Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah, dengan izinNya penulis masih mampu
berdiri di bumi ini sebagai hamba & khalifahNya. Al-Hamdulillah sejujurnya
limpahan syukur tidak terkira buat Tuhan yang sentiasa mengulit jiwanya, yang
sentiasa mencurah kasih sayang padanya, yang sentiasa menganugerahkan
nikmat-nikmat yang tidak berbilang banyaknya, yang sentiasa mengingatkannya
dengan teguran ujian & mehnah dariNya. Entah bagaimana mahu penulis
abadikan rasa syukurnya...rasa cintanya kepada ALLAH Yang Maha Esa. Dia
abadikan rasa cinta sebagai hamba ALLAH dalam blog yang banyak memberinya
peluang berkongsi dengan manusia lain.
Sensasi sekali entri yang di bawa oleh penulis kali
ini. Nak tahu ceritanya? Ayuh bersama meneruskan perjalanan mata untuk singgah
sebentar di blog yang serba kekurangan ini. Bukan masa yang tiada, bukan kerana
sibuk dengan urusan sebagai muaddibah juga bukan kerana malas yang membelenggu
jiwa, Cuma terkadang ujian ALLAH menjelma dengan lambatnya ‘internet
connection’ membuatkan semuanya tergendala. Ya, dengan internet dia bisa
menggunakan blognya semaksimum mungkin. Doakan moga perjalanan blog ini tidak
terhenti di pertengahan jalan hanya kerana duri-duri berselerakan di sepanjang
destinasinya.
Jatuh cinta ‘suami pertama’, entri yang di bawa oleh
penulis kali ini bukan bermakna dia sudah bergelar isteri & nak tahu siapa
suami pertamanya? Ayuh hayati bersama bait kata di bawah!
Ketika umurnya masih belasan tahun
Dia berta’aruf dengan di ‘dia’
Dalam tarbiyah jasadiyyah, ruhiyyah & ‘aqliyyah
Tiada kata mampu diucapnya
Saat bicara bai’ah menutur laju
ALLAH menjadi saksi setianya
Walau ketika itu dia kurang mengerti
Dia menjadi suami setia
Membimbing pendampingnya pada ALLAH semata
Nama Islam dijunjung bersama
Mahu melahirkan generasi rabbani
Islam is the way of life
Saat teruji dia tidak mudah melatah
Malah mengajar erti sabar & tadhiyyah
Saat bahagia & kenangan indah tercipta
Rasa syukur beriringan mendampinginya
Saat berukuwwah dia mengajar
Bina ukhuwwah kerana ALLAH
InsyaALLAH segalanya indah
10 rukun bai’ah berlegar di ingatannya
Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban
Taat, Tetap Pendirian, Tegas, Persaudaraan, Percaya
Amanah pada 'si suami' dilaksana
Perjuangan Islam terus membasahi bumi ini
Biar nanti darahnya mengalir tanpa henti
Tergadai nyawa demi agama
Aku punya suami bernama perjuangan Islam
Dakwah, tarbiah wehdatul fiqr, wehdatul amal
Menjadi mainan yang paling menyeronokkan
Menghiasi titik akhir
Bertemu husnul khatimah
Mohon sahabat-sahabat yang menziarahi blog ini untuk
memahami makna ‘suami pertama’ bagi penulis. Ya benar dia jatuh cinta pada
‘suami pertama’nya yang banyak memberinya peluang mendekatkan diri kepada ALLAH
& tidak dilupa mendekatkan diri kepada masyarakat (hablunminallah &
hablunminannas). Siapa insan bertuah yang digelar suami itu? Ya, itulah
perjuangan Islam. Dia berkenalan dengan perjuangan Islam sejak di bangku sekolah
menengah agama lagi. Pada mulanya dia kurang mengerti kenapa perlu hidup dalam
perjuangan Islam sehinggalah dia menemui buku bertajuk ‘Apa Ertinya Saya
Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan.
Amanah automatik ada di bahunya. Amanah yang pinta
dilaksanakan, amanah yang bakal membawanya ke syurga atau menghumbannya ke
neraka, amanah yang di dalamnya terdapat jutaan kasih ALLAH pada hambaNya. Di
sini penulis kenal erti amanah pada tanggungjawab. Belajar dari satu perkara
kepada satu perkara yang baharu. Amanah yang harus dipikulnya hingga kiamat
yang bakal disoal & dipertanggungjawabkan kelak. Bunyinya seakan-akan
mengerikan tetapi itulah hakikat kehidupan.
Dekatkanlah dirimu dengan ALLAH insyaALLAH, ALLAH
akan mendekatkan dirimu pada sesiapa yang ALLAH kehendaki. & penulis yakin
perjuangan Islam & dakwah Islamiyyah ini antara salah satu punca dia
menjadi dirinya seperti sekarang. Dengan didikan agama yang berterusan bila
penulis melakukan kesilapan & kesalahan atau dosa, terbias ketidakselesaan
pada dirinya. Bukan nak kata dia baik tetapi ini semua hasil bergelumangnya dia
dengan perjuangan Islam. Al-hamdulillah...beruntungnya insan yang bergelumang
dengan perjuangan Islam & jihad. Bicara tentang jihad ramai yang
menggeruninya. Ramai sekali yang memandang serong padanya. Padahal dengan jihad
inilah, Islam tersebar hampir 1/3 seluruh dunia pada sejarah zaman dahulu.
Banyak pengalaman & perkara yang penulis belajar
bila dia menginfaqkan diri dalam dunia perjuangan Islam, paling terzahir
padanya adalah dia bawa ALLAH ke mana sahaja dia berada. Hanya dia yang tahu
& ALLAH Maha Mengetahui apa yang terdetik di hatinya. Pahit manis ditelan
bersama, bohong jika tiada resah di jiwa,bohong jika tidak pernah jatuh
tersungkur, bohong jika tidak pernah rasa kecewa & terseksa, bohong jika
dia tidak pernah rasa tertekan dengan hidupnya. Semua perasaan buruk terkadang
singgah di fikirannya. Itu fitrah manusia, Cuma bagaimana penulis menghadapi & mendepani
setiap mehnah yang menjengah jendela kehidupannya. Ia bergantung kepada diri
kita sendiri, bagaimana kita berhadapan dengannya sama ada dengan fikiran
positif atau fikiran negatif.? Tepuk dada tanya bagaimana hati, pemikiran &
tingkah kita.
Izinkan penulis berkongsi dengan sahabat-sahabat
semua tentang sebuah buku yang membuka mata hatinya tentang Islam iaitu ‘Apa
Ertinya Saya Menganut Islam’ karangan Fathi Yakan. Buku ini sangat bermanfaat
kepada individu-individu Islam yang mahu mendalami Islam secara menyeluruh. Buku
ini di bahagikan kepada dua bahagian utama iaitu:
BAHAGIAN PERTAMA Apa
Ertinya Saya Menganut Islam
1. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akidah.
2. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Ibadat.
3. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Akhlak.
4. Saya Mestilah Muslim Di Sudut Berkeluarga.
5. Saya Mestilah Mampu Mengawal Diri.
6. Saya Mestilah Yakin Bahawa Masa Depan Di Tangan
Islam.
BAHAGIAN KEDUA Apakah Ertinya Saya Menggabungkan
Diri Dengan Harakah Islamiah
1. Saya Mesti Hidup Untuk Islam.
2. Saya Mesti Beriman Bahawa Beramal Untuk Islam
Adalah Wajib.
3. Tanggungjawab, Ciri-ciri dan Persediaan Harakah
Islamiah.
4. Saya Mestilah Memahami Cara-cara Beramal Untuk
Islam.
5. Saya Mesti Memahami Sejauh Manakah Makna
Penggabungan
Dengan Harakah Islamiah.
6. Saya Mesti Memahami Makna Pemutusan Amal Islami.
7. Saya Mestilah Memahami Syarat-syarat Baiah dan
Keanggotaannya.
Ya isi kandungan buku ini banyak memberi ruang kepada
penulis untuk berfikir semula bahawa kehidupannya bukan untuk memikirkan
tentang dirinya sahaja, tetapi juga berfikir & memberi ruang kepada diri
memikirkan tentang insan-insan lain yang berhak ke atas keberadaannya di dunia
ini. Hidup bukan untuk mementingkan diri sendiri, tetapi ALLAH ciptakan kita
untuk saling berkongsi, untuk saling berbagi, untuk saling melengkapi. &
perjuangan Islam ini sugguh melengkapkan sebahagian dari kembara hidupnya
sebagai hamba ALLAH & khalifahNya. Tinggal lagi ilmu itu harus di amal
& dipraktikkan sebaiknya agar ia tidak diumpamakan sebagai pohon yang hidup
segan mati tak mau.
Pada ‘suami pertama’ terzahir banyak perkara, sungguh
kasih sayang ALLAH tidak pernah putus bila dia semakin berusaha mendekati
perjuangan Isalm & harus diingatkan perjuangan Islam tidak dihamparkan
dengan hamparan permaidani merah yang mewah, juga tidak disajikan dengan
makanan yang sedap lagi lazat, juga tidak sentiasa senang seperti tingkah
dunia. Perjuangan Islam ini penuh dengan duri, tersusun indah segala macam
mehnah, terzahir kepahitan & kesusahan pada perjuangan Islam namun nantikan
manisnya pada akhir kehidupan insan yang bergelumang dengan perjuangan Islam
ini.
Ingatlah duhai mujahid & mujahidah Islam, perjuangan Islam ini
tidak sesekali memerlukan kita, tetapi kitalah yang sangat memerlukannya.
Tanpanya kita seolah-olah hilang cahaya yang menerangi perjalanan kita.
Tanpanya kita hidup di dunia dengan akal fikiran yang kosong & dipenuhi
keresahan. Jadi, penulis mengajak dirinya & sahabat-sahabat yang setia
menjengah blog ini untuk istiqamah di jalan ini. Kita insan yang dipilih ALLAH
untuk memastikan mata rantaian perjuangan Rasulullah s.a.w tidak terhenti di
pertengahan jalan, jadi teruskan usaha berada di jalan ini (thabat) walau
berjuta dugaan menimpa dirimu.
Al-Hamdulillah usai sudah coretan hati penulis
tentang jatuh cinta pada ‘suami pertama’. Moga coretan ini membekas di jiwa
insan-insan yang dahagakan cinta ALLAH. Usah risau ALLAH sentiasa bersama-sama
kita melihat & memerhati segala tindak-tanduk kita bukan bermakna ALLAH
mengongkong tetapi kerana sayangnya ALLAH kepada kita hingga DIA mahu yang
terbaik untuk kita, DIA telah menetapkan sebaik-baik qada’ & qadar serta
takdir kepada kita.
Setakat ini dahulu coretan hati penulis di blog hari
ini. Siiru ‘alaa barakatillah. Salam sayang kerana ALLAH.