The Latest Books
that I brought before Holiday.
Inilah antara tiga buah buku yang sempat dibeli semasa
memenuhi undangan perkahwinan seorang sahabat di Pahang sekali gus dapat menambah
koleksi buku yang ada di mini perpustakaan penulis. Bertarikh 1 Jun 2013.
Buku bertajuk ‘Di mana Bumi dipijak’ karangan Abu Hassan
Morad menarik perhatian penulis untuk seketika. Kenapa yer? Buku tulisan
ayahanda penulis terkenal, Ummu Hani Abu Hassan ini sarat dengan
pengalaman-pengalaman Abu Hassan ketika menziarahi negara-negara luar. Buku
yang sangat menarik bagi sesiapa yang memang suka melancong dan mengambil
pengajaran berharga dari negara-negara lain. Buku ini adalah dokumentasi
perjalanan Abu Hassan Morad melihat sendiri kehidupan umat Islam khususnya di
negara-negara yang pernah beliau ziarahi seperti Eropah, Timur Tengah, China,
Thailand, Australia, Bangladesh, Kemboja dan Bali.
Isinya padat dengan pengajaran-pengajaran berguna buat
pembaca. Memetik tulisan Abu Hassan Morad dalam buku ni, “Sesekali menjengah
negara begini, akan terasa betapa kurangnya kita berkorban untuk negara Islam.
Kadang-kadang Islam hanya tempelan, ritual adat, ikut-ikutan yang tidak memberi
apa-apa makna kepada kehidupan kita di atas muka bumi ini. Terasa jauhnya kita
berbanding mereka. Banyak perkara yang perlu dilakukan terutamamenggunakan
globalisasi untuk membina kekuatan perhubungan sesama Muslim bagi berkongsi
kekuatan dalam membantu membangunkan umat Islam yang lemah.”
Selain itu buku ini sarat dengan gambar-gambar menarik
yang sempat dirakam oleh Abu Hassan Morad sepanjang penjelajahannya di luar
negara. Gambar-gambar yang ada menjelaskan lagi suasana di negara orang. Buku
ini adalah keluaran Galeri Ilmu.Nak tahu lagi banyak tentag buku ni? Jom
sama-sama kita dapatkan buku ni!
Buku ke-2 ialah bertajuk ‘Angguk Geleng-Himpunan kisah
Dakwah Satira’ karangan Pahrol Mohamad Juoi dan Husna Hassan. Penulis berusaha
mendapatkan buku ini setelah tertarik dengan muka depan buku ini dalam iklan
buku majalah Solusi. Menurut Kamus Dewan satira bermaksud puisi atau prosa yang
mempersenda atau menyindir orang lain. Satira dalam buku ini pula lebih
dimaksudkan sebagai penyampaian kisah dakwah secara sindiran tetapi penuh
berhikmah.
Buku ini adalah antara keluaran terbaru Telaga Biru Sdn.
Bhd. Buku ini banyak memaparkan kisah-kisah yang dapat memberi kesedaran jiwa
dan minda di samping mampu membuatkan pembaca mengangguk dan mengelang dengan
kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku ini. Buku ini jugak banyak memberi
pengajaran berharga buat pembaca dan masyarakat keseluruhannya.
Golongan yang menjadi sasaran dalam usaha berdakwah dan
mendidik masyarakat adalah adalah golongan bijak sederhana dan degil. Jadi buku
ini memberi pendekatan mudah dengan merujuk ayat al-Quran surah an-Nahl ayat 125.
Caranya ialah, dengan berhikmah, pengajaran yang baik dan cara berdebat tetapi
dengan sentuhan yang paling baik.
Buku ini juga diselitkan dengan pelbagai gambar ilustrasi
karton yang melucukan dan memberi jentikan untuk pembaca berfikir lebih
mendalam. Menariknya setiap kisah yang dipersembahkan ada diselitkan
bersama-samanya pengajaran. Jom baca buku ini!
Buku terakhir yang dibeli ketika asyik mencari buku di
kedai buku penulis terpandang buku bertajuk ‘Bicara Ini Demi Ilahi’ karangan
Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Buku yang dihasilkan oleh seorang
ulamak yang terkenal. Diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf dan menjadi buku ‘best
seller’ antara buku-buku lain.
Tersentuh hati penulis saat membaca tulisan Tuan Guru Dato’
Nik Abdul Aziz Nik Mat pada kulit hadapan buku ini, “Bukan mudah untukku
berbicara. Pasti ada yang terluka, meski bicaraku ini bukan untuk menunding
sesiapa. Namun demi ummah, aku pedulikan kata nista. Demi agama, aku redah
lautan gelora. Kerana aku yakin, DIA akan mengadiliku di sana...” Pantas tangan
penulis mencapai buku ini dan membayarnya.
Tenang sekali saat menatap wajah tersenyum Tuan Guru
Dato’ Nik Abdul Aziz pada kulit depan buku ini. Tulisan beliau sarat dengan
mengingatkan masyarakat mendekati ALLAH. Di samping tajuk-tajuk tertentu yang
diulas oleh beliau, turut terdapat puisi-puisi yang diselit bersama dalam buku
ini. Sekali lagi penulis memilih untuk memetik kata-kata Tuan Guru Dato’ Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang berbunyi, “Saya memilih untuk turun ke medan ini untuk menyebarkan
ilmu, jalan yang pernah diambil oleh para nabi dan rasul. Nawaitunya hanya
satu, kerana ILAHI.”
Tertarik dengan bab akhir buku ini yang bertajuk ‘Andai
Mampu Lagi Aku Bicara” penulis meneliti setiap bait kata yang lahir dari hati
suci milik penulis buku ini menceritakan pengalaman beliau sepanjang jalan
dakwah. Beliau turut menceritakan kepentingan ilmu kepada masyarakat dan
mengajak semua masyarakat menuntut ilmu dan menyampaikannya kepada sesiapa
sahaja.
Saat penulis membaca buku ini, penulis dapat membayangkan
penulis buku ini sedang memberi nasihat kepadanya. Itulah dia penangan kita
menulis dengan hati dan menyampaikannya juga dengan hati. Andai saat ini ramai
yang membaca buku ‘Bicara ini Demi ILAHI’ sudah tentu ramai yang menyedari
bahawa kita hidup di dunia ini hanyalah sementara bukan selam-lamanya. Ramai
yang menyedari betapa pentingnya kita sebagai Muslim perlu memusatkan sepenuh
ketaatan kepada ALLAH dalam kehidupan harian kita.
Apa tunggu lagi, jom kita dapatkan buku ini dan sama-sama
dapat pengajaran dari bait kata indah seorang ulamak!
No comments:
Post a Comment