SALAM AIDILADHA. JOM KONGSI CERITA!
Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:
21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan
kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum
lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan
hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan
kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang
berfikir.
Sabda Rasulullah
S.A.W dalam hadith baginda S.A.W yang bermaksud:
“Apabila
telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya.
Maka bertakwalah dia kepada ALLAH pada separuh (yang belum disempurnakan)
lagi.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi r.a. daripada Rasulullah S.A.W)
Bila bicara
tentang cinta dia ada kaitan dengan hati dan perasaan manusia. Bicara sahaja
tentang cinta seorang Muslimin kepada seorang Muslimat yang membawa ke gerbang
perkahwinan. Gelaran bujang kini ditinggalkan. Kini, dia memegang gelaran suami
atau isteri. Hidup bukan bersendirian lagi. Berteman dan menyenangkan. Gerbang
perkahwinan bahagia sangat didambakan oleh semua manusia yang berfikiran waras.
Semua mahu bahagia bukan? Termasuklah insan yang bergelar umat Islam dan
Muslim.
Bagaimana
pelayaran cintanya sebelum bergelar suami atau isteri? Apa persediaannya? Apa
pula matlamat akhirnya? Bakal terjawab dalam warkah cinta sederhana ini buat
insan yang dambakan hidup bahagia bergelar hamba ALLAH dan Muslimin atau
Muslimat yang berjaya melayari bahtera perkahwinan yang menenangkan.
Jika di tanya
pada Muslimin kerana apa dia memilih Muslimat yang terbaik untuk melayari
bahtera perkahwinannya nanti, apa jawapannya? Begitu juga Muslimat, kerana apa
mereka mahu mendirikan rumah tangga? Agak-agak apa jawapannya?
Jom kita teroka dan fahami hadith
Rasulullah S.A.W di bawah yang bermaksud:
“Dinikahi
perempuan itu kerana empat: hartanya dan kerana keturunannya dan kerana
kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya kamu
akan beroleh keuntungan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Jelas lagi
bersuluh tentang pemilihan seseorang wanita sebagai seorang isteri. Ada
persamaan juga dalam pemilihan seorang suami. Mari kita lihat dalam buku
bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat- Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan
Masyarakat sepanjang hayat’ karangan Dato’ Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen
Ab. Hamid tentang bab munakahat (hukum perkahwinan) sub topik Dasar Pemilihan
Isteri.
Apa kata
mereka? 1) Perempuan yang taat kepada
agama. 2) Berketurunan baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna
akhlaknya. 3) Perempuan yang subur dan berpotensi untuk melahirkan ramai anak.
4) Sekufu atau hampir sekufu. 5) Masih gadis atau anak dara. 6) Pasangan bukan
dari keluarga terdekat.
Jadi
bagaimana para Muslimin, sudah habis memikir kerana apa kalian memilih Muslimat
untuk dinikahi? Bagaimana jika Muslimin mahu mengahwini seorang Muslimat kerana
harta, keturunan dan kecantikan yang dimiliki oleh Muslimat tersebut? Agak-agak
bahagia tak rumah tangga yang bakal di bina bila si suami hanya mahu melihat
isterinya cantik atau mempunyai harta yang banyak? Sekurang-kurangnya bakal
isteri yang dipilih adalah dari keturunan yang baik dan berjawatan. Betulkah
begini ajaran Rasulullah S.A.W terhadap umatnya mengenai pemilihan isteri?
Tahukah
kalian kecantikan seseorang wanita bukan terletak pada luarannya semata juga
keindahan seorang Muslimat tidak berkekalan lama kerana yang Maha Cantik
hanyalah ALLAH Yang Maha Kuasa? Kalian semua pasti mengetahuinya tetapi kenapa
masih ramai Muslimin yang mahu memilih Muslimat yang cantik di pandangan mata
sahaja sebagai isteri? Kenapa tidak dipilih wanita kerana agamanya?
Kenapa
tidak dipilih seorang Muslimat sebagai bakal isteri kerana tertarik dengan
agamanya, akhlaknya yang mulia, peribadinya yang mempesona dan tingkahnya yang
menyejuk mata? Kenapa…sedangkan Rasulullah S.A.W sangat menggalakkan umatnya
untuk memilih yang beragama dalam melayari bahtera pelayaran cinta bersama
suami dan isteri.
Perlu apa
dalam pelayaran cinta duhai Muslimin dan Muslimat? Ya…perlu pembentukan jiwa
pembaikan peribadi fardu Muslim. Betulkan dahulu niat dan matlamat perkahwinan
yang mahu dibina bersama. Bukan kerana harta, keturunan dan kecantikan semata
tetapi kerana agamanya. Pilihlah yang beragama dan kerana ALLAH.
Jika kerana
ALLAH pasti setiap kekurangan dan kelemahan dia kita mampu menerimanya.
Bagaimana jika perkahwinan itu dibina atas dasar perjuangan? Muslimin memilih
seorang Muslimat kerana perjuangannya di jalan ALLAH. Dia mahu pendamping
setianya juga berjuang di jalan ALLAH untuk menegakkan Islam dalam diri,
keluarga dan masyarakat sekali gus negara tercinta. Biar agama Islam yang indah
ini dinikmati oleh semua makhlukNya tidak kira walau siapa pun mereka pada
pandangan ALLAH.
Warkah
cinta ini berakhir di sini. Teristimewa buat semua yang mendamba kekasih
bernama isteri atau suami usah berputus asa mohon doa padaNya di samping
berusahalah menjadi Muslimah solehah atau Muslimin soleh. Betulkan terlebih
dahulu niatmu dalam mendirikan rumah tangga keran niat menentukan segala-galanya.
Jelaskan terlebih dahulu matlamat akhirmu dalam meniti pelayaran cinta suami
isteri adalah mahu bertemu dengan ALLAH dalam mencapai keredhaanNya.
Dedikasi buat sahabat yang di sayangi kerana ALLAH.
No comments:
Post a Comment