Aku sebuah mashaf Al-Quran &
terjemahannya yang dibaluti muka depan berwarna merah jambu dan isi kandungan
ku dilindungi dengan zip. Aku dihasilkan dengan penuh teliti oleh manusia yang
bergelar Muslim. Bukan mudah untuk menghasilkan sesebuah mashaf Al-Quran yang
memerlukan usaha dan penelitian semasa tempoh pembuatannya.
Lama aku di proses, akhirnya aku terhias
cantik di sebuah kedai buku-buku agama di sebuah negeri yang terkenal dengan
gelaran ‘negeri serambi Makkah’. Tidak lain tidak bukan itulah negeri Cik Siti
Wan Kembang, negeri Kelantan Darul Naim. Sesungguhnya keberadaan ku di bumi ini
sangat diperlukan oleh manusia memandangkan aku adalah mukjizat kekal hingga
akhir zaman.
“Bersyukurlah kamu kerana kamu dilahirkan
sebagai mashaf Al-Quran. Aku ini hanya sebuah buku agama yang biasa.” Keluh sebuah
buku. “Al-Hamdulillah…tapi usah lupa kamu juga berguna pada manusia. Pengisian
mu banyak membentuk jiwa manusia juga. Kamu juga punya ilmu untuk manusia
praktikkan. Usah risau, kita sama-sama ada kelebihan dan peranan masing-masing
pada manusia.” Kata Al-Quran itu. Buku agama tadi hanya tersenyum riang
mendengar kata-kata Al-Quran.
Aku di susun bersama-sama sahabat ku yang
lain. Semuanya terhias indah di salah satu rak buku di kedai tersebut.
Kadang-kadang aku ditilik manusia, ingatkan sudah punya tuan, tapi malang aku
hanya di pandang. Lama menunggu akhirnya kerisauan ku ditepis bila seorang
remaja perempuan bersama-sama ibunya tiba-tiba membelek diriku.
Aku mendengar satu per satu bicara ibu dan
anak, dalam hati aku berdoa moga mereka membeli ku. “Along nak beli Quran yang mana satu ni? Cepat
pilih.” Kata si ibu. “Entahlah, Along tengah pilih ni. Along suka warna merah
jambu ini. Nampak macam perempuan sikit.” Kata si anak. “Alah…Along selalu beli
barang warna merah jambu. Semua barang dia nak warna itu. Kalah sang puteri.”
Sampuk adiknya. “Biarlah, itu kan warna kegemaran Along. Asal dapat guna
seronok dah.” Kata Along.
Al-Hamdulillah, akhirnya aku punya tuan.
Harapan ku moga dia bisa menggunakan aku sebaiknya. Menjadi teman setianya di
kala suka atau duka…menjadi kekasihnya tika resah atau tenang yang begitu
mendamaikan…menjadi peneman kala sendirian atau bersama-sama sahabatnya...menjadi
petunjuk saat dia sesat tanpa arah tujuan yang sebenar…menjadi peneman dunia
dan akhiratnya, ya sekurang-kurangnya sebagai peneman paling setia. Apa yang
pasti aku menemannya di alam barzakh nanti, itu pun jika tuan aku membaca dan
mentadabbur isi-isi dalam Al-Quran ini.
Telinga ku menangkap ucapan terima kasih
seorang anak kepada si ibu kerana menghadiahkannya sebuah Al-Quran &
terjemahannya. Aku tersenyum bahagia. Bermulalah perjalanan ku bersama-sama
remaja perempuan yang selesa ku panggil Along. Perjalanan yang indah berhias
rahmat dan keberkatan darinya.
Aku
di jaga rapi oleh tuanku. Aku bukan sekadar di jaga, tetapi dipelihara, dibaca
dan dibawa ke mana sahaja dia memulakan langkah. Aku selesa dengan layanan yang
diberikan oleh tuanku. Dia seorang remaja perempuan yang sangat menekankan
bacaan dan tadarus Al-Quran. Itulah hasil didikan sang ayahnya yang sangat suka
mengajarkan Al-Quran kepada anak-anaknya termasuklah Along.
Lagipun aku dibeli sewaktu anak perempuan
sulungnya mahu melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dijadikan sebagai
hadiah pemberian ibu kepada sang anak. Mengharap moga Al-Quran ini bisa
menemani setiap hela nafas anaknya. Sekurang-kurangnya ini mampu mengubat rasa
rindu si ibu terhadap anak di perantauan dengan cara si anak membaca dan
mentadabbur Al-Quran dengan sebaiknya.
Sudah tentu si ibu dan ayah mengharapkan
yang terbaik untuk anak-anaknya walau pada hakikatnya mereka hidup berjauhan.
“Walau kat mana pun kamu berada, Along…selalulah baca Al-Quran. Ayah bukan
sentiasa boleh memberi nasihat atau pedoman dan panduan pada kamu tetapi
Al-Quran ini sudah cukup mendekatkan kamu kepada ALLAH dan menjadikan kamu
insan yang berguna pada bangsa, agama dan negara.” Kata si ayah. “Walau sibuk
mana pun along mesti baca Al-Quran tau. Al-Quran itu kalamullah yang Maha
Hebat. Sentiasalah berbicaralah dengan Al-Quran dengan cara membacanya.” Pesan
si ibu pula.
Pesan ibu dan ayah tersemat kemas di jiwa
remaja perempuan itu yang merangkap tuanku. Aku sejujurnya tenang dengan sikap
yang di amalkan oleh Along. Aku menjadi bahan bacaan & alunan Al-Quran yang
selalu meniti di bibir Along. Bukan aku nak membangga-banggakan tuan aku, cuma
aku mahu berkongsi pada semua umat Islam bahawa Al-Quran bukan hanya untuk
dimiliki tetapi juga untuk di baca dan di tadabbur bersama-sama terutamanya
umat Islam.
Bila ada sahaja ayat Al-Quran yang memberi
kata-kata semangat dan penting untuk diingati, Along pantas mencapai
‘highlightnya’ untuk di tandakan pada ayat tersebut. Di ulang baca beberapa
kali, moga lekat di fikiran dan hafaz di hati. Sungguh aku digunakan dengan
sebaiknya tambahan bila Along perlu melakukan perbentangan dalam kelas, dia
akan sedaya upaya untuk menyampaikan ayat Al-Quran tersebut kepada
sahabat-sahabat sekelasnya.
Al-Hamdulillah, aku akhirnya berguna pada
manusia yang bergelar Muslim. Kini, aku mencapai umur hampir 4 tahun. Ya, sudah
lama aku berkhidmat untuk manusia demi kepentingan dan kemaslahatan Islam di
muka bumi ALLAH ini. Barang bila sudah lama pasti sudah hilang rupanya. Ada
sedikit kecacatan di kulitnya yang koyak dan lompang di mana-mana.
Namun, buruknya rupa ku tidak menghalang
dari Along sentiasa membawa dan menilik ku. Asalkan dia mampu membaca Al-Quran
dengan baik itu sudah mencukupi baginya. Biarpun penuh tradisional, tapi aku
masih bisa di baca dan mungkin kerana aku adalah pemberian hadiah ibunya
sempena kejayaannya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjadikan aku
harta yang paling berharga bagi Along.
Seperti kebiasaan aku di bawa oleh Along
ke kelasnya pada pagi itu. Tidak ku sangka adalah hari terakhir aku di kucup
dan di baca oleh Along. Pagi itu Along sempat membacaku sebelum kelasnya
bermula. Penuh ketenangan sambil bibirnya tak lekang menutur laju setiap
kalamullah yang indah tersusun dalam Al-Quran & terjemahannya.
Selepas kelas berakhir, Along bergegas
menuju ke kafe untuk membeli makanan. Perutnya pinta di isi dengan makanan ya
dengan sebab lapar. Tanpa di duga aku di tinggal sendirian. Puas aku menjerit
memanggil nama Along, malangnya jeritan aku tidak didengari oleh sesiapapun.
Aku menangis sedih. Hati aku ketika itu sedang bergolak sedih, perasaan aku
bercampur-baur penuh kegelisahan. Mengharap agar Along bisa mengambil ku
semula.
“Lamanya Along. Entah-entah dia langsung
tak ingat aku. Apa nak jadi dengan nasib ku? Adakah riwayat ku akan berakhir di
sini sahaja?” hatiku berbicara sayu. Puas aku menunggu Along datang, tapi
penantian ku hanya menemui jalan buntu dan sedih. “Ya ALLAH…moga Engkau
memberkati Along. Jika ada jodoh pertemukanlah kami. Aku merindui along
keranaMu Ya ALLAH. Aku merindui saat semasa dia menggunakanku sebaiknya. Moga
Engkau mengurniakan ganjaran dan ketenangan kepada Along.” Doa ku panjatkan
kepada ALLAH.
Lain pula ceritanya dengan Along.
Disebabkan mahu bergegas mengisi perut dan mahu lekas mengunjungi perpustakaan
kerana temannya telah menunggunya di sana membuatkan dia terlupa bahawa dia
tertinggal Al-Quran kesayangannya di kedai menjual makanan. Langsung tidak
terlintas di hatinya tentang Al-Quran yang paling disayanginya itu.
Petang itu, “Ya ALLAH…Along tertinggal
Al-Quran kat kedai tadi. Nak pergi ambik dulu. Harapnya tak jadi apa-apa kat
Quranku.” Bisik hati Along. Sampai sahaja di kedai tersebut, Along diserang
kesedihan yang melampau bila kedai tersebut telah pun tutup. “Terpaksalah aku
ke kedai ini esok. Ya ALLAH moga aku bisa menemui Al-Quranku.” Spontan hati
Along berkata-kata tanpa diminta untuk menyusun bicara.
Keesokan harinya, kisah sedih Along
bermula kerana dia mendapati Al-Qurannya tiada di kedai tersebut. Puas di perah
akalnya untuk berfikir di mana dia meletakkan Al-Qurannya itu dan kata hatinya
kuat mengatakan Al-Quran itu tertinggal di kedai tersebut. Dua hari
berturut-turut dikesali sikap pelupanya. Dua hari juga dia tidak menemui
Al-Quran berwarna merah jambunya. “Tamat sudah riwayat dia…aku mesti
menggantikannya dengan yang baharu untuk meneruskan pembacaan Al-Quranku.
Sedih…Ya ALLAH. Beginikah rasanya bila hilang barang, perkara atau orang yang
kita sayang? Aku redha dengan ketentuan Mu. Andai aku diberi peluang dan rezeki
pertemukanlah aku dengan Al-Quran kesayangan ku itu. Sungguh dia banyak berjasa
padaku terutama untuk aku tadabbur kalamMu…Ya ALLAH.”
Ni tafsir Quran baharu menggantikan yang hilang juga berwarna merah jambu. Moga kehadiran Quran & Terjemahannya yang baharu bakal memberi semangat baru untuk penulis membaca dan mentadabburnya.
No comments:
Post a Comment