali, “Aku tak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku
doakan mustajab. Tapi kau...” Ali mengatakan doa Ahmad tak mustajab.
Ali bertanya, “Aku hairan doa kau tidak
makbul tetapi kau masih boleh tersenyum?” Pantas Ahmad menjawab, “Sebenarnya
doaku telah banyak dimakbulkan ALLAH. Syukur al-Hamdulillah.” Ali masih belum
berpuas hati apa doa Ahmad yang dimakbulkan ALLAH? Mari kita tengok apa jawapan
Ahmad yang menyentap jiwa kecil penulis, “Doaku sejak dulu hanya untuk kau,
sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar ALLAH makbulkan setiap apa yang kau
doakan kepadaNya.”
Apa moral di sini? Doa kita untuk sahabat,
saudara-mara & orang lain sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH. Apatah lagi
jika kita berdoa tanpa pengetahuan orang yang kita doakan. Itulah keikhlasan.
Sayangnya, hal ini jarang kita buat. Manusia selalu mementingkan diri, walaupun
dalam doanya kepada ALLAH.
Sekali lagi izinkan penulis berkongsi sebuah
puisi yang direkanya bertarikh, 12052014 bertajuk, ‘Ikhlas Sekeping Hati’. Moga
memberi manfaat pada hati yang sentiasa merindui bertemu ALLAH &
mengharapkan keredhaaNya dalam setiap helaan nafasnya.
Lubuk
hati paling dalam
Menyimpan
aneka perasaan
Mewarnai
kehidupan
Seketul
daging itu
Punya
kuasa sama badan
Punya
kuasa sama akal
Berjalan seiring apa ditelan
Lubuk
hati paling dalam
Merungkai
cetusan rasa
Mewarnai
kehidupan mengelak kelam
Sekeping
hati itu
Butuh
keikhlasan menggunung
Butuh
pengorbanan nan setia
Butuh
sabar menggugah dunia
Biar
bisa bertatih
Pantas berlari laju menuju ALLAH
Ikhlas
sekeping hati
Dipersoal
Ilahi
Bagaimana
perimu melayan dunia
Suka
duka kadang berganti
Ikhlas
itu diperlukan
Mengoyak
robek segala keresahan
Menghempas badai kemarahan
Hati
itu
Tingkahnya
tenang menongkah badai
Rianya
meniti kesulitan
Bukan
kerana hipokrit meronta
Kerana ikhlas berputik di jiwa
Bila
ikhlas
Merajai
hati memakna penuh sejati
Hati
berentak senang
Pahit
manisnya hanya ditelan
Dia
tahu akhir kehidupan bila ikhlas & redha
Berpimpin
tangan menuju syurga
Membawa si jasad menghadap Tuhan
Keikhlasan kunci utama sebuah kebahahagiaan.
Bila miskin kita ikhlas itu tanda hati kita tenang. Bila kaya kita ikhlas itu
tanda hati kita senang. Bila sakit kita ikhlas itu tanda Allah sayang. Semoga
kehadiran ‘entri’ ini mmberi pengajaran berguna terutamanya kepada penulis,
sahabat-sahabat juga generasi yang bakal dilahirkan penulis untuk Islam.
Kehadiran ‘entri’ ini bukan untuk berbangga-bangga, bukan juga untuk membuka
aib manusia, bukan sekadar memenuhi pengisian blog semata tetapi untuk diri ini
yang lemah sentiasa mengharap ada kata nasihat & tazkirah sebagai
penghadang dari terus terjerumus dalam kejahatan @ kemungkaran.
Dek kerana saya sayang sahabat-sahabat kerana
ALLAHlah hati saya meronta-ronta untuk menyiapkan ‘entri’ ini. Al-hamdulillah
akhirnya selesai berkat petunjuk dari ALLAH & doa sahabat-sahabat yang tak
pernah putus untuk penulis. Ya, sayang kerana ALLAH itu memungkinkan segala
kebaikan mewarnai kehidupan. Setakat ini dahulu coretan hati luahan rasa insan
serba kekurangan dalam blog QalamWardahZinnirah ini. Moga memberi manfaat buat
ummah. Moga menjentik hati kita untuk terus mencintai ALLAH.
Siiru ‘alaa barakatillah...salam 12 Syawal
1435H.
*Selamat bergelar musafir di bumi ALLAH. Meneruskan penulisan blog di tempat baharu nanti.
No comments:
Post a Comment