Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha
Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah...terima kasih
ya ALLAH di atas nikmat dan kurniaanMu Yang Maha Luas. Hanya padaMu kami
berserah dan kepadaMu jua kami kembali. Semuanya bermula dengan namaMu Ya
ALLAH, insyaALLAH semuanya didapati indah. Semuanya butuh kekuatan yang tinggi
barulah hidup sentiasa diberkati. Semuanya memerlukan pengorbanan barulah hidup
penuh ketenangan. Tiada sengketa benci dan juga dendam yang ada Cuma kasih
sayang, ketenangan dan kebahagiaan.
Al-Hamdulillah...terima kasih
Ya ALLAH atas peluang dan ruang yang ALLAH anugerahkan kepada penulis untuk
terus dapat menulis dalam ruangan blog ini. Hari ini izinkan penulis bercerita
tentang perkataan arab ‘qana’ah’. Apa itu qana’ah? Kenapa qana’ah itu penting
dalam kehidupan muslim? InsyaALLAH penulis akan huraikan bersama ilmu yang
masih berbaki ada di dadanya. Qana’ah merupakan kata pinjaman daripada bahasa
Arab yang bermaksud sifat bersederhana dalam kehidupan dan apa jua keputusan
hidup yang dibuat oleh manusia.
Lelaki atau perempuan yang
mempunyai sifat qana’ah ini pasti hidupnya penuh dengan kesederhanaan.
Kesabaran dan pengorbanan yang tinggi sangat diperlukan oleh hati yang bersifat
qana’ah. Kebergantungan kepada ALLAH melebihi dari segala-galanya. Sifat inilah
yang cuba diterapkan dalam jiwa penulis supaya nanti bila dia dikurniakan
nikmat yang melimpah dia tetap bersyukur dan bersifat dengan sifat qana’ah.
Bila dia dikurniakan dengan musibah dan ujian yang bertimpa dia tetap bersabar
dan bersifat dengan sifat qana’ah.
Kenapa qana’ah itu antara sifat
atau perkara penting dalam kehidupan muslim? Jawapannya mudah ini kerana
qana’ah atau bersederhana adalah perkara yang dituntut dan digalakkan oleh Nabi
Muhammad s.a.w. Tengok pada contoh teladan sepanjang zaman, Nabi Muhammad
s.a.w, baginda s.a.w sangat bersederhana dalam hidup dan tidak bermegah-megah
jauh sekali riak dan membangga diri dengan apa yang ada pada baginda s.a.w.
Hanya sifat qana’ah menghiasi peribadi Baginda s.a.w.
Alasan ke-2, sifat qana’ah
dalam diri individu muslim dapat mencambah rasa dekatnya kebergantungan kita
kepada ALLAH tidak kira di waktu kita susah ataupun senang. Membangkit rasa
perhambaan dan mendekatkan diri padaNya secara berterusan.
Qana’ah antara sifat yang cuba
penulis terapkan dalam dirinya memandangkan dia sedang menghadapi fasa
kesusahan dan kesukaran dalam hidupnya. Yalah, sekurang-kurangnya bila ada
sifat qana’ah tentu mendidik dia bersederhana contohnya dalam membeli-belah.
Beli apa yang mampu, jika tidak mampu bersabarlah dulu insyaALLAH nanti ALLAH
akan gantikan yang lebih baik berkat kesabaran kita. Kekadang, bila tengok
WhatsApps, facebook, dan media sosial lain tentang banyaknya pilihan tudung,
pakaian, dan buku tambahan barang-barang ‘baby’ penulis punya perasaan untuk
memilikinya tetapi apakan daya kewangannya hanya mencukupi untuk kehidupan
seharian. Tidak mengapa. Bersabarlah.
Biasalah manusia, tengok benda
baru bertambah dengan cantik dan minatnya pasti dia punya rasa untuk memiliki.
Tengok orang pakai baju-baju baru, kita pun nak pakai. Tengok orang pakai
tudung-tudung yang cantik, kita pun nak bergaya. Tengok orang cantik dengan
pelbagai jenis produk, kita pun mahu memiliki dan merasai kecantikan itu.
Tengok buku-buku baru keluar di pasaran, bagi pencinta buku seperti penulis
sudah tentu dia tergoda mahu memiliki buku-buku tersebut. Lumrah manusia
katakan tetapi penulis tak boleh ikutkan sangat hatinya yang mahukan semua.
Ingatlah duhai diri bukan semua
yang kita mahukan, akan dapat dalam sekelip mata. Kadang-kadang memakan masa
yang cukup lama dan kadang-kadang kita akan memperolehnya tanpa usaha.
Bersabarlah duhai diri. Sifat qana’ah ini dapat memacu hawa nafsu untuk
bersederhana dan tidak bermewah cukup dengan apa yang ada. Tengok orang dapat
merantau ke negara orang, kita pun teringin sama. Kadang ada rasa cemburu tapi
tak mengapa sifat qana’ah itu menyapa dan menyedarkan dirinya hanya hamba ALLAH
yang lemah. Bukan bererti dia mahu merendahkan dirinya sesuka hati tetapi sifat
qana’ah ini membatasi segala kekurangan diri menyedarkan hati perlu lebih
tarbiah lagi.
Cukuplah diri ini mengucap
syukur dan bersederhana dalam kehidupannya sekarang. Didik diri untuk sentiasa
bersifat qana’ah di saat nikmat ALLAH melimpah. Usah riak andai kita lebih
segala-galanya dari orang lain dan usah terlalu merendah diri andai kita serba
sederhana. Ini kerana yang sederhana itu terkadang lebih bahagia dan lebih
disayangi pleh ALLAH Yang Maha Esa hanya berkat kesabaran kita.
Pemandangan yang cantik.
Biar orang lain lebih
segala-galanya dari kita, asal kita tau untuk bersyukur pada ALLAH Yang Maha
Kuasa. Biar orang lain bermewah dengan harta-harta mereka, asal kita cukup
dengan apa yang ada. Biar orang lain bahagia dengan cara mereka, kita juga
punya jalan tersendiri untuk mencapai kebahagiaan hakiki. Biar orang lain memandang
serong akan kesusahan dan kesukaran kita, asal kita ada ALLAH yang sentiasa
memberi semangat untuk kita menghadapi kesusahan dan kesukaran itu dengan cara
solat dan sabar. Biar apa kata orang pada kita, asal ALLAH tahu apa yang
terkandung dalam hati dan benak fikiran kita. Biarkan mereka, asal ALLAH
sentiasa ada untuk kita.
Setakat ini dahulu coretan hati
penulis untuk kali ini. Moga kehadiran entri ini sedikit sebanyak memberi ruang
kepada kita untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih bersyukur dan lebih
baik dari semalam. Kita bukan sekadar tunggu hidayah ALLAH itu datang kepada kita
baru kita nak berubah menjadi lebih baik tetapi kita juga harus punya langkah
pertama untuk berubah ke arah kebaikan.
No comments:
Post a Comment