Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah
dengan izin dan limpahNya penulis dapat meneruskan penulisan blog ini. Rahmat
ALLAH sentiasa memayungi kehidupannya sebagai seorang hamba dan khalifahNya.
Memegang amanah sebagai seorang anak, menantu, kakak, anak saudara, isteri dan
ibu merupakan amanah yang sangat berat bagi penulis tanpa bantuan dan
pertolongan daripada ALLAH. Moga kehidupan yang ditelusurinya akan sentiasa
mengingatkannya kepada ALLAH Yang Maha Esa.
16 Mei 2017
merupakan tarikh keramat bagi insan-insan yang menggalas amanah sebagai seorang
guru. Selamat Hari Guru penulis ucapkan untuk semua guru di Malaysia khususnya
guru-guru yang mengajarnya daripada memasuki alam persekolahan di Tadika KEMAS al-Hakim,
Pasir Pekan Kelantan berusia 6 tahun. Kemudian, penulis memasuki sekolah rendah
di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan, Kelantan selama 6 tahun 1997-2002. Tamat
sekolah rendah penulis melangkah masuk ke sekolah menengah di SMU (A) Maahad
Muhammadi (P) Pasir Pekan, Kelantan selama 7 tahun dari tahun 2003-2009.
Melangkah ke menara gading di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai
Negeri Sembilan selama 4 tahun 2010-2014. Bermula daripada sekolah tadika
hinggalah masuk universiti guru-guru silih berganti mengajar penulis banyak
perkara. Kenangan pahit manis belajar terpahat kemas di hati penulis. Zaman
belajarlah zaman yang sangat menyeronokkan.
Masih utuh di
ingatan bila tiba je Hari Guru kami bersusah payah mencari hadiah yang terbaik
untuk guru-guru kami. Masing-masing bersaing mahu memberi hadiah kepada
guru-guru. Al-Hamdulillah penulis dikurniakan guru yang sangat ramai dan yang
penting guru-gurunya sangat ikhlas mengajarnya. Tanpa guru dia tidak mungkin
dapat melepasi menara gading di samping berkat doa dan usaha ibu dan ayah
tercinta.
Penulis juga pernah
menyandang amanah sebagai seorang guru selama hampir 2 tahun dengan mengajar
anak-anak 4, 5, dan 6 tahun di sekolah tabika. Bergelar muaddibah adalah amanah
yang menjadi kenangan manis buat penulis. Belajar bagaimana mahu menjaga anak
seramai 20 orang dan mendalami serta memahami perangai anak-anak ini. Secara
tidak langsung penulis menjadi ibu, ayah serta segalanya buat anak-anak muridnya.
Muaddibah gelaran yang sangat baik dan pertama kali penulis mendekati dunia
kanak-kanak. Juga berpengalaman menjadi guru ganti selama 3 bulan di Sekolah
Rendah Dr. Sulaiman merupakan kenangan indah sebagai seorang guru.
Jadi, izinkan
penulis mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Malaysia sama ada
guru secara tidak langsung atau guru secara langsung. Terima kasih untuk semua
jasa guru.
Izinkan juga
penulis melakar kata bicara deklamasi puisi khas untuk semua guru.
Terima kasih cikgu
Jasamu sentiasa ku kenang hingga akhir
hayatku
Mengajarku banyak perkara
Suka duka dirimu telan demi anak bangsa
Pahit
manis menyampaikan ilmu
Menjadikan dirimu begitu berharga bagiku
Bermula aku tidak mengetahui
Hingga kini aku bisa mengerti kehidupan
Dirimu tidak pernah mengenal lelah
Dalam perjuangan.
Terima kasih cikgu
Moga kehidupanmu sentiasa di rahmati
olehNya
Moga hidupmu dilimpahi kasih sayangNya
Moga keberkatan dariNya akan sentiasa
menerangi kehidupanmu
Teruskanlah perjuangan
Perjuangan mendidik anak bangsa hingga
berjaya
Dunia dan akhirat.
Lilin yang sentiasa membakar diri
Akan sentiasa diingati
Walau apa pun gelaranmu duhai guru
Kamu tetap memegang amanah
Menyampaikan ilmu dan kebaikan
kepada semua anak-anak muridmu
Itulah amanah guru
Setakat ini sahaja
coretan rindu bicara hati penulis buat semua guru. Moga kalian sentiasa
dilimpahi kasih sayangNya dan jadilah guru yang bertanggungjawab dan
melaksanakan amanah dengan sebaiknya. Moga amanah sebagai guru menjadi titik
langkah kalian untuk mudah memasuki syurgaNya kelak. Ameen.
Kenangan menyambut hari guru.
Nice roses
chantek2 muaddibah ohsem.
No comments:
Post a Comment