Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah...berkat kasih sayang ALLAH
penulis masih bernafas di ruang Islam memegang amanah sebagai khalifah &
hambaNya. Ya ALLAH ku syukuri segala nikmatMu. Diriku terkadang alpa dengan
dunia hingga terlupa apa matlamat akhir keberadaanku di bumi yang sementara
ini. Sungguh blog memberi inspirasi kepada penulis untuk meneruskan langkahnya
sebagai individu muslim. Al-Hamdulillah setelah lama menyepi & membiarkan
blog ini kosong daripada kata-kata nasihat, dia akhirnya bangkit memenuhi masa
terluang walau sedikit. Bukan masa sahaja yang menghambat tapi juga masalah
rangkaian internet yang lambat memberi dia ruang untuk sentiasa beralasan.
Bukan mudah untuk terus istiqamah kerana ia butuh mujahadah.
Al-Hamdulillah...cuti tahun baharu cina
memberi peluang kepada penulis untuk pulang menziarahi keluarga di kampung.
Perasaan tidak sabar melihat insan-insan tersayang makin menebal & telah
terubat bila sampai sahaja penulis di
bumi serambi Makkah yang di sambut oleh tiga orang ‘bodyguard’ nya merangkap
tiga orang adik lelakinya yang kebetulan semuanya ada di kampung. Penulisan ini
di sambung ke kampung halaman bumi Kelantan yang dicintai kerana ALLAH. Sudah hampir sebulan Kelantan kehilangan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Genap sebulan juga penulis memendam rasa sebak & sedih akan kehilangan
ulamak hebat seperti beliau.
Ya al-hamdulillah, masih bergelar & memegang
amanah sebagai muaddibah, mengajar anak-anak berumur 5 tahun. Benar mengajarnya
erti kesabaran, benar mengajarnya erti terus-terang, benar mengajarnya erti
pengorbanan, benar mengajarnya bagaimana kehidupan seorang kanak-kanak Islam.
Moga kerjaya ini memberi ruang kepadanya untuk terus mengkoreksi diri yang sentiasa
lemah & bersalut dosa ini. Masing-masing sudah punya kerjaya tersendiri,
tak kiralah apa yang kita buat asalkan kita tidak lari dari matlamat akhir kita
sebagai hamba ALLAH yang mahu menemuinya dengan ‘husnul khatimah’ sebaik-baik
pengakhiran. Ameen, insyaALLAH.
Kehadiran bicara kali ini bukan untuk berbual
kosong, punya matlamat & niat tersendiri. Masih basah di ingatan penulis
saat dia asyik mendengar bicara seorang lelaki hebat berdirinya tidak lemah,
kata-katanya penuh kelembutan tetapi tegas, mutiara-mutiara yang dijalin indah
lahir dari hati yang bersih. Mengingatinya membuatkan penulis sebak seketika,
bumi Serambi Makkah kembali menangis lagi setelah disergah oleh hamba ALLAH
yang bernama air pada Disember 2014 yang lalu. Menangisi pemergian insan hebat
bernama Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada 12 Februari 2015 yang lalu,
jam lebih kurang 9:45 malam & paling menakjubkan jatuh pada hari Khamis
malam Jumaat benar menyentuh qalbu penulis.
Air matanya laju menitis saat mendapat khabat
berita pemergian ulamak besar, mantan Menteri Besar Kelantan merangkap
Mursyidul Am PAS. Benar menyentuh hati, benar menggugat rasa, tidak disangka
ulamak hebat ini cepat sekali diambil ALLAH. Beberapa kali penulis bertanya
pada sahabat-sahabatnya tentang kesohehan berita ini. Ya benar Tuan Guru Nik
Abdul Aziz bin Nik Mat telah meninggalkan dunia ini menikmati hari bahagia di
alam sana. Masih tidak dapat diterima berita ini sehinggalah dia mendapat
kebenaran hilangnya insan hebat ini di bumi Malaysia.
Tidak banyak yang penulis tahu tentang
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Apa yang penulis tahu beliau
adalah contoh pemimpin terbaik di abad ini. Ramai menangisi pemergiannya
terutamanya rakyat Kelantan yang seolah-olah masih bermimpi akan kehilangan
insan yang dikasihi oleh ramai manusia. Penulisan Allahyarham Tuan Guru Nik
Abdul Aziz bin Nik Mat juga hebat penuh kata-kata hikmah yang mendidik jiwa, ke
arah cintaNya. Moga suatu saat akan lahir insan seperti beliau lagi yang jasa
pengorbanannya maha hebat untuk memastikan Islam tertegak di bumi ALLAH ini.
Tanpa melengahkan masa, izinkan penulis mengisi blognya kali ini dengan bait
kata ilham yang muncul saat memikirkan insan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul
Aziz bin Nik Mat. Puisi bertajuk, ‘Kehilanganmu’....mari kita ikuti
bersama-sama!
“Kehilanganmu”
Di ketenangan malam itu
Suara alam
Seakan menangisi pemergianmu
Namun, makhluk langit menanti kehadiranmu
Tersenyum bahagia berarak sesak
Dirimu tenang di sana
Sedang kami dihimpit derita
Derita bukan kerana kehilanganmu
Kerana kesal kami tidak sering berdamping denganmu
Kerana resah kami melempar kata padamu
Tenang & damai dirimu di sana
Usai sudah perjuanganmu demi agama
Penat lelah terhenti rehatmu bermula
Sedang kami
Terus melangkah demi agama
Memperjuang menegak Islam di mana kami berpijak
Kehilanganmu
Sangat menyentuh emosi ramai manusia
Menitis laju mutiara tanpa dipinta
Menangisi meratapi tapi bukan itu pintamu
Teruskanlah perjuangan walau jasadmu telah dikuburi
Teruskanlah langkah demi Islam walau rohmu telah kembali
Usah biar kisah kehilanganmu
Membantut usaha jihad bersama
Walau dirimu telah pergi menemui Ilahi
Segala kata serta pengorbananmu
Mewangi di taman hati manusiawi
Dedikasi kasih cinta buat Allahyarham Tuan
Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Walau jasadnya telah tiada kekal bersemadi di
alam sana, walau wajahnya yang tenang sesekali takkan mampu kita tatapi
lagi...ingatlah kasih & sayangnya seorang insan yang memegang amanah ALLAH
kepada umat ini takkan pernah pudar. Segala usaha, pengorbanan & keringat
beliau yang tumpah pada bumi serambi Makkah khususnya takkan pernah padam
bersemadi dalam hati setiap insan yang menyayanginya kerana ALLAH.
Ingatlah sahabat, Allahyarham Tuan Guru Nik
Abdul Aziz bin Nik Mat juga pinjaman ALLAH kepada kita. Sesungguhnya kepada
ALLAH kita kembali & kepadaNya juga kita bergantung pengharapan. Buat insan
yang pernah berlaku silap pada beliau usah putus asa rahmat ALLAH sentiasa ada
untuk kita bertaubat dengan taubatan nasuha, untuk kita beristighfar hingga
tiba pada pengujungnya. Manusia ya fitrahnya tidak lari daripada melakukan
kesilapan tetapi kita usah lagi terjerumus dalam kesilapan tersebut untuk kali
ke duanya.
Setakat ini sahaja coretan hati penulis
tentang insan bernama Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sebelum
menutup bicara mari sama-sama kita menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham
Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Al-Fatihah...buat keluarga allahyarham
salam takziah penulis kirimkan lewat
bicara blog ini & buat seluruh rakyat Malaysia ambillah ibrah
disebalik pemergian Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Manusia
takkan selamnya di dunia, tiba masa Malaikat Maut menjemput kita tiada terlewat
walau sesaat tiada tertangguh walau seminit. Moga penulisan kali ini bisa
menjentik hati-hati manusia untuk terus mengingati ALLAH & berjuang
menegakkan agama Islam. InsyaALLAH...siiru ‘alaa barakatillah.
PESANAN PENULIS:
Maaf andai kehadiran 'entri' ini lambat dari masa yang sebenar. Sejujurnya cerita ini sudah lama berkampung dalam 'notebook' kesayangan penulis cuma masa sangat mencemburuinya sehingga baru kali ini dia punya masa untuk menaip sesuatu di blognya. Akhir kata, mari kita sama-sama menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
No comments:
Post a Comment