Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah bersua kembali dalam entri
terbaru penulis untuk hari ini. Al-Hamdulillah hujan mencurah-curah sejak tiga
hari di kampung serambi Makkah penulis ini mengundang suasana suram &
sejuk. Biasanya suasana begini sesuai untuk aktiviti berhibernasi.
Al-Hamdulillah semangat penulis masih belum luntur dek suasana hujan yang
menyejukkan & mendinginkan dirinya. Penulisannya harus diteruskan juga.
Al-Hamdulillah...bumi serambi Makkah bermandi
hujan. Hujan rahmat penuh berkat menjemput redha ALLAH pada setiap saat.
InsyaALLAH...dengan izinNya hari ini penulis akan membedah buku. Lama
bergelumang dengan buku bertajuk, “Padanya Ada Cinta- untuk manusia Tuhan tidak
pernah memberi kisah yang sia-sia.- Karangan: Bahruddin Bekri.- Terbitan: PTS
Litera Utama Sdn. Bhd.”
Buku ini dijumpai setelah puas meneliti dalam
rak buku, buku apa lagi yang tidak di bacanya. Banyak juga buku yang belum
dikhatamnya, namun pantas tangannya membelek helaian demi helaian buku ini
sambil berkata, “Buku ni tentu milik adik perempuanku. Dia pun suka kumpul buku
macamku.” Seronok membaca buku ini membawa penulis menelusuri setiap kisah yang
dipaparkan dalam buku berhalaman 244. Kali pertama penulis mendengar &
mengetahui nama penulis buku ini & dia bijak menawan hati pembaca dengan
penggunaan kata ganti diri ‘saya’ dalam setiap watak yang dipaparkan.
Kebanyakan ceritanya hanyalah kisah
masyarakat biasa tetapi diolah dengan luar biasa. Gaya bahasa, klimaks cerita,
sungguh menarik penulis terus membacanya & paling utama setiap cerita ada
pengajaran yang tersirat. Apa yang pasti setiap kisah padanya ada cinta ALLAH.
ALLAH tak pernah lepas menyayangi & mencintai hamba-hambaNya. Buktinya
setiap manusia dikurniakan bermacam jenis nikmat & musibah berupa menghirup
udara, hidup aman, hidup aman, boleh bergerak bebas, punya keluarga,
teman-teman, berfikir dengan waras, punya ketenangan & bermacam lagi.
Walaupun cerita dalam buku ini hanya ringkas
terkadang hanya 2 muka surat, tetapi kisahnya memberi tarikan yang berbeza kerna
kebanyakannya adalah pengalaman penulis buku itu sendiri. Bagaimana dia
mengolah buku ini penuh dengan rasa cinta? Menjadikan setiap cerita tidak
sia-sia & luar biasa? Tahniah & syabas penulis ucapkan kepada penulis
buku ini yang juga merupakan penulis blog dingin.blogspot.com. ingin sahaja
penulis blog ini menulis setiap bait kata yang dikarang dalam buku tersebut
untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat.
Mari kita bedah buku ini! Penulis akan
kongsikan hasil pembacaannya dan komentar tentang buku ini. Pertama, pada
halaman 34 buku ini, sub topik, ‘Menjadi Pengarang yang Di sayang’. “Menulis
itu perlu 80% dengan hati & 20% dengan akal. Pastikan kamu menulis dengan
hati yang bersih, kerna itu yang terpamer kukuhpada tulisan kamu & itu yang
dirasai oleh pembaca. Setiap penulisan perlukan tema mengangkat harapan.” Bestkan nasihat ini?
Halaman 43 buku tersebut juga menyentap
sanubari penulis, “Jangan berputus asa kerna Tuhan lebih mengerti apa yang
terbaik untuk kita. Teruskan berusaha bagi menjadi yang terbaik dalam semua
perkara. Kita jangan sesekali mendahului kerja Tuhan.” Kita digalak
meletakkan ALLAH di hadapan tetapi usah mendahului kerja Tuhan.
Sub topik, ‘Hati yang Sulit’ berhalaman 56
pula bercerita tentang sabar, “Perkara paling sulit dalam hidup adalah cuba
mengerti sebab ujian Tuhan didatangkan kepada kita. Cukup sulit kerana jawapan
itu hanya ada pada sabar & kamu sendiri tahu sabar itu sendiri sudah cukup
sulit. Sabar terkadang hanya perlu seminit dua, terkadang berbulan, &
terkadang hingga kamu mati, kamu terus bersabar.” Setiap bait kata banyak
membina semangat penulis banyak juga menyedar diri penulis blog ini betapa dia
masih banyak perkara yang perlu dipelajari dari kehidupannya & kehidupan
insan lain.
Ya, setiap ceritanya mengetuk hati penulis,
mengajak penulis berkongsi tentang hebatnya buku ini. Kisah tentang kehidupan
manusia biasa yang sangan meruntun jiwa dek kerana pembawakan penulis buku ini
cukup menarik. Jom, teruskan penjelajahan ini!
Halaman 60 buku ini, sub topik, ‘Berfikir ke
Sana’ memetik kata-kata pada halaman ini, “Elak terlalu memikirkan hanya ke
arah kita. Berfikir semoga Tuhan menerima amal kita yang seadanya, berfikir
semoga Tuhan sentiasa memaafkan dosa-dosa kecil kita yang berulang, berfikir
semoga Tuhan mengampunkan taubat kita yang sambil lewa, menerima ibadah kita
yang separuh hati, solat kita yang tergesa-gesa & berfikir semoga Tuhan
tahu yang kita sedang menunggu keikhlasan datang. Cubalah halakan fikiran kita
ke sana.”
Dalam buku ini diceritakan juga peri
pentingnya menjadi manusia yang sentiasa berfikiran positif & bersangka
baik dengan semua makhlukNya. Jika kita nak orang sayang kat kita, kita kena
bertindak memberi sayang terleboh dahulu. Jika kita nak orang buat baik kat
kita, jadi kita kena buat baik kat orang dahulu. Itu fitrah.
Alam juga memainkan peranan. Halaman 94 sub
topik, ‘Saat Langit Tersenyum’ mengajak pembaca memahami & membaca alam. Memetik
karangan, “Langit itu harapan & langit mengisi hati sayan dengan
harapan. Apabila menatap langit, saya sedar Tuhan menciptakannya supaya manusia
tak mampu mengukur luasnya, kerana Tuhan mahu manusia tahu, yang harapan itu
juga adalah sesuatu yang tidak terbatas, selagi langit itu tidak runtuh. Tetapi,
pasti Tuhan mahu kita berfikir sendiri berkenaan perkara ini, melalui langit
yang tersenyum & awan yang menatap.”
Pengajaran, jadilah manusia & hambaNya
yang sentiasa bersyukur juga diselitkan dalam puluhan cerita buku ini. Gunalah peluang-peluang
yang ada untuk jadi manusia yang bersyukur sebelum tiada lagi peluang untuk
dirimu beraksi di bumi ini.
Kisah ini paling menarik, halaman 105 buku
ini sub topik, ‘Direnung Mata, Disangka Hati’. Kenapa menarik? Ia kisah seorang
lelaki merisik seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Tau apa kata lelaki
tersebut pada mulanya, “Sekiranya engkau tahu perkara itu, pasti engkau juga
seperti aku.”
Sedihnya, bila perempuan itu sudah menjadi
tunangan orang. Namun, tiada langsung garis luka pada wajah lelaki tersebut
mengundang tanda tanya pada sahabatnya. Apa bicaranya? Mari teliti bersama, “Pada
setiap solat, aku berdoa. Ya ALLAH, sekiranya perkara itu akan menjauhi aku
daripadaMua, jadi jauhkanlah aku daripada perkara itu. Sekiranya, perkara itu
membuatkan aku mendekatiMu, jadi dekatkan aku kepada perkara itu. Itu juga doa
aku untuk perempuan itu.” Doanya kepada ALLAH adalah keyakinannya jadi dia
tidak bersedih durja hanya redha & ikhlas semata.
Belajar daripada anak sekecil 5 tahun juga
tersusun indah dalam buku ini. Halaman 188 , sub topik, ‘Selagi Ibu Masih Di
sisi’ memetik kata-kata yang menarik untuk diabadikan dalam blog ini, “Jagalah
ibu engkau baik-baik. Jangan hanya melihat, tetapi cuba memerhati ibu engkau,
kerana pada kata melihat hanya ada ‘lihat’, tetapi pada kata perhati itu ada ‘hati’.
Perhatikan ibu engkau dengan hati selagi dia masih ada di sisi. Jangan seperti
aku yang hanya mampu memandang & memerhati nisannya.” Sungguh menyentuh
hati penulis blog ini.
Mungkin kisah terakhir yang boleh penulis
kongsikan di sini, selebihnya sahabat-sahabat boleh membacanya sendiri ya. Halaman
191, sub topiknya, ‘Rahsia Jodoh Saya’. Memetik kisah ini, “Jodoh, mati
& rezeki itu rahsia ALLAH S.W.T. Yang namanya rahsia itu, sekiranya kita
cari pun betul, sekiranya kita menunggu pun tidak salah kerana ia rahsia. Kita tidak
tahu bila datangnya jodoh itu, sama ada jodoh datang pada waktu kita mencari
ataupun pada waktu kita menunggu. Apa yang boleh kita lakukan adalah
melengkapkan diri kita menjadi perempuan yang baik. Perempuan yang taat pada
suruhan ALLAH kerana ada waktunya nanti, ALLAH akan datangkan petunjuknya, sama
ada kita perlu mencari ataupun kita perlu menunggu.”
Subhanallah...Hebat sekali bicara perempuan
ini. Bijak juga penulis buku ini mengatur watak perempuan solehah. Ya, fitrah
manusia mahu mencintai & dicintai tetapi ingat sayang fitrah cinta itu ada
batasnya menurut hukum ALLAH. Betapa ramai yang jatuh terjerumus ke lembah
kehinaan hanya kerana cinta yang tak bertepatan dengan agama, jadi wahai
muslimah elakkan dirimu dari cinta sementara yang hanya mengundang murka Yang
Esa.
Panjang sungguh penulis berbicara tentang
buku cinta ini! Izinkan penulis menamatkan entri kali ini dengan kata cinta, “Cinta
milik hakiki & abadi hanya ALLAH yang satu. Biar kewujudan cinta kita
mendekatkan diri kepada Yang Esa, biar cinta yang dibina keranaNya, insyaALLAH
bahagia menghiasi kehidupan dunia & akhirat kita. Jemput dulu cinta ALLAH
mendekati diri, insayALLAH cinta yang lain menyusul tiba nanti. ALLAH pemilik
cinta, jadi kepada pemilik cinta kita memohon pertolongan.”
Moga kehadiran entri ini memberi manfaat buat
ummah, menyedarkan diri betapa kerdilnya kita di pandangan ALLAH tanpa kasih
sayangNya, siapalah kita di bumi ini. Jumpa lagi di lain masa...siiru ‘alaa
barakatillah.
No comments:
Post a Comment