Wednesday, 16 October 2013

Tamat Sudah Riwayat ku!


Aku sebuah mashaf Al-Quran & terjemahannya yang dibaluti muka depan berwarna merah jambu dan isi kandungan ku dilindungi dengan zip. Aku dihasilkan dengan penuh teliti oleh manusia yang bergelar Muslim. Bukan mudah untuk menghasilkan sesebuah mashaf Al-Quran yang memerlukan usaha dan penelitian semasa tempoh pembuatannya.



Lama aku di proses, akhirnya aku terhias cantik di sebuah kedai buku-buku agama di sebuah negeri yang terkenal dengan gelaran ‘negeri serambi Makkah’. Tidak lain tidak bukan itulah negeri Cik Siti Wan Kembang, negeri Kelantan Darul Naim. Sesungguhnya keberadaan ku di bumi ini sangat diperlukan oleh manusia memandangkan aku adalah mukjizat kekal hingga akhir zaman.

“Bersyukurlah kamu kerana kamu dilahirkan sebagai mashaf Al-Quran. Aku ini hanya sebuah buku agama yang biasa.” Keluh sebuah buku. “Al-Hamdulillah…tapi usah lupa kamu juga berguna pada manusia. Pengisian mu banyak membentuk jiwa manusia juga. Kamu juga punya ilmu untuk manusia praktikkan. Usah risau, kita sama-sama ada kelebihan dan peranan masing-masing pada manusia.” Kata Al-Quran itu. Buku agama tadi hanya tersenyum riang mendengar kata-kata Al-Quran.

Aku di susun bersama-sama sahabat ku yang lain. Semuanya terhias indah di salah satu rak buku di kedai tersebut. Kadang-kadang aku ditilik manusia, ingatkan sudah punya tuan, tapi malang aku hanya di pandang. Lama menunggu akhirnya kerisauan ku ditepis bila seorang remaja perempuan bersama-sama ibunya tiba-tiba membelek diriku.

Aku mendengar satu per satu bicara ibu dan anak, dalam hati aku berdoa moga mereka membeli ku.  “Along nak beli Quran yang mana satu ni? Cepat pilih.” Kata si ibu. “Entahlah, Along tengah pilih ni. Along suka warna merah jambu ini. Nampak macam perempuan sikit.” Kata si anak. “Alah…Along selalu beli barang warna merah jambu. Semua barang dia nak warna itu. Kalah sang puteri.” Sampuk adiknya. “Biarlah, itu kan warna kegemaran Along. Asal dapat guna seronok dah.” Kata Along.

Al-Hamdulillah, akhirnya aku punya tuan. Harapan ku moga dia bisa menggunakan aku sebaiknya. Menjadi teman setianya di kala suka atau duka…menjadi kekasihnya tika resah atau tenang yang begitu mendamaikan…menjadi peneman kala sendirian atau bersama-sama sahabatnya...menjadi petunjuk saat dia sesat tanpa arah tujuan yang sebenar…menjadi peneman dunia dan akhiratnya, ya sekurang-kurangnya sebagai peneman paling setia. Apa yang pasti aku menemannya di alam barzakh nanti, itu pun jika tuan aku membaca dan mentadabbur isi-isi dalam Al-Quran ini.

Telinga ku menangkap ucapan terima kasih seorang anak kepada si ibu kerana menghadiahkannya sebuah Al-Quran & terjemahannya. Aku tersenyum bahagia. Bermulalah perjalanan ku bersama-sama remaja perempuan yang selesa ku panggil Along. Perjalanan yang indah berhias rahmat dan keberkatan darinya.

 Aku di jaga rapi oleh tuanku. Aku bukan sekadar di jaga, tetapi dipelihara, dibaca dan dibawa ke mana sahaja dia memulakan langkah. Aku selesa dengan layanan yang diberikan oleh tuanku. Dia seorang remaja perempuan yang sangat menekankan bacaan dan tadarus Al-Quran. Itulah hasil didikan sang ayahnya yang sangat suka mengajarkan Al-Quran kepada anak-anaknya termasuklah Along.

Lagipun aku dibeli sewaktu anak perempuan sulungnya mahu melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dijadikan sebagai hadiah pemberian ibu kepada sang anak. Mengharap moga Al-Quran ini bisa menemani setiap hela nafas anaknya. Sekurang-kurangnya ini mampu mengubat rasa rindu si ibu terhadap anak di perantauan dengan cara si anak membaca dan mentadabbur Al-Quran dengan sebaiknya.

Sudah tentu si ibu dan ayah mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya walau pada hakikatnya mereka hidup berjauhan. “Walau kat mana pun kamu berada, Along…selalulah baca Al-Quran. Ayah bukan sentiasa boleh memberi nasihat atau pedoman dan panduan pada kamu tetapi Al-Quran ini sudah cukup mendekatkan kamu kepada ALLAH dan menjadikan kamu insan yang berguna pada bangsa, agama dan negara.” Kata si ayah. “Walau sibuk mana pun along mesti baca Al-Quran tau. Al-Quran itu kalamullah yang Maha Hebat. Sentiasalah berbicaralah dengan Al-Quran dengan cara membacanya.” Pesan si ibu pula.

Pesan ibu dan ayah tersemat kemas di jiwa remaja perempuan itu yang merangkap tuanku. Aku sejujurnya tenang dengan sikap yang di amalkan oleh Along. Aku menjadi bahan bacaan & alunan Al-Quran yang selalu meniti di bibir Along. Bukan aku nak membangga-banggakan tuan aku, cuma aku mahu berkongsi pada semua umat Islam bahawa Al-Quran bukan hanya untuk dimiliki tetapi juga untuk di baca dan di tadabbur bersama-sama terutamanya umat Islam.
Bila ada sahaja ayat Al-Quran yang memberi kata-kata semangat dan penting untuk diingati, Along pantas mencapai ‘highlightnya’ untuk di tandakan pada ayat tersebut. Di ulang baca beberapa kali, moga lekat di fikiran dan hafaz di hati. Sungguh aku digunakan dengan sebaiknya tambahan bila Along perlu melakukan perbentangan dalam kelas, dia akan sedaya upaya untuk menyampaikan ayat Al-Quran tersebut kepada sahabat-sahabat sekelasnya.

Al-Hamdulillah, aku akhirnya berguna pada manusia yang bergelar Muslim. Kini, aku mencapai umur hampir 4 tahun. Ya, sudah lama aku berkhidmat untuk manusia demi kepentingan dan kemaslahatan Islam di muka bumi ALLAH ini. Barang bila sudah lama pasti sudah hilang rupanya. Ada sedikit kecacatan di kulitnya yang koyak dan lompang di mana-mana.
Namun, buruknya rupa ku tidak menghalang dari Along sentiasa membawa dan menilik ku. Asalkan dia mampu membaca Al-Quran dengan baik itu sudah mencukupi baginya. Biarpun penuh tradisional, tapi aku masih bisa di baca dan mungkin kerana aku adalah pemberian hadiah ibunya sempena kejayaannya melanjutkan pelajaran ke universiti dan menjadikan aku harta yang paling berharga bagi Along.

Seperti kebiasaan aku di bawa oleh Along ke kelasnya pada pagi itu. Tidak ku sangka adalah hari terakhir aku di kucup dan di baca oleh Along. Pagi itu Along sempat membacaku sebelum kelasnya bermula. Penuh ketenangan sambil bibirnya tak lekang menutur laju setiap kalamullah yang indah tersusun dalam Al-Quran & terjemahannya.

Selepas kelas berakhir, Along bergegas menuju ke kafe untuk membeli makanan. Perutnya pinta di isi dengan makanan ya dengan sebab lapar. Tanpa di duga aku di tinggal sendirian. Puas aku menjerit memanggil nama Along, malangnya jeritan aku tidak didengari oleh sesiapapun. Aku menangis sedih. Hati aku ketika itu sedang bergolak sedih, perasaan aku bercampur-baur penuh kegelisahan. Mengharap agar Along bisa mengambil ku semula.
“Lamanya Along. Entah-entah dia langsung tak ingat aku. Apa nak jadi dengan nasib ku? Adakah riwayat ku akan berakhir di sini sahaja?” hatiku berbicara sayu. Puas aku menunggu Along datang, tapi penantian ku hanya menemui jalan buntu dan sedih. “Ya ALLAH…moga Engkau memberkati Along. Jika ada jodoh pertemukanlah kami. Aku merindui along keranaMu Ya ALLAH. Aku merindui saat semasa dia menggunakanku sebaiknya. Moga Engkau mengurniakan ganjaran dan ketenangan kepada Along.” Doa ku panjatkan kepada ALLAH.

Lain pula ceritanya dengan Along. Disebabkan mahu bergegas mengisi perut dan mahu lekas mengunjungi perpustakaan kerana temannya telah menunggunya di sana membuatkan dia terlupa bahawa dia tertinggal Al-Quran kesayangannya di kedai menjual makanan. Langsung tidak terlintas di hatinya tentang Al-Quran yang paling disayanginya itu.

Petang itu, “Ya ALLAH…Along tertinggal Al-Quran kat kedai tadi. Nak pergi ambik dulu. Harapnya tak jadi apa-apa kat Quranku.” Bisik hati Along. Sampai sahaja di kedai tersebut, Along diserang kesedihan yang melampau bila kedai tersebut telah pun tutup. “Terpaksalah aku ke kedai ini esok. Ya ALLAH moga aku bisa menemui Al-Quranku.” Spontan hati Along berkata-kata tanpa diminta untuk menyusun bicara.


Keesokan harinya, kisah sedih Along bermula kerana dia mendapati Al-Qurannya tiada di kedai tersebut. Puas di perah akalnya untuk berfikir di mana dia meletakkan Al-Qurannya itu dan kata hatinya kuat mengatakan Al-Quran itu tertinggal di kedai tersebut. Dua hari berturut-turut dikesali sikap pelupanya. Dua hari juga dia tidak menemui Al-Quran berwarna merah jambunya. “Tamat sudah riwayat dia…aku mesti menggantikannya dengan yang baharu untuk meneruskan pembacaan Al-Quranku. Sedih…Ya ALLAH. Beginikah rasanya bila hilang barang, perkara atau orang yang kita sayang? Aku redha dengan ketentuan Mu. Andai aku diberi peluang dan rezeki pertemukanlah aku dengan Al-Quran kesayangan ku itu. Sungguh dia banyak berjasa padaku terutama untuk aku tadabbur kalamMu…Ya ALLAH.”

Ni tafsir Quran baharu menggantikan yang hilang juga berwarna merah jambu. Moga kehadiran Quran & Terjemahannya yang baharu bakal memberi semangat baru untuk penulis membaca dan mentadabburnya.


Perlu Apa dalam Pelayaran Cinta?

SALAM AIDILADHA. JOM KONGSI CERITA!



Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:   
21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa Dia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Sabda Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda S.A.W yang bermaksud:
“Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada ALLAH pada separuh (yang belum disempurnakan) lagi.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi r.a. daripada Rasulullah S.A.W)

Bila bicara tentang cinta dia ada kaitan dengan hati dan perasaan manusia. Bicara sahaja tentang cinta seorang Muslimin kepada seorang Muslimat yang membawa ke gerbang perkahwinan. Gelaran bujang kini ditinggalkan. Kini, dia memegang gelaran suami atau isteri. Hidup bukan bersendirian lagi. Berteman dan menyenangkan. Gerbang perkahwinan bahagia sangat didambakan oleh semua manusia yang berfikiran waras. Semua mahu bahagia bukan? Termasuklah insan yang bergelar umat Islam dan Muslim.

Bagaimana pelayaran cintanya sebelum bergelar suami atau isteri? Apa persediaannya? Apa pula matlamat akhirnya? Bakal terjawab dalam warkah cinta sederhana ini buat insan yang dambakan hidup bahagia bergelar hamba ALLAH dan Muslimin atau Muslimat yang berjaya melayari bahtera perkahwinan yang menenangkan.

Jika di tanya pada Muslimin kerana apa dia memilih Muslimat yang terbaik untuk melayari bahtera perkahwinannya nanti, apa jawapannya? Begitu juga Muslimat, kerana apa mereka mahu mendirikan rumah tangga? Agak-agak apa jawapannya?

Jom kita teroka dan fahami hadith Rasulullah S.A.W di bawah yang bermaksud:
“Dinikahi perempuan itu kerana empat: hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan.” (Hadith Riwayat al-Bukhari)

Jelas lagi bersuluh tentang pemilihan seseorang wanita sebagai seorang isteri. Ada persamaan juga dalam pemilihan seorang suami. Mari kita lihat dalam buku bertajuk ‘Indahnya Hidup Bersyariat- Modul Fardu Ain Diri, Keluarga dan Masyarakat sepanjang hayat’ karangan Dato’ Ismail Kamus dan Mohd. Azrul Azlen Ab. Hamid tentang bab munakahat (hukum perkahwinan) sub topik Dasar Pemilihan Isteri.

Apa kata mereka?  1) Perempuan yang taat kepada agama. 2) Berketurunan baik dan dibesarkan dalam persekitaran yang sempurna akhlaknya. 3) Perempuan yang subur dan berpotensi untuk melahirkan ramai anak. 4) Sekufu atau hampir sekufu. 5) Masih gadis atau anak dara. 6) Pasangan bukan dari keluarga terdekat.

Jadi bagaimana para Muslimin, sudah habis memikir kerana apa kalian memilih Muslimat untuk dinikahi? Bagaimana jika Muslimin mahu mengahwini seorang Muslimat kerana harta, keturunan dan kecantikan yang dimiliki oleh Muslimat tersebut? Agak-agak bahagia tak rumah tangga yang bakal di bina bila si suami hanya mahu melihat isterinya cantik atau mempunyai harta yang banyak? Sekurang-kurangnya bakal isteri yang dipilih adalah dari keturunan yang baik dan berjawatan. Betulkah begini ajaran Rasulullah S.A.W terhadap umatnya mengenai pemilihan isteri?

Tahukah kalian kecantikan seseorang wanita bukan terletak pada luarannya semata juga keindahan seorang Muslimat tidak berkekalan lama kerana yang Maha Cantik hanyalah ALLAH Yang Maha Kuasa? Kalian semua pasti mengetahuinya tetapi kenapa masih ramai Muslimin yang mahu memilih Muslimat yang cantik di pandangan mata sahaja sebagai isteri? Kenapa tidak dipilih wanita kerana agamanya?

Kenapa tidak dipilih seorang Muslimat sebagai bakal isteri kerana tertarik dengan agamanya, akhlaknya yang mulia, peribadinya yang mempesona dan tingkahnya yang menyejuk mata? Kenapa…sedangkan Rasulullah S.A.W sangat menggalakkan umatnya untuk memilih yang beragama dalam melayari bahtera pelayaran cinta bersama suami dan isteri.




Perlu apa dalam pelayaran cinta duhai Muslimin dan Muslimat? Ya…perlu pembentukan jiwa pembaikan peribadi fardu Muslim. Betulkan dahulu niat dan matlamat perkahwinan yang mahu dibina bersama. Bukan kerana harta, keturunan dan kecantikan semata tetapi kerana agamanya. Pilihlah yang beragama dan kerana ALLAH.

Jika kerana ALLAH pasti setiap kekurangan dan kelemahan dia kita mampu menerimanya. Bagaimana jika perkahwinan itu dibina atas dasar perjuangan? Muslimin memilih seorang Muslimat kerana perjuangannya di jalan ALLAH. Dia mahu pendamping setianya juga berjuang di jalan ALLAH untuk menegakkan Islam dalam diri, keluarga dan masyarakat sekali gus negara tercinta. Biar agama Islam yang indah ini dinikmati oleh semua makhlukNya tidak kira walau siapa pun mereka pada pandangan ALLAH.

Warkah cinta ini berakhir di sini. Teristimewa buat semua yang mendamba kekasih bernama isteri atau suami usah berputus asa mohon doa padaNya di samping berusahalah menjadi Muslimah solehah atau Muslimin soleh. Betulkan terlebih dahulu niatmu dalam mendirikan rumah tangga keran niat menentukan segala-galanya. Jelaskan terlebih dahulu matlamat akhirmu dalam meniti pelayaran cinta suami isteri adalah mahu bertemu dengan ALLAH dalam mencapai keredhaanNya.


Dedikasi buat sahabat yang di sayangi kerana ALLAH.

Monday, 7 October 2013

Sepagi bersama adik perempuan ^_^ di hujung minggu

Al-Hamdulillah...hujung minggu penulis dipenuhi dengan aktiviti2 yang menyeronokkan & mengeratkan hubungan kekeluargaan antara penulis dengan satu2nya adik perempuannya serta beberapa orang sepupu. Bahagia bila masa penulis bisa dikongsi besama adik perempuan tersayang. 

Tahniah & terima kasih buat adik perempuan tersayang kerana memberi peluang & ruang kepada kami untuk merasai sedikit kesenangan dengan pemberian hadiah sempena hari raya Aidiladha yang bakal tiba tidak lama lagi. Kami sempat membeli-belah bersama2 di Nilai 3. Seronok dan membahagiakan bersama2 satu2 adik perempuan tunggal penulis. Inilah yang dikatakan orang air yang di cincang tidak akan putus.

Antara gambar yang sempat dirakam penulis.



Sekadar selingan penyejuk mata:
Memetik kata2 sahabat dalam suatu perjumpaan, kesenian merupakan sesuatu yang penting dalam menyampaikan dakwah. Kita kena cungkilkan bakat & kemahiran dalam diri kita semoga kita mampu memberi manfaat kepada Islam sendiri. Islam sangat indah untuk diterima, dan Islam sangat indah untuk dianuti.

Kat sini ada antara hadiah2 yang dibeli oleh puteri kesayangan (adik perempuan) penulis...ni antara gambarnya:

Baju ni untuk ayah tersayang...

ha...ni baju hari raya Aidiladha kami, mama, kak yong & mimi.


Semoga ALLAH sentiasa memberkati kehidupan dunia & akhirat adik perempuan penulis serta mencapai kebahagiaan pada akhirnya. Doa dari seorang kakak untuk adik tersayang. Dedikasi cinta ini untukmu duhai adik tersayang. Semoga sentiasa dimurahkan rezeki dan menjadi muslimah solehah dambaan syurga.^_^

Saturday, 5 October 2013

Dedikasi Cinta buat Sahabat ^_^



Kala ini
Kesunyian mengulit diri
Terasa kosong seolah hilang sesuatu
Saat diri dihimpit berjuta dugaan
Aku mencari di mana teman
Hanya untuk beban di bahu ringan

Sahabatku
Selama ini senang bersama
Selama ini berkongsi duka
Selama ini tersenyum ceria
Hilang seketika pada pandangan mata
Bukan kerana apa
Kerana masa mencemburui kita
Kerana tugas bertimpa tersusun
Pinta dilaksana tanpa ragu

Saat berjauhan
Diriku diserang kerinduan berganda
Rindu pada senyum manismu
Rindu pada kata nasihatmu
Rindu pada ketenangan wajahmu
Hatiku memberontak persoal
Jika benar kita bersahabat sampai syurga
Kenapa sampai demikian rupa
Pengorbanan kita?

Air mataku berbicara sendu
Saat dirimu mengadu padaku
Saat dirimu mula berterus terang padaku
Saat dirimu penat menitis air mata laju
Saat itu diriku tersedar
Rupanya hidupmu diuji hebat
Rupanya tenangmu diserang resah nan dahsyat

Teman
Kita bersahabat sampai syurga
Kita menanamnya dengan kasih sayang
Kita menyiramnya dengan rasa memahami
Usah risau
Andai pada akhirnya nanti jasad kita terpisah
Kerana yakinlah
Insan bersaudara
Bercinta kerana ALLAH
Natijahnya bersama sampai syurga…


QalamWardahZinnirah (2JUN 2013)

Puisi buat Wanita dari Wanita

Puisi ini di ambil dari seorang 'senior' ketika kena deklamasikan sajak dalam satu slot Bicara Siswi di USIM, NILAI. Terima kasih sahabatku, kak Syuhada Zulkifli.


SAJAK BUAT WANITA

Persismu permata bernilai
Menjadi rebutan pejuang
Keutuhan yang tersimpan
Dibalik tabir yang tenang
Keayuan yang terpancar
Disinar cahaya iman
Itulah muslimah harapan

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.
Keayuannya tidak terletak pada kecantikan wajah,
Kemanisannya tidak terletak pada kemanjaan,
Bukan jua pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para lelaki
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu
Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama
Gerak langkahnya yang sopan
Disulam zikir di ingatan
Keyakinan yang mendalam
menjadi taruhan perjuangan
Wahai wanita muslimah harapan, jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman ,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat Ilahi,
Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai ,
Kerna ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu ,
Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu.
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya ,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.
Duhai muslimah serikandi harapan agama, Jasad hayatmu diserahkan
Untuk sebuah perjuangan
Agar Islam bisa tumbuh subur mewangi di bumi Tuhan

Muslimah puteri harapan
Dikaulah harapan
Membela Islam yang mulia

Muslimah puteri harapan
Dikaulah cahaya
Menjadi lambang Islam yang Gemilang

Puteri harapan serikandi Islam
Tetaplah kau dalam perjuangan
Menjadi sayap kiri di medan
Mengukuhkan benteng pertahanan Islam

Gamitan leka duniawi
Tersungkur jauh dihatimu
Kau sematkan kecintaan yang mendalam
Terhadap Tuhanmu

Maruahmu yang leluhur
Dijaga untuk suami tersayang
Kau didik generasi mendatang
Untuk agama tercinta




Belajar Kerana ALLAH ^_^

SubhanALLAH...Walhamdulillah..

Semalam belajar subjek fonetik & dialek arab bersama2 rakan sekuliah. Ada guru sementara yang menggantikan pensyarah kami yang sedang sakit & dirawat di hospital. Subhanallah...subjek ini sangat menyeronokkan. Terima kasih kepada Ustazah Wahida kerana mengajarkan kami memahani subjek ini. 


Syafakallah...buat Dr. Ahmad Pangidoan Mandily Ketua Program Bahasa Arab & Komunikasi. Moga ALLAH permudahkan segala urusan Dr. Ahmad.


FONETIK & DIALEK ARAB...mestilah dalam bahasa Arab kan! Ustazah cerita banyak perkara yang membuka minda dan hati kami untuk berfikir tentang kejadian kami sebagai manusia & bertambah bertuah kami adalah pelajar Muslim. Ha...ni nak ceriter balik apa yang ustazah kami bagitau pasal subjek ni.


1) Kita perlu bersyukur dengan nikmat pemberian ALLAH terhadap kita terutamanya nikmat pernafasan & pertuturan. Cuba bayangkan jika kita selsema & batuk @ demam sudah tentu kita tidak sihat & rasa kurang selesakan? Tepuk dada tanya hati kita. Jadilah hamba ALLAH yang sentiasa mensyukuri nikmatNya. 


2) Bila belajar subjek ni, kita dapat memikirkan kebesaran ALLAH yang Maha Kuasa. Jadi, mulakan langkah menjadi muslim + mutqin + muhsin = mukmin yang berjaya dunia & akhirat.


3) Bila kita belajar & menjadi penuntut ilmu kita tidak lari dari membaca & menulis. Ini terbukti melalui surah yang diturunkan ALLAH kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu surah Qalam & surah Al-'Alaq. Tadabbur sursh2 tersebut sebelum bergelar pelajar muslim yang cemerlang.


4) Subjek ni mendekatkan diri kita kepada bahasa Al-Quran iaitu bahasa syurga. Tambahkan rasa cinta kita kepada bahasa Arab biarpun kita bukan berbangsa Arab. Di sini kita belajar tajwid, makhraj huruf lahjah 'arabiyyah, tempat bunyi sesuatu huruf di keluarkan, keindahan bahasa Arab yang tiada pada bahasa lain & banyak lagi.


Ha...kat bawah ni ada gambar bukunya yer. Penulis sekadar mahu berkongsi dengan semua peri pentingnya kita memahami dan mencintai bahasa Arab. Pengalaman belajar bahasa Arab dalam bidang bahasa Arab & Komunikasi cukup manis untuk dikongsi bersama2 sahabat...



ILMU YANG SEDIKIT DIKONGSI BIAR JADI BUKIT DI AKHIRAT NANTI :-)


Thursday, 3 October 2013

Dedikasi cinta buat adik tersayang

Salam Imtihan PMR

Musim peperiksaan PMR bakal bermula hari ini. Bakal menjadi penunjuk arah pada calon2 PMR ke mana kaki mereka bakal melangkah. Walaupun hanya peperiksaan PMR, persiapan rapi sangat diperlukan terutamanya oleh semua calon PMR.

Calon PMR termasuk salah seorang dari adik lelaki penulis yang bernama Fadzil Hanapi bin Yaakob. Penulis doakan moga adiknya bisa menjawab dengan tenang dan penuh berhikmah. Seorang kakak tentunya mengharapkan yang terbaik untuk adiknya walau terkadang adiknya pernah menimbulkan banyak masalah. Biasalah sudah nama adik lelaki mesti terserlah sedikit kenakalannya. Apa pun dia tetap menjadi adik kesayangan penulis.

Waktu kelahirannya, 2 Disember 1998 penulis berumur dalam lingkungan 8 tahun. Masih belum mengerti apa2. Cuma bisa menutur kata sayang pada adik & kadang2 mengusik adiknya sehingga menangis. Mungkin sebab Fadzil Hanapi ketika itu sangat comel. Dia kadang2 sukar untuk difahami dan kadang2 mudah untuk memahami dia.

Bila dia rajin semua benda dia nak tolong. Basuh motor, tolong mama kat dapur, tolong ayah mesin rumput, tolong ajar adik bongsunya belajar subjek bahasa Inggeris & Matematik dan banyak perkara yang dia buat…membuatkan sejuk perut ibu mengandungkannya.
Bila dia kurang rajin, ha… ‘time’ ni usahkan suruh kita larang pun dia buat tak tahu. Dia satu-satunya adik lelaki penulis yang tidak suka bergambar. Dia lebih suka ambik gambar orang daripada posing depan kamera. Dia pelik sikit maklumlah adik lelaki penulis yang ‘second last’. Apa pun dia tetap adik penulis. Penulis doakan moga dia dapat melakukan yang terbaik untuk peperiksaan PMRnya kali ini.

Moga dipermudahkan segala urusan adikku sayang. Usah risau doa abang2 & kakakmu sentiasa menemanimu terutama doa mama & ayah untuk Fadzil Hanapi. ALL THE BEST MY DEAR YOUNGER BROTHER FADZIL HANAPI.
Kak Yong sayang Fadzil Hanapi Yaakob kerana ALLAH…