Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah...ucapan syukur atas nikmat terindah yang ALLAH
anugerahkan kepada kita iaitu antaranya nikmat iman dan Islam. Al-Hamdulillah
kita telah memasuki bulan tarbiah bulan madrasah Ramadhan. DenganNya kita hidup
terpandu. DenganNya kita sentiasa ada tempat bergantung. DenganNya kita bisa
menghadapi hidup ini bersama tegar. Al-Hamdulillah, moga nikmat-nikmat ini
sentiasa memayungi kehidupan kita. Bertuah dan bersyukurlah kita hidup dalam
nikmat iman dan Islam yang hanya dinikmati oleh insan yang benar-benar muslim
dan mukmin. Jom, kita mengajak diri kita dan semua manusia untuk mengenal
ALLAH! Walau di mana kita berpijak, ingat biar ALLAH yang menjadi segalanya
untuk kita.
Andai dihitung nikmat-nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sudah
tentu tidak terkira betapa banyaknya nikmat-nikmat itu. Jadi, ajaklah diri
untuk berusaha menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa bersyukur. Biar terkadang
kita jatuh hanyut dalam ujian-ujian yang menimpa. Biar terkadang kita tersasar
dari landasan ketahuilah ALLAH Maha Penyayang dan sentiasa memerhati kehidupan
kita. Ya, kita bukan manusia yang sempurna ada kalanya baik dan ada masa jahat
seketika, tetapi itu bukan penghalang untuk kita berubah memperbaiki diri
menjadi hambaNya yang lebih baik. Bukan selamanya kita mahu menjadi pengikut
syaitan dan bukan selamanya kita menjadi baik.
Al-Hamdulillah...penulis dikurniakan sahabat yang baik di
sekelilingnya. Punya sahabat baik juga merupakan satu nikmat. Sahabat-sahabat
yang membantunya untuk terus hidup dalam panduan Islam. Inilah antara nikmat
yang disyukurinya. Nikmat punya sahabat baik yang sentiasa mengajak kepada
kebaikan. Itulah nikmat yang paling membahagiakan dalam hidupnya. Bila terleka,
ada yang mengingatkan. Bila jatuh, ada yang membangkitkan. Bila sedih, ada yang
meneman memberi semangat kebenaran. Bila gembira bahagia, ada yang sudi
berkongsi kebahagiaan ini. Bila tersasar dari landasan, ada yang menariknya
kembali ke landasan yang benar.
Tanggal 8 Jun 1990, lahir seorang puteri dalam sebuah keluarga bahagia.
Puteri comel ini diberi nama Nor Amira binti Ibrahim. Lahir sebagai anak ke-2
dalam empat beradik. Semuanya perempuan. Nor Amalina binti Ibrahim, Nor Amira
binti Ibrahim, Nor Atiqah binti Ibrahim dan yang bongsu Nor Athirah binti
ibrahim. Keluarga bahagia ini sangat gembira dan bersyukur di atas kurniaan
ALLAH. Anugerah anak perempuan yag sangat berharga, walau ayahnya tahu kelak
anak-anak perempuannya akan menjadi milik menantu-menantunya.
Angah Mira.
Dia membesar dengan baik. Pergaulannya terjaga. Menjadi anak solehah
buat ibu dan ayahnya. Menjadi sahabat yang baik dan ‘happy-go-lucky’ untuk
teman-temannya. Nor Amira bt Ibrahim bersahabat dengan penulis menyulam
persahabatan mereka sejak berusia 11 tahun lagi. Belajar bersama-sama sehingga
mereka masih bersahabat bila melangkah masuk ke alam remaja di SMU (A) MAAHAD
MUHAMMADI (P) PASIR PEKAN, KELANTAN.
Dia seorang yang baik hati, rajin membantu dan sering merendah diri. Perwatakannya
yang baik memungkinkan dia diserap masuk menjadi pengawas sekolah bersama-sama
penulis blog ini. Bermulalah kepimpinan mereka sebagai pengawas sekolah. Pahit manis
dalam persahabatan di era sekolah menengah di telan bersama-sama. Kenangan menjadi
pengawas sekolah bersama-sama Nor Amira
Ibrahim dan beberapa orang sahabat lagi
sentiasa terngiang-ngiang di ingatan terutama bila menjelangnya ulang
tahun kelahiran Nor Amira Ibrahim.
Kisah persahabatan mereka tidak terhenti setakat itu, bahkan bersambung
di alam universiti di mana mereka menyambung pelajaran di universiti tempatan
yang sama cuma berbeza fakulti dan bidang. Sorang bidang Quran dan Sunnah. Sorang
bidang Bahas Arab dan Komunikasi. Biarpun sibuk dengan tugasan di universiti,
mereka masih berhubung seperti biasa sama ada lewat telefon atau berjumpa
sesama mereka. Bila tiba alam kerjaya, mereka juga memilih untuk menjadi
muaddibah, kerjaya yang sama untuk beberapa tahun lamanya.
Angah Mira dan suami.
Hampir 17 tahun mereka menyulam persahabatan. Tamat belajar di
universiti, Nor Amira binti Ibrahim mengambil keputusan untuk menikah. Sahabat mana
tak bahagia tengok sahabatnya bakal menamatkan zaman bujang dengan teruna
pilihan hatinya. 6 Jun 2015, mereka sah bergelar suami dan isteri. Selamat ulang
tahun perkahwinan kali ke-2 tahun duhai sahabat dunia akhirat, Nor Amira binti
Ibarim. Moga rumahtangga yang kalian bina kini disirami sakinah mawaddah wa
rahmah sentiasa dan kekal bahagia hingga ke syurga. Penulis masih ingat,
penulis siap buat video hadiah sempena perkahwinan sahabatnya ini. Tiada hadiah
yang berharga mampu penulis berikan cuma hadiah doa dan video mampu disediakan.
bersama baby iyyadh.
Al-Hamdulillah...berkat kehidupan berumahtangga, Nor Amira binti
Ibrahim dan suami dikurniakan cahaya mata penyejuk hati penyeri rumah tangga
diberi nama Iyyadh Abdullah Akhtar. Bertambah bahagia mereka punya hero kecil
ini. Al-Hamdulillah...dia bahagia. Itu yang selalu penulis doakan untuknya. Kehidupan
mereka sentiasa diberkati ALLAH, melimpah dengan rezeki pemberian dariNya. Melimpah
dengan kasih sayang kerana ALLAH. Al-Hamdulillah...
keluarga bahagia.
Sanah helwah ke-27 ukhti mahbubah, Nor Amira binti Ibrahim. Sudah 27
tahun dirimu hidup di dunia ini pastinya banyak menabur bakti. Pastinya banyak
amal kebajikan yang melimpahi kehidupanmu. Aku sahabatmu. Terima kasih untuk
persahabatan kita yang bersulam selama hampir 17 tahun. Ya 17 tahun lama tu. Kini
kita berjauhan punya kehidupan tersendiri yang harus diuruskan dengan baik.
Tanggal 8 Jun 2017, cukup sudah umurmu 27 tahun. Pada usia ini, kamu
sudah punya anak, suami, dan kerjaya membina keluarga bahagia disirami sakinah,
mawaddah wa rahmah. Walau kita berjauhan beribu batu, namun ulantahun
kelahiranmu yang ke-27 ini , diriku masih punya kesempatan dan ruang untuk
mengucapkan ‘happy birthday, sanah helwah’ padamu, sahabat. Bukan sekadar
ucapan hari lahir biasa akan ku nukilkan juga kata bicara pengubat rindu kita
berjauhan sebagai pengganti diri yang sentiasa merinduimu sahabat.
Setiap kenangan pahit dan manis yang pernah kita lalui bersama-sama
sebagai sahabat sentiasa terpahat indah dan biarlah menjadi bahan bualan anak
cucu generasi kita nanti. Indahnya bersahabat bila bersulam kerana ALLAH. Bermula
dari diri kita hinggalah ahli keluarga kita, kita saling mengenali antara satu
sama lain. Moga ada generasi kita yang turut mewarisi persahabatan ini. 10 Jun
2014, penulis pernah menukilkan ucapan selamat hari lahir buat sahabatnya, Nor
Amira binti Ibrahim kali ke-24 tahun dalam bicara santai blognya. Kali ini
penulis mengulang ucapan sanah helwah istimewa buat sahabatnya Nor Amira untuk
kali ke-27 tahun. Tahun 2017 ini ucapan dengan rentak berbeza mungkin.
Sungguh, penulis blog ini menghargai kehadiran dan kewujudan
sahabat-sahabatnya. Walau di mana pun mereka berada, ucapan rindu pada sahabat
sentiasa meniti di bibir. Bila rindu pa nak buat, bertanya khabar atau membaca
apa-apa dari tulisan mereka di media sosial. Bila rindu AL-Fatihah dihadiahkan
pada sahabat moga kehidupan mereka baik-baik sahaja hendaknya.
Nukilan kata bicara pengubat rindu ini penulis hadiahkan buat sahabat
yang disayangi kerana ALLAH, Nor Amira binti Ibrahim. Tiada hadiah yang mampu
ku beli untuk setiap detik ulangtahun kelahiranmu, harapnya hadiah kata bicara
ini mampu menggantikan segala hadiah lain:
Sahabatku tercinta
17 tahun sudah
Kita menyulam ikatan persahabatan
Ukhuwwah kerana ALLAH
Bersahabat sampai syurga
Kita laungkan
bersama-sama
Kini usia kita melangkah 27 tahun
Sudah punya keluarga sendiri
Sibuk melayan bahagianya hidup kita
Hingga terkadang kita terleka
Bagaimana rentaknya sahabat kita
Sihatkah dia? Tenangkah dia?
Bahagiakah dia? Sedihkah dia?
Sedang rindu bertamu segera
Membuat kenangan
menjelma tiba-tiba
Sahabatku tersayang
Ucapan doa juga Al-Fatihah
Ku kirim lewat rinduku yang menggunung
Mengharap moga ALLAH sentiasa
Memayungi kehidupanmu sekeluarga
Mengharap moga kamu baik-baik aja
Mengharap moga kita tidak sesekali lupa
Kita pernah menyulam tali ini
Menjadi tali
ukhuwwah kerana ALLAH
Sahabatku kasih
Selamat ulangtahun kelahiranmu ke-27
Seluruh doa juga kebaikan ku kirim
Buatmu bahagia setiap detik dan masa
Ingatlah ALLAH sentiasa ada bersama-sama kita
Ingatlah kita pernah melakar bahagia sedih
bersama-sama
Terima kasih untuk persahabatan ini
Mohon maaf juga untuk semua kekhilafanku.