Bismillahirrahmanirrahim…
Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah…ucapan syukur yang tak
pernah putus untuk insan seperti penulis mengucapkannya. Al-hamdulillah kerana
Dia masih memberi peluang kepada penulis untuk menghirup oksigenNya tanpa
halangan. Al-hamdulillah kerana ALLAH telah memberi kekuatan dan ilham kepada
penulis untuk melakar sesuatu yang bermanfaat dalam dunianya yang dicipta
memenuhi minat menulis.
Al-hamdulillah, semalam hati penulis
tergerak untuk singgah sebentar di surau kolej kediaman yang menjadi rumah ke
duanya di universiti. Ketenangan meresap jiwa saat kakinya tenang melangkah
menuju ke rumah ALLAH. Terimbau kembali kenangan bersama-sama adik-adik
‘junior’ di sini berusrah, mengisi masa kosong antara maghrib dan isyak dengan
pengisian-pengisian yang bermanfaat & solat berjemaah bersama-sama. Suasana
yang tak mungkin penulis berpeluang lagi menyertainya bila keluar berpraktikal
nanti.
Masuk sahaja dalam rumah ALLAH terus
penulis menemui ‘bidadari-bidadari tetamu ALLAH’ yang setia memeriahkan surau.
Terima kasih pada kalian kerana telah bermujahadah mengalahkan nafsu untuk
terus berada dalam surau dan sekali gus mengimarahkannya. Malam itu kami
dihidangkan dengan pengisian berbentuk perdebatan di bawah tajuk: Dunia Akhir Zaman:
“Mana lebih berperanan antara ahli ibadah atau ahli ilmu?
Masing-masing mengeluarkan hujah
tersendiri saat diberi peluang terkehadapan. Syabas dan tahniah penulis ucapkan
kepada semua adik-adik tamhidi dan pelajar-pelajar sarjana yang terlibat
memeriahkan suasana percambahan ilmu dalam rumah ALLAH. Ada yang mengatakan orang yang berilmu lagi
berperanan dalam memastikan masyarakat terus terpandu ke jalan yang benar dengan
ilmu-ilmu agama dan dunia. Ada pula yang membangkang memberitahu bahawa orang
yang beribadah lagi penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang
dunia akhir zaman ini.
Sungguh penulis tersenyum sendiri saat
mendengar setiap bait kata yang keluar dari ‘junior-juniornya’. Masing-masing
menunjukkan belang dalam memastikan hujah mereka kukuh dan berpengaruh. Penulis
setia mendengar dan mencatat sesuatu yang dirasakan sangat baru baginya.
Percambahan idea yang tak mungkin diperoleh tanpa penyertaan pelajar yang ramai
dan reaksi yang diterima oleh mereka.
Akhir sesi perdebatan masing-masing masih
mahu mempertahankan hujah mereka hingga akhirnya dibuat kesimpulan oleh
pengerusi majlis, penulis sendiri dan sahabat penulis. Tajuk yang menarik untuk
dikupas bersama-sama. Moga selepas ini makin banyak persoalan yang terungkai
bila pengisian-pengisian seperti ini menghiasi rumah ALLAH sekali gus menarik
ramai lagi pelajar turun ke surau.
Kesimpulan untuk tajuk perdebatan kami
malam itu “Dunia Akhir Zaman: “Mana lebih berperanan antara ahli ibadah atau
ahli ilmu?” antaranya:
- Berilmu dan beribadah perlu ada serta
seiring dalam diri manusia yang bergelar khalifah ALLAH dan hambaNya.
- Banyaknya ibadah yang dilakukan tidak
menjamin seorang individu Muslim memasuki syurga dengan senangnya di akhirat
nanti. Banyaknya ilmu yang ada tidak terjamin dirinya jika dia tidak
mengamalkan ilmu yang diperoleh.
- Apa yang penting di sini adalah kita
mengetahui matlamat akhir kita adalah mendapatkan keredaan ALLAH semata dan
menemuiNya dalam keadaan kita diredhaiNya, walau saat itu kita diuji hebat kita
jadi insan yang kuat kerana kita yakin ALLAH adalah matlamat.
-Orang yang abid tak semestinya alim, dan
orang yang alim semestinya abid.
-Kisah si abid dan si alim dalam
menghadapi soalan-soalan si syaitan.
Syaitan bertemu dengan seorang abid dan
bertanya, “Kerana apa kamu melakukan ibadah ini?” dengan tenang si abid
menjawab, “Mestilah aku beribadah kerana ALLAH.” Bertalu-talu soalan yang
keluar dari mulut syaitan hingga sampai soalan terakhir, “Adakah mungkin ALLAH
menciptakan bumi dalam sebiji telur?” Tanpa ilmu yang ada di dalam dada si
abid, dia di singgah keraguan, “Tak mungkin ALLAH dapat menciptakan bumi dalam
sebiji telur yang kecil ini.”
Syaitan bertemu pula dengan seorang alim dan
bertanya, “Kerana apa kamu melakukan ibadah ini?” dengan tenang dan yakin si
alim menjawab, “Mestilah aku beribadah kerana ALLAH.” Bertalu-talu soalan yang
sama diajukan kepada si abid di tanya kembali kepada si alim hingga sampai
soalan terakhir, “Adakah mungkin ALLAH menciptakan bumi dalam sebiji telur?”
Ilmu yang diperoleh dan dipelajari si alim telah membuatkan si alim dengan
yakin menjawab, “Mungkin, segala-galanya mungkin bagi ALLAH. ALLAH boleh menciptakan
semuanya mengikut kehendakNya. Itu kuasa ALLAH. Bukankah ALLAH Maha Berkuasa.”
Inilah perbandingan antara orang yang alim
dengan orang yang abid.
Selesai perdebatan masing-masing tersenyum
puas dengan ilmu baharu yang kami kongsi bersama. Terima kasih kepada Fatin
Ahza Rosli salah seorang adik ‘junior’ penulis merangkap ketua geng surau
Muslimat kolej kediaman kami kerana tidak lokek berkongsi ilmu dengan penulis
untuk disampaikan kepada sahabat-sahabat. Itulah bukti ilmu yang sedikit bila
dikongsi mendapat keberkatan yang luar biasa hebat.
Terima kasih yang tidak terhingga juga
kepada semua yang turut hadir. Hanya ALLAH yang mampu membalas segala usaha dan
mujahadah kalian untuk memastikan rumah ALLAH ini meriah dengan ilmu-ilmu yang
bermanfaat untuk semua penghuninya. Alhamdulillah…usai sudah pengisian kami
malam itu.
No comments:
Post a Comment