Indahnya ciptaan ALLAH
Al-Hamdulillah…ALLAH
memberiku peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Selama ku
menghirup oksigen anugerah ALLAH, diriku sempat melihat keindahan alam di
kawasan pesisir pantai, pulau, kawasan bandar, kawasan kampung, air terjun,
tasik, dan hutan rimba. Tempat yang paling kerap dilihat oleh diriku dan sangat
sesuai untuk merasa betapa agungnya ALLAH adalah kawasan kampung dan pesisir
pantai.
SubhanALLAH…damainya
hati saat diriku asyik menikmati keindahan alam ini. Ya ALLAH…jika berpeluang
izinkan aku untuk terus menikmati keindahan alam ciptaanMu. Ya ALLAH…jika
berkesempatan aku tidak ingin berjauhan dari keindahan alam ini. Alam ini
membuatkan aku mulai terfikir, Ya ALLAh betapa agungnya ciptaanMu…betapa
kerdilnya diriku yang hanya menjadi hamba ALLAH. Alam ini membuat aku menjadi
insan yang sentiasa berfikir betapa hebatnya kuasa ALLAH.
SubhanALLAH…damainya
jiwaku saat aku berpeluang singgah ke pesisir pantai. Ombak yang menghempas
pantai menenangkan jiwaku yang resah. Bunyi ombak yang berdesir di pantai
membuatkan aku lupa pada permasalahan. Luas mata memandang bila melihat laut
yang sangat indah. Laut membiru, awan memutih burung pula tidak kurang turut
berdendang merdu. Bila melangkah di pesisir pantai, subhanALLAH…pepasirnya
sangat lembut ibarat permaidani tebal membelai kaki yang menyusun langkah.
Sungguh diriku jatuh cinta pada pantai dan Penciptanya.
SubhanALLAH...damainya
sanubari saat melangkah pulang ke kampung halaman. Kenangan membesar di kawasan
kampung bermain di fikiran. Udara segar mengusap pipi…burung berkicauan
seolah-olah menyambut kehadiran si perantau…pokok-pokok melambai indah
seolah-olah menyukai kehadiran anak watan…ibu ayah sudah pasti menunggu
kepulangan anak kesayangannya. Bila di kampung nikmatnya sangat banyak, nak
buah panjat sahaja pokok, nak sayur petik sahaja belakang rumah, nak bermain
badminton halaman rumah menjadi mangsa, jiran-jiran juga peramah dan ambil
berat sesama mereka. Sungguh diriku jatuh cinta pada kampung dan Penciptanya.
SubhanALLAH…damainya
qalbu saat menziarah kawasan air terjun bersama-sama sahabat-sahabat. Bunyi air
terjun yang sangat mengulit rasa bahagia pada pencintanya…air yang mengalir
deras tanpa henti walau disekat batu-batu yang besar memberi makna yang cukup besar
kepada manusia yang sentiasa berfikir…burung turut riang bernyanyi menjadi
melodi yang cukup indah bagi pendengarnya…udara segar menyegar pemikiran…pokok-pokok
tumbuh segar di sisi air terjun menjadi hiasan yang sangat indah…Ya ALLAH
hebatnya penciptaanMu. Aku jadi kagum dan menghargai kasih sayangMu.
SubhanALLAH…tenangnya
fikiranku saat aku melangkah ke pulau. Ingin sahaja ku bisikkan pada pulau
bahawa aku mahu tinggal di situ. Pasirnya halus saat aku memijaknya…udaranya
juga masih belum dicemari asap berganda…
SubhanALLAH… diriku sempat menikmati
keindahan alam di dalam air yang dalam( ada banyak ikan yang ceria berenang,
ada batu karang yang hidup senang dan ada panorama yang tidak mungkin aku dapat
di daratan)…ombaknya juga bisa menenangkan jiwaku yang kusam…yang pasti semua
keindahan alam yang diriku nikmati menggetarkan jiwaku untuk mengingati
ALLAH…mengajak aku zikrullah saat melihat keindahan ciptaanNya. Sungguh diriku
jatuh cinta pada pulau dan Penciptanya.
Indahnya
ciptaan ALLAH walau masih banyak lagi alam yang belum bisa diriku lihat.
Sahabat-sahabat bila berpeluang melihat dan menikmati keindahan alam ciptaan
ALLAH, nikmatilah sepuasnya kerna alam mengajar kita mendekatkan diri pada
ALLAH. Lihatlah sebaiknya kerna alam ini mendatang rasa cinta yang sangat agung
pada ALLAH. Ini salah satu cara kita mendekatkan diri padaNya.
Jika diriku diberi kesempatan aku
ingin melangkah kaki ke Tanah suci Makkah…melihat keindahan agung di hadapan
mataku…beribadah mendekatkan diri padaNya…meletakkan diriku pada tahap
ketenangan yang sangat luar biasa.
Jika diriku diberi kesempatan ingin
sahaja aku bermusafir mencari cinta ALLAH ke Tanah Arab, Negara Barat dan Asia…melihat
kebesaranNya pada sudut pandang yang berbeza…melihat keindahan alam di setiap
sudut dunia.
Walau apapun impian kita duhai
sahabat…biarlah kita pasakkannya kerana mencari keredhaan ALLAH. Moga doa kita
dimakbulkan Tuhan.
Pantai yang indah:-)
Kawasan air terjun yang menyamankan:-)
Kawasan sungai yang mendamaikan:-)
No comments:
Post a Comment