Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang..
Al-Hamdulillah...dengan
nama ALLAH penulis memulakan perkongsiannya dalam blog ini. Al-Hamdulillah
peluang dan ruang yang sangat berharga ini masih diberi berterusan kepadanya
selagi ruh ada pada badan. Al-Hamdulillah ucapan syukur ini sebagai tanda kasih
& sayangnya kepada ALLAH Yang Maha Esa...yang menciptakannya & menjadikannya
hidup dihiasi dengan Islam. Iman & Islam sentiasa mengindahkan
kehidupannya. Al-Hamdulillah...ruang yang ada digunakan sepenuhnya untuk blog ini. Mana tahu selepas ini tiada lagi kesempatan untuk kali ke-2 @ ke-3...
Kenapa tiba-tiba
hari ini bercerita tentang nombor? Tarikh bulan Islam? Kenapa ya? Cuba kita
fikir sama-sama & jom baca cerita di bawah! Apa pandangan kalian? Ada
sebarang komentar & cadangan? Mohon terus menghubungi penulis blog ini.
Tarikh 12 Jamadil
Awal 1411 bersamaan 30 November 1990 lahirnya seorang lagi hamba ALLAH
memeriahkan suasana pasangan suami & isteri yang baru sahaja mendirikan
rumah tangga pada 24 Februari 1990. Puteri sulung itu disambut riang oleh
kedua-dua mama & ayahnya. Nenek & saudara-saudara lain juga tumpang
gembira. Ya, anak anugerah daripada ALLAH. Anugerah yang maha berharga, kerna
ibu bapalah yang mencoraknya membuatkan corakan itu indah atau sebaliknya itu
terpulang.
Zaman
kanak-kanaknya sedikit berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebayanya. Kenapa
berbeza? Ya dia banyak menghabiskan masa kecilnya di rumah, tiada masa untuk
bermain di luar pada waktu petang, pulang sahaja dari sekolah, rumah menjadi
tempat destinasi utamanya. Waktu petangnya dipenuhi dengan jadual mengaji
al-Quran. Ketegasan & kegarangan ayahnya dalam memastikan puteri sulungnya
dapat membaca al-Quran dengan baik telah membuahkan hasilnya setelah dalam usia
12 tahun dia dapat menghabiskan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Rotan milik
ayah masih basah di ingatannya saat malas membaca al-Quran. Rotan itu yang akhirnya memberi pengajaran terbesar kepada penulis betapa ketegasan ayah dalam membentuk peribadi anak perempuannya membuah hasil berganda buatnya.
Dia membesar
daripada seorang kanak-kanak yang pasif hinggalah dia memasuki sekolah menengah
ugama Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan di bumi serambi Makkah. Sekolah
yang hanya didiami oleh pelajar-pelajar puteri. 7 tahun dia membesar di
sekolahnya, keperibadian, identiti, akhlaknya di bentuk di sini. 7 tahun juga
dia memegang amanah sebagai pengawas sekolah. Masih basah di ingatannya
bagaimana dia ditemuramah untuk dilantik sebagai ‘polis sekolah’. &
akhirnya dia memegang amanah itu. Daripada seorang pasif, tugasnya sebagai
pengawas sekolah telah sedikit memberi titik perubahan kepada dirinya.
Kuasa sahabat yang
mencerminkan watak dirinya telah memberi impak positif kepada dirinya.
Sahabat-sahabat sekeliling banyak membantunya memperbaiki diri & terus
memegang watak sebagai dirinya. Walau terkadang terpaksa menelan pahit digelar
pelajar yang skema & ‘lurus’ dia terima gelaran itu dengan redha sebab dia
tahu waktu itu kata-kata manusia bukan boleh mempengaruhi dirinya. Dengan kata
nasihat, motivasi & kata semangat dari sahabat-sahabat yang baik serta
guru-guru yang tak pernah putus meninggalkan pesan positif dia terus membina
dirinya. Akademiknya bukan ibarat pelajar cemerlang & bukan sentiasa
mendapat anugerah pelajar cemerlang, tetapi al-Hamdulillah dia boleh menerima
pembelajarannya walau pertengahan. Ada jatuh & bangunnya itu fitrah bila
bergelar sebagai pelajar tidak selamanya berjaya & tidak selamanya gagal.
7 tahun kenangan
pahit manis ditelannya semasa di alam remaja. Zaman remaja adalah zaman
segalanya ingin dicuba, pada masa tersebut hangat cinta monyet diperkatakan,
maklumlah zaman darah muda. Al-hamdulillah, dia bisa menangkis cinta monyet itu
hanya kerana dia memegang prinsip ayahnya yang sentiasa berpesan usah bercinta
masa belajar. Dia sentiasa berdoa moga berterusan seperti ini sehinggalah dia
sah memegang amanah sebagai seorang isteri. Biarlah cintanya di abadikan kepada
ALLAH, ibu ayah, adik-beradik & seorang lelaki yang bakal bergelar imamnya
nanti. InsyaLLAH.
“Ya ALLAH, ku mohon
peliharalah cinta suci ini hanya untuk insan yang selayaknya aku cintainya. Ya ALLAH
ku mohon tambahkanlah cintaku terhadapMu agar aku tidak terus leka dengan
keindahan dunia.” Dia simpan cinta suci itu buat insan yang bernama suami yang bakal memimpinnya & keluarga melangkah tenang ke syurgaNya.
Akhirnya
al-hamdulillah dia dapat melangkah ke alam universiti. Bergelar & memegang
amanah sebagai mahasiswi universiti. Impian ibu dan ayah terlaksana akhirnya
berkat rahmat kasih sayang ALLAH & berkat doa ibu ayah. Seketika dia
berteleku tergamam saat melihat ramai insan yang benama lelaki membanjiri
fakultinya. Sepanjang tujuh tahun belajar tak pernah berdepan dengan pelajar
berlainan gender, bagaimana dia mahu berhadapan dengan mereka?
Nak tak nak dia
terpaksa menghadapi situasi itu. Buat masa ini hanya ALLAH Yang Maha Tahu
bagaimana perasaannya tambahan ketika membuat pembentangan tugasan yang
diberikan oleh pensyarah-pensyarahnya. 25 tahun sudah dia menikmati
kehidupannya di dunia sebagai muslimah wanita Islam. Al-hamdulillah ALLAH
memberinya ruang bernafas dalam Islam menghayati betapa indah & manisnya
bergelar muslim. Bertuah kita dilahirkan dalam Islam membesar juga dalam
suasana Islam.
Detik 12 Jamadil
Awal 1436H bersamaan 3 Mac 2015 @ detik 12 Jamadil Awal 1411H bersamaan 30
November 1990 adalah ulang tahun kelahiran ke-25 milik insan pemilik blog ini. Menunggu ucapan & doa daripada
sahabat-sahabat. Sudah 25 tahun lahir sebagai Islam & dia berharap agar dia
istiqamah dalam perjuangan Islam ini. Andai dia tidak sempat menamatkan umurnya
pada usia 63 tahun...andai lebih awal dia meninggalkan dunia ini dia sangat
berharap dapat menamatkan hayatnya di dunia ini dengan sebak-baik pengakhiran
(husnul khatimah).
Elok rasanya dia
mengingati mati pada tarikh kelahirannya kerana mana tahu ALLAH mengambilnya
lebih awal. Mengingati mati bukan bermakna putus asa dengan kehidupan dunia
tetapi menjadikan kita manusia yang cemerlang dunia & akhirat. Dah 25 tahun
hidup apalah sangat sumbangan dia untuk Islam hanya sekadar menulis di blog,
cukupkah bekalnya untuk di bawa di akhirat kelak? Hanya menutup aurat, cukupkah
dia memberi contoh muslim yang benar-benar Islam? Astaghfirullah...ampunkanlah
hambaMu ini.
Di kesempatan ini,
izinkan penulis memohon jasa baik sahabat-sahabat yang dikasihi ALLAH untuk
mendoakan penulis walau sedikit sempena tarikh ulang tahun kelahirannya yang
ke-25. Andai tiada masa, cukup untuk kalian menghadiahkan al-Fatihah kepada
penulis. Cukup untuk kalian doakan dia thabat di jalan perjuangan Islam, di
jalan yang ALLAH telah memilihnya sebagai hamba & khalifahNya. 25 tahun bukan
masa yang singkat, ya daripada bayi meniarap, merangkak & bisa berjalan
hinggalah dia bergraduasi & sekarang memegang amanah sebagai muaddibah
kepada anak-anak yang dia ajarkan. Sepatutnya 25 tahun ini dia bisa menyumbang
sesuatu yang berharga untuk agamanya,
Islam.
Setakat ini sahaja
coretan hati penulis untuk hari ini. InsyaALLAH jika berkesempatan kita akan
bertemu di lain hari dengan ceritera CINTA AGUNG yang lebih menarik. Ameen. Salam
kasih sayang kerana ALLAH S.W.T. Siiru ‘alaa barakatillah.
No comments:
Post a Comment