Bismillahirrahmanirrahim...
Al-Hamdulillah Ya ALLAH penulis masih di sini
meniti harinya sebagai seorang muslimah berharap & berdoa pada ALLAH moga
diberi kekuatan untuk meneruskan hidup yang mendatang. Zikir mengingati ALLAH
menjadikan hati tenang menghadapi mehnah bersilang duka & bahagia itu
fitrah sang manusia. Syukur padaMu Ya ALLAH kerana memberi penulis peluang
meluah rasa & berbagi cinta pada semua insan yang cuba mendekatinya.
Percayalah ALLAH sangat mengasihi insan yang
mengasihi saudaranya melebihi diri sendiri. Usah kita pentingkan diri sendiri
semata kerana rugi kita yang menanggungnya. Hari ini penulis terpanggil untuk
berkongsi sebuah buku novel tarbiah bertajuk ‘Relasi-Mencari Sahabat Sejati-
karangan Hilal Asyraf, terbitan Galeri Ilmu. Buku novel berkisar tentang persahabatan
dibaca & dihadam bukan untuk imaginasi semata tetapi untuk memberi
pelajaran pada diri.
Melalui pembacaan kita bisa menambah
pengalaman, melalui pembacaan kita belajar berkongsi kasih sayang & melalui
pembacaan penulis kenal & belajar apa itu sahabat yang sejati. Buku ini
menyedarkan penulis betapa tali persahabatan yang bertunjangkan kerana ALLAH
bakal membawa sahabat-sahabat ini menuju syurga. Manis pahit dalam persahabatan itu seharusnya
menjadi asam garam dalam kehidupan manusia yang menghargai persahabatan.
Watak Saifullah & Senior ditonjolkan
dalam novel tarbiah ini sebagai watak sahabat yang sangat baik & akrab
walaupun mereka berbeza dari segi umurnya. Mari kita singkap kata-kata dalam
buku ini pada halaman 4 tentang sahabat yang ditutur oleh senior pada
Saifullah, “Jika kamu ingin meletakkan darjat sahabat pada seseorang, maka
kamu perlu ingat bahawa setiap manusia mempunyai niat & niat seseorang itu
akan terbukti dalam amalannya. Jangan sesekali kamu lupa bahawa sahabat kamu
merupakan bayangan diri kamu yang sebenar. Sahabat mampu mempengaruhi sikap
& kelakuan kamu.”
“Ketahuilah, sahabat ialah orang yang sanggup
terjun ke neraka untuk menyelamatkan kamu sekiranya kamu jatuh ke dalamnya. Sahabat
ialah orang yang beriringan dengan kamu ke syurga. Sahabat ialah mereka yang
ikhlas menghubungkan silaturrahim denganmu dan tidak mengharapkan apa-apa dalam
perhubungan kamu selain redha ALLAH semata-mata. Ringkasny, sahabat ialah
mereka yang sentiasa mendekatkan diri kamu kepada ALLAH dan RasulNya.”
Itu
makna sahabat yang cuba dirungkaikan dalam buku ini. Ya buku ini memang buku
novel, tapi isinya membina bagi sesiapa yang pernah membaca buku ini. Pengorbanan,
keikhlasan & kesabaran sangat diperlukan dalam sebuah persahabatan.
Kemaafan juga jika disuntik bersama bakal membawa keharmonian dalam
persahabatan. Penulis ini bukanlah insan yang arif dalam persahabatan kerana
dia hanya insan biasa yang cuba meletakkan sahabat dalam kondisi dirinya. Penulis
senang punya sahabat yang ramai agar mudah untuk dia meniti kehidupan menuju
ALLAH Yang Maha Esa. Yalah, bila bersahabat ramai yang menegur bila salah,
ramai yang mencurah kasih bila dirasa kosong.
Pendapat
penulis pula tentang sahabat adalah, sahabat insan yang menjadi cerminan diri
seseorang. Bila sahabat yang baik kita berkawan baiklah diri kita. Sahabat sampai
syurga itulah kata-kata yang sering penulis lontarkan pada sahabat-sahabatnya
tak kiralah umur mereka muda dari penulis atau lebih berusia. Bila bersahabat
kerana ALLAH kita akan rasa sangat bahagia tenangnya hanya Tuhan yang tahu kerana
kita bukan mengharap pada harta, pangkat, kecantikan, kelebihan @ keistimewaan
yang ada pada sahabat kita tetapi kita gantungkan pengharapan kita pada ALLAH
yang menetukan segalanya.
Pada
halaman 191 watak Saifullah teringatkan kata-kata ayahnya, “Sahabat yang
baik ialah sahabat yang kamu cinta kepadanya & dia cinta kepadamu, sahabat
yang kamu mendoakannya, & dia mendoakan kamu.” Ya benar sekali
kata-katanya. Bila bersahabat pada penulis usahlah dirinya mengharap lebih
kerana dia juga manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Kita banyakkan
memberi pada sahabat & elakkan dari banyak meminta. Kita jadi insan yang
redha & sering memaafkan bila sahabat melukai atau dengan tidak sengaja
membuat kita berkecil hati. Memang senang untuk diluahkan dengan kata-kata tapi
sukar untuk dilakukan oleh tindakan kita. Di sinilah mujahadah memain peranan. Di
sinilah, persahabatan kita saling teruji.
Mana
ada kehidupan yang tak ditimpa tsunami, mana ada suami isteri yang tak
bergaduh, mana ada pantai tak ditimpa ombak yang ada manusia hidupnya sering
diuji. Bukan untuk melemahkannya tetapi untuk menguatkannya. ALLAH tahu
kemampuan hambaNya jadi lalui sahaja ujian & mehnah dalam persahabatan
dengan baik. Tak warna warni namanya sahabat jika baik sahaja tanpa ada badai
yang melanda.
Di
kesempatan ini, izinkan penulis mencoret doa buat sahabat-sahabatnya yang jauh
di mata tetapi dekat di hati sebelum menutup entri kali ini. Moga kalian bisa
thabat di medan perjuangan Islam. & Doa ini juga buat kalian yang menjadi
sahabat penulis dalam blog ini.
Ya ALLAH...aku punya sahabat. Izinkan aku menghadiahkan al-Fatihah
& doa buat sahabat-sahabatku moga mereka dikurniakan kebahagiaan &
kecemerlangan dunia & akhirat. Apa yang penting mereka mendapat ketenangan
dariMu di sepanjang hayat sahabat-sahabatku di dunia & akhirat. Biar dasar
persahabatan kami adalah keranaMu Ya ALLAH. Biar persahabatan kami yang terjalin indah ini adalah kerana mahu
menegakkan Islm & indahnya hidup bila diserikan dengan Islam Ya ALLAH.
Rahmatilah semua sahabatku. Moga mereka dikurniakan kemudahan dunia &
akhirat. Hanya doa & kiriman Al-Fatihah sebagai pengganti diri untuk semua
insan yang disayangi. Moga kalian sentiasa dipelihara oleh ALLAH kerana aku tak
sentiasa ada di samping kalian sama ada ketika susah atau ketika senang. Tak mengapa
ALLAH sentiasa ada di samping kalian
walau dalam keadaan bahagia atau derita. Aku serahkan urusan-urusan semua
sahabatku padaMu ALLAH. Kasihanilah mereka, limpahkanlah hidayahMu pada
sahabat-sahabatku kerana mereka insan yang membawaku kepadaMu Ya ALLAH...Paling
penting Engkau tetapkanlah iman sahabat-sahabatku. Ameen.
Penulis dan sahabat dunia akhiratnya...
Dah 12 tahun kami menganyam persahabatan..
Moga berkekalan hingga ke syurga...Ameen
No comments:
Post a Comment