Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...bersyukur
padaNya kerana dengan kurniaanNya yang Maha Besar, telah mencampak rasa
bertuhan dalam lubuk hati penulis. Rasa bertuhan itu adalah anugerah terindah
buat penulis sebagai mawar agama. Al-Hamdulillah dengan kuasaNya penulis masih
mampu menggerakkan jari-jemarinya untuk menaip patah demi patah perkataan
menjadikan ia satu karangan indah keranaNya. Al-Hamdulillah berkat izinNya juga
penulis punya idea mencurah-curah untuk tidak membiarkan blog ini kosong tanpa
cerita. Salam Jumaat kareem untuk semua yang menziarahi blog ini.
Allahuakbar...sungguh
bertuah & betapa bersyukurnya penulis kerana dilahirkan dalam keadaan dia
Islam, mama ayah, keluarga & sanak saudaranya penganut agama Islam.
Tidakkah kalian merasa bertuah dengan kurniaan ini? Islam tidak hanya di kad
pengenalan kita tetapi Islam haruslah merangkumi seluruh aspek kehidupan kita
daripada bangun tidur hinggalah mata terpejam.
Kedengaran
senang untuk dibicarakan di sini, tetapi agak sukar untuk dilaksanakan. Ramai
manusia yang mengaku dia Islam tetapi berapa kerat insan yang benar-benar
mengamalkan hidup berlandaskan Islam. Tepuk dada tanya iman! Sedih bercampur
sebak saat memerhati masih ada lagi muslim yang hanya pada nama. Bukan kita
mahu menaruh sangka buruk tetapi itu hakikat realiti kehidupan masyarakat
sekarang seolah-oleh di rasuk dengan kemewahan & keindahan dunia semata.
Islam
tidak sesekali memisahkan agama daripada kehidupan. Mental, fizikal, spiritual
(rohani), & emosi semua bergabung dalam acuan Islam. Islam sifatnya bukan
separuh, sifatnya menyeluruh & bila bergelar muslim amanah memakmurkan alam
dengan Islam automatik tergalas di bahu kita. Sama ada kita menolak atau
menerima itulah hakikatnya.
Semalaman
penulis membelek helaian demi helaian & membaca setiap bait kata buku
bertajuk, “Maryam Jameelah-Tokoh Wanita Islam Berbangsa Yahudi-karangan: Shafie
Abd. Rahman-terbitan: Yamani Angel Sdn. Bhd.” Sungguh mengujakan! J J J Wanita
Islam ini hebat sekali, itu kata-kata yang meniti laju di bibir penulis. Lagi
hebat Maryam Jameelah adalah seorang penulis. Terus membangkit semangat penulis
blog ini mahu menanam cita-cita menjadi penulis jika melalui pena ini dia mampu
menyampaikan keindahan Islam.
Penulis
masih ingat buku ini telah lama dibelinya, cuma tiada kesempatan untuk
membacanya tetapi bila sekali membacanya, penulis terus jatuh cinta. Maryam
Jameelah kali pertama mengetahui kewujudan nama ini, serikandi Islam yang
memperjuangkan Islam dengan wasilah beliau. Maryam Jameelah atau namanya
sebelum Islam Margaret Marcus lahir di New York, Amerika Syarikat pada 23 Mei
1934 & merupakan bangsa Yahudi. Hebatnya beliau menukar bangsa Yahudi menjadi
mulia dengan memeluk agama Islam setelah berlaku pergolakan yang hebat dalam
dirinya. Beliau simpati pada perjuangan rakyat Palestin yang telah diusir dari
tanah air mereka berikutan penubuhan negara Israel serentak dengan itu hatinya
mulai tertarik dengan Islam.
Buku
ini juga menceritakan perkaitan antara Palestin, bangsa Yahudi, Zionis, &
Israel. Panjang huraiannya sehingga memaksa penulis meneliti sejarah bangsa
Yahudi. Menarik untuk difahami tetapi sukar untuk diterjemahkan dalam penulisan
ini. Buku ini menelusuri sejarah bangsa Yahudi, apa sebenarnya yang terjadi
pada Palestin, kehidupan kanak-kanak hinggalah detik kematian insan hebat
bernama Maryam Jameelah.
Sungguh
menambah rasa syukur penulis kerana dia dibesarkan dalam Islam. Sungguh menambah
kagum penulis kepada Maryam Jameelah yang berbangsa Yahudi memilih memeluk
Islam kerana nampak kebenaran agama Islam & telah sampai padanya hidayah
ALLAH.
Ujian
terbesar dalam kehidupan Maryam Jameelah, beliau menghidapi penyakit
‘schizophrenia’ yang melibatkan gangguan perasaan. Ada masanya beliau membaik
& ada masanya beliau sakit, & bila sakit datang menyerang, beliau akan
meraung-raung terguling-guling menahan sakit.
Subhanallah...penyakit itu tidak
pernah melemahkan semangatnya & kerana itu beliau kembali tenang setelah
bergelar muslimah. Pbila penyakit tersebut datang beliau mampu menghadapinya
dengan zikir-zikir, membaca al-Quran, berwudhuk & solat sunat 2 rakaat
serta mendengar alunan-alunan merdu kalam Ilahi. Banyak yang ingin penulis
bicarakan tentang muslimah berhati waja ini. Namun ada baiknya kalian membaca
sendiri buku ini.
Sungguh
cerita benar Maryam Jameelah menyentuh hati penulis. Beliau sanggup berhijrah
dari Amerika Syarikat berpisah dengan keluarga tersayang ke Pakistan setelah
menerima tawaran Maulana Abul A’la Maududi (ulama’, tokoh pemikir & penulis
Islam yang aktif dalam pergerakan & perjuangan Islam) untuk berhijrah ke
Pakistan bagi menyelamatkan imannya.
Mari sahabat-sahabat kita mencontohi
muslimah bernama Maryam Jameelah ini.
Memetik
doa Maryam Jameelah setelah menganut Islam pada halaman 167 pada buku ini: “Wahai
ALLAH Yang Maha Suci, berikanlah kekuatan kepada hambaMu ini. Tetapkanlah aku
dalam agama ini & bantulah aku untuk menjadi seorang muslimat yang
berpegang teguh dengan ajaran Islam.” Lantas air mata sebak menitis laju di
pipi penulis. Adakah aku mampu menjadi seperti muslimah ini? Sedangkan aku
teringin sekali mengambil ibrah daripada kisah hidup Maryam Jameelah.
Maryam
Jameelah menjadi perhatian kaum wanita di Barat mahupun kaum wanita Islam
kerana beliau bukan sahaja memeluk Islam, berbangsa Yahudi, memilih menetap di
Pakistan, berkahwin dengan lelaki Pakistan & terlibat dalam sebuah
perkahwinan yang membabitkan amalan poligami. Subhanallah... Maryam Jameelah
menjadi jurubicara wanita Islam di samping menghasilkan pelbagai jenis buku
sepanjang berada di Pakistan.
Islam
mengangkat tinggi martabat wanita & buktinya jelas diceritakan dalam
al-Quran juga dalam buku ini. Penulis terpana & terpukau seketika dengan
ulasan dalam buku ini tentang betapa petahnya Maryam Jameelah berbicara dengan
mata penanya yang tajam menyusun seribu macam hujah untuk menentang
kritikan-kritikan Barat tentang wanita Islam. Pada bab ‘Jurubicara Wanita
Islam’ halaman 222-234 buku ini lantas menerangkan kepentingan wanita &
betapa ALLAH mengangkat darjat wanita Islam. Maryam Jameelah bersungguh
mematahkan hujah-hujah musuh tentang wanita Islam seringkali ditindas &
tidak terpelajar kerana agama.
Memetik
sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Wanita itu apabila dia solat lima waktu, puasa sebulan Ramadhan,
memelihara kehormatan serta taat kepada suami, maka masuklah dia melalui
mana-mana pintu syurga yang dikehendakinya.” (HR AHMAD & TABRANI)
Maryam Jameelah turut membahaskan Islam &
cabaran kehidupan moden serta Barat. Subhanallah...sekali lagi penulis teruja
meneruskan pembacaan kisah hidup Maryam
Jameelah. Ingin sekali penulis mencontohi tokoh hebat serikandi Islam abad ini.
Halaman
235-251 menceritakan tentang cabaran umat Islam yang terpaksa berdepan dengan
Barat. Betapa hebatnya Maryam Jameelah
berfikir mengajak penulis merenung & memuhasabah dirinya. Hampir 25 tahun
dirinya hidup, belum pernah dia terfikir sehebat wanita Islam ini, namun dia
tetap menanam impian syahid di medan perjuangan Islam. Penulis langsung tidak
terfikir sejauh itu, Cuma niatnya mahu membumikan Islam dalam diri, keluarga
& masyarakatnya. Bila? InsyaALLAH...dengan izinNya dia mahu menjadi seperti
Maryam Jameelah.
Hasil
perkahwinan Maryam Jameelah dengan Muhammad Yusuf Khan, beliau dianugerahkan 5
orang anak iaitu, Ayesha, Sadia Khanum, Khalid Farooq Khan, Haider Farooq Khan
& Maria Khanum. Biarpun beliau menetap di Pakistan, hebatnya beliau...
Maryam Jameelah tidak pernah lupa pada ibu (Mira), ayah (Marcus), & kakak
(Betty) biarpun kesedihan melanda kerana mereka tidak memeluk Islam. Hubungan
kekeluargaan antara mereka amat erat tidak pernah terpisah dek agama.
Di
penghujung usia, Maryam Jameelah kerap jatuh sakit & diserang angin ahmar.
Sehinggalah suatu hari beliau diserang penyakit jantung & beliau
menghembuskan nafas terakhir pada 31 Oktober 2012. Hilang sudah permata
berharga agama! LLL Al-Fatihah
untuk Allahyarhamah Maryam Jameelah. Maryam Jameelah adalah sebutir permata
ditengah jutaan kaca kerana idea-idea yang diolahnya bernas serta berjaya
mempertahankan sistem hidup Islam. Beliau lantang bersuara untuk menentang
segala bentuk kritikan yang dilemparkan terhadap umat Islam.
Buku ini diakhiri dengan lampiran kronologi
tarikh-tarikh penting dalam kehidupan Maryam Jameelah. Sungguh penulis
mengkagumi insan bernama Maryam Jameelah & menanam cita-cita menjadi
serikandi Islam seperti beliau. Ameen. Mohon doa sahabat semuanya ya, doa moga
kita terus tsabat di jalan perjuangan Islam ini.
Al-hamdulillah...usai
sudah membuat ulasan ringkas tentang buku tokoh hebat ini. Memberi ruang untuk membuat ulasan buku lain pula. Wah seronoknya! Moga sahabat-sahabat
dapat membaca & membelek buku ini kerana intipatinya sungguh baik terutama
buat sahabat yang memilih jalan perjuangan Islam sebagai destinasi terakhir.
Siiru ‘alaa barakatillah...salam Jumaat
kareem
No comments:
Post a Comment