Bismillahirrahmanirrahim…
Alhamdulillah…Allah
masih memberi kesempatan kepada penulis untuk
berkongsi cerita dan mencoret kenangan dalam blognya. Syukur padaNya
kesempatan ini seiring dengan saki-baki penulis bersisa di universitinya
sebelum meneruskan perjalanan alam praktikal (Latihan Industri). Mohon doa semua moga ALLAH permudahkan urusan
penulis meneruskan usahanya untuk menuntut ilmu.
Kenangan
bergelar mahasiswi di universiti ini banyak mengajar penulis menjadi manusia
yang matang dalam menghadapi kehidupannya. Alam universitinya juga dipenuhi
dengan aktiviti-aktiviti yang sangat indah dan manis untuk diingati. Pahitnya
juga turut ada dan manusia lumrahnya punya ujian dan masalah yang perlu
dihadapi. Begitu juga si penulis. Cuma mungkin ujiannya berbeza bagi setiap
manusia.
Baiklah..
dalam banyak-banyak buku yang penulis baca, hari ini penulis tertarik untuk
berkongsi isi dan mutiara kata dalam buku yang bertajuk, ‘Mengapa Istikharah
Tidak Berjawab- Karangan: Emran Ahmad’. Mengapa penulis terdetik untuk membeli
sekali gus membaca buku ini? Jom, kita sambung baca!
Solat
sunat istikharah adalah solat sunat yang sangat digalakkan cuma penulis baru
terbuka hati untuk mengerjakannya saat dia betul-betuk dalam keadaan
tersepit membuat pilihan. Masa sekolah
menengah dulu penulis pernah dengar tapi langsung tak cuba mendirikannya. Bila
masuk alam universiti penulis mula mendirikannya dengan pengetahuan membaca
buku-buku yang berkaitan dan mendapatkan pandangan asatizah yang pakar dalam
urusan agama. Akhirnya terungkai persoalan penulis tentang masalah dan ujian
yang dihadapinya perlu bergantung kepada ALLAH selain berusaha
menyelesaikannya.
Buku
ini merungkai sebab mengapa istikharah yang dikerjakan tidak berhasil. Ya,
mungkin kerana hati tidak hadir saat kita mendirikan solat sunat istikharah,
beristikharah bila perlu sahaja, tidak hadir kekhusyukan dalam solat,
seolah-olah memaksa ALLAH membuat keputusan tanpa berusaha ke arah kebaikan,
dan tidak sabar dalam menanti keputusan istikharah. Itu semua terangkum dalam
buku ini. Ini betul-betul membuka mata penulis. Istikharah bukan hanya untuk
memilih jodoh, tapi istikharah adalah untuk semua perkara yang memerlukan kita
membuat pilihan yang seiring dengan kehendakNya.
Usah
pertikai mengapa istikharah mu tidak berjawab, tapi cuba pertikaikan apa usaha
mu untuk memenuhi jawapan kepada istikharah mu. Ini kesimpulan yang dapat
penulis lakarkan sepanjang membaca buku ini. Tahniah kepada penulis buku ini
yang telah menerbitkan buku tentang istikharah yang sekurang-kurangnya membuka
mata masyarakat bahawa solat sunat istikharah bukan untuk jodoh semata tetapi
untuk semua perkara. Istikharah bukti Muslim memandu hidupnya menuju ALLAH.
Memetik
kata penutup dalam buku ini, “Hidup ini adalah suatu pilihan. Kita
bertanggungjawab terhadap apa yang kita pilih. Setiap pilihan itu pasti akan
dipersoalkan oleh ALLAH s.w.t ketika kita dibangkitkan pada hari akhirat
kelak.”
Terima
kasih dan alhamdulillah…Ya ALLAH…kerana Engkau telah membuka pintu hati kami
untuk mengerjakan solat sunat istikharah petanda kami mahu mendekat dan menjadi
hamba kesayanganMu. Istikharah ini telah membuka mata penulis betapa ALLAH
sangat memudahkan hambaNya untuk memohon doa dan bergantung harap serta mengadu
hanya pada ALLAH.
Biar
lukamu berjaya dibaluti ALLAH…biar sakitmu pulih kerana ALLAH…biar resahmu
kembali tenang di pangkuan ALLAH…biar masalahmu usai di sisi kasih sayangNya…biar
bahagiamu diselimuti cinta ALLAH…biar sabar menemani di setiap langkah dan
nafas berhembus. Hanya ALLAH yang Maha Tahu tentang hamba-hambaNya.
Setakat
ini dahulu bicara penulis dan akhiri dengan kalam ALLAH yang Maha Hebat dalam
surah al-Furqan ayat 63-76 tentang sifat ibadurrahman yang bermaksud:
63. dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman
(yang diredhaiNya), ialah mereka Yang berjalan di bumi Dengan sopan santun, dan apabila orang-orang Yang
berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka
menjawab Dengan perkataan Yang Selamat dari perkara Yang tidak diingini;
64.
dan mereka (yang diredhai
Allah itu ialah) Yang tekun mengerjakan Ibadat kepada Tuhan mereka pada malam
hari Dengan sujud dan berdiri,
65. dan juga
mereka Yang berdoa Dengan
berkata: Wahai Tuhan kami, sisihkanlah azab neraka jahannam dari kami,
Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah mengertikan
66.
Sesungguhnya neraka jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal Yang amat
buruk";
67. dan juga mereka (yang diredhai
Allah itu ialah) Yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan
tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul
sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
68. dan juga
mereka Yang tidak
menyembah sesuatu Yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa Yang
diharamkan Allah membunuhnya, kecuali Dengan jalan Yang hak (yang
dibenarkan oleh syarak), dan tidak
pula berzina; dan sesiapa melakukan Yang demikian, akan mendapat balasan
dosanya;
69. akan
digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di Dalam
azab itu Dengan menerima kehinaan,
70. kecuali orang Yang bertaubat dan beriman
serta mengerjakan amal Yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan
menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka Dengan kebaikan; dan adalah Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
71. dan
sesiapa Yang bertaubat serta beramal soleh, maka Sesungguhnya (dengan itu) ia
bertaubat kepada Tuhannya Dengan sebenar-benar taubat;
72. dan mereka (yang diredhai Allah itu
ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan
perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia,
mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya.
73. dan juga
mereka (yang diredhai
Allah itu ialah orang-orang) Yang apabila diberi peringatan Dengan ayat-ayat
keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang
Yang pekak dan buta.
74. dan juga
mereka (yang diredhai
Allah itu ialah orang-orang) Yang berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan
kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami:
perkara-perkara Yang menyukakan hati melihatnya, dan Jadikanlah Kami Imam
ikutan bagi orang-orang Yang (mahu) bertaqwa.
75. mereka
itu semuanya akan dibalas Dengan mendapat tempat Yang tinggi di syurga
disebabkan kesabaran mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan
ucapan Selamat di dalamnya,
76. mereka
kekal di Dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat penetapan dan
tempat tinggal.
Salam ukhuwwah fillah sahabat...
ReplyDeletePerkongsian yang amat bermakna buat diri ini. Terima kasih.
#ALHAMDULILLAH...Allah Beri CINTA-NYA...07-04-1436H | 27-01-2015M 23:47