Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...dengan izinNya penulis masih
meneruskan penulisannya di blog ini. Ucapan syukur tidak terhingga kepada ALLAH
kerana telah mengurniakan iman & Islam yang sentiasa menghiasi kehidupan
penulis dan sahabat-sahabat. Anugerah terindah bergelar seorang muslim, jadi
tidak salah untuk kita sentiasa mengucapkan syukur kepada ALLAH. Tidak dilupa
selawat & salam kepada baginda s.a.w yang telah terlebih dahulu pergi
meninggalkan kita. Namun usah sedih, kecintaan Rasulullah s.a.w terhadap
umatnya tak pernah putus.
Salam 10 Syawal 1435H bersamaan 6 Ogos 2014M.
Sedar atau tidak kita telah melewati bulan Ogos, penggal akhir tahun untuk
tahun 2014. Bulan Ogos terkenal dengan bulan kemerdekaan Malaysia 31 0gos 1957.
Bukan bulan kemerdekaan yang ingin penulis ceritakan hari ini, penulis
sebenarnya nak bercerita tentang bulan Syawal, bulan di mana kita menyambut
hari raya Aidilfitri.
Tak banyak yang penulis kongsikan tentang
suasana lebaran di kampung, cukup untuk penulis nyatakan di sini, lebaran di
kampungnya tahun ini serba sederhana. Makanan utama hari raya kami di Kelantan
jika mengikut adat keluarga kami adalah nasi dagang. Nasi yang berlauk ikan
gulai kuning ataupun udang masak gulai bersamanya ada telur, & sambal. Tentunya
sedap kerna ia masakan utama mama ketika hari raya pertama. Tak ketinggalan
ketupat, tapai, & beberapa jenis biskut serta kuih muih yang lain. Paling penulis
suka adalah kek. Kek adalah kuih yang sangat sedap aneka kek dibuat oleh mama
kerana dia tahu anak-anaknya sangat suka makan kek.
Al-Hamdulillah hari raya tahun ini penulis
masih diberi kesempatan menziarahi rumah saudara maranya di samping memenuhi
undangan majlis perkahwinan sahabat. Ramai saudara penulis tidak menyangka dia
telah tamat pengajian & hanya menunggu tarikh konvokesyennya. Maklum sahaja
anak perempuan ini jarang menjengah ke rumah saudara maranya kecuali di bawa
oleh mama ketika berhari raya. Dek kerana itu, hari raya pertama kami
sekeluarga tidak lekat di rumah. Kerjanya singgah rumah saudara mara yang masih
hidup. Saling kenal-mengenali bertegur-sapa, berbual-bual mesra berkongsi
cerita. Penulis suka suasana tersebut terutamanya bila ada kanak-kanak yang
menghiasi kemeriahan hari rayanya. Tak puas dia menyakat kanak-kanak tersebut.
Tahun ini kami sekeluarga tak berkesempatan
bergambar hari raya memandangkan penulis terlupa membawa kameranya. Kamera tinggal
kat rumah, jadi memang tak ambil gambarlah. Simpan sahaja kenangan tersebut di
lubuk hati paling dalam kerana kenangan berhari raya bersama-sama keluarga
adalah kenangan paling indah sepanjang hayatnya.
Di kesempatan ini penulis nak cerita sikit,
alhamdulillah ‘English Test’ yang terpaksa di ambilnya telah melayakkan dia
menamatkan pengajiannya di peringkat sarjana muda dalam Fakulti Pengajian
Bahasa Utama bidang Bahasa Arab & Komunikasi dengan kepujian. Keputusan peperiksaan
tersebut dah keluar. Sekarang tunggu detik 15 &16 November 2014 untuk dia
bergelar graduasi universiti. Berkat doa semua terutamanya ibu ayah &
sahabat-sahabat serta mungkin insan yang dalam diam mendoakannya, dia
memperoleh kejayaan ini. Terus mendoakan kejayaan penulis & sahabat-sahabat
satu ‘batch’ dengannya berjaya menerima segulung ijazah di Hari Konvokesyen
nanti. Ameen, InsyaALLAH. Berkeinginan membawa mama & ayah merasai
bagaimana perasaan bila puteri sulungnya menggengam segulung ijazah.
Kalam hari ini tidak terhenti di sini sahaja,
sebenarnya penulis sempat merekayasa sebuah puisi bertajuk, ‘Dendang Lebaran’.
Jadi apa kata kita baca dulu bait kata indah ini! Puisi sebagai pengganti
karangan yang panjang-panjang. Tentu kalian bosankan asyik menghadap blog QalamWardahZinnirah
yang berjela dalam bentuk karangan. Jadi kita tukar selera sekali-sekala
memandangkan tulis puisi ini antara hobi & minat penulis. Tak susah pun nak
tulis puisi ini hanya butuh ilham & kekuatan serta kesungguhan, dah siap
satu puisi seperti di bawah:
Datang
duhai Syawal
Meninggal
kenangan Ramadhan
Menangisi
kepergian berpuasa
Meratapi keindahan beribadah
Hadir
Syawal padanya
Pelengkap
utama Ramadhan
Padanya
ada bahagia
Padanya
ada kemaafan
Padanya
ada kasih sayang
Padanya ada kemenangan
Dendang
lebaran
Menunjuk
si menang
Bertambah
ketaqwaannya
Menyerlah
si kalah
Tenggelam
bersama nafsunya
Kalah
menang
Terzahir di akhir perjuangannya
Syawal
Hadirmu
memberi seribu makna
Pengikat
kasih sayang keluarga
Kenangan
manis tercipta bersama
Menambah ukhuwwah sesama saudara
Usah
terlupa
Dalam
leka meraikan Syawal
Dalam
senang menyambut lebaran
Ibadahmu
usah ditinggalkan
Insan
istimewa turut diraikan
Sebarkan
kebahagiaan
Sebarkan
kebaikan
Kepada
semua insan
Kerna
di hari lebaran
Semua
berhak menikmati
Kemenangan bersama Tuhan
Dendang
lebaran
Di
pagi Syawal
Indah
bersalut keredhaan Tuhan
Manis
berbekal keimanan
Ceria bersama hubungan insan
Baiklah, setakat ini dahulu perkongsian
penulis untuk hari ini. Moga ALLAH sentiasa berada di ingatan kita walau apa
pun yang terjadi & bakal berlaku nanti. Moga ‘post’ ini memberi manfaat
& kebaikan pada ummah. Siiru ‘alaa barakatillah...
*Mohon maaf buat masa ini 'post' penulis tidak mempunyai sebarang gambar kerana masalah teknikal rangkaian internet. Mungkin pada masa akan datang ada di hias bersama-sama gambar supaya pembaca tak hanya meneliti perkataan semata. Terima kasih atas sokongan semua.
No comments:
Post a Comment