Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha
Penyayang...
Al-Hamdulillah dengan kuasa ALLAH penulis masih
diberi kekuatan untuk menarikan penanya dalam blog ini. Al-Hamdulillah...nikmat
iman & Islam sentiasa menghiasi ruang hidupnya walau terkadang sebagai
manusia biasa dia merasa sempit dengan setiap masalah dan ujian yang datang
padanya. Syukur padaMu ya ALLAH kerana masih memberi peluang pada diri ini
meneruskan hidup dalam Islam. Islam anugerah terindah yang tidak boleh dijual beli
& dicari tempat membeli-belah.
Cinta seringkali dikaitkan dengan pengorbanan. Tiada
cinta jika tanpa pengorbanan. Begitu juga tiada pengorbanan jika tidak bersulam
cinta. Benar, cinta memerlukan pengorbanan. Berkorban apa sahaja demi untuk
yang dicintai. Beruntung bagi mereka yang meletakkan cinta ALLAH untuk setiap
detik pengorbanannya. Cinta & pengorbanan juga dikaitkan dengan bulan
Zulhijjah, serta kisah Nabi Ibrahim a.s. Mari kita mengambil ibrah & pengajaran
dari kisah cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s terhadap ALLAH, &
keluarganya.
Ada beberapa kisah Nabi Ibrahim a.s. yang ingin
penulis kongsikan bersama sahabat-sahabat pembaca. Moga kisah-kisah ini
sentiasa mengingatkan kita betapa cinta & pengorbanan jika ada bersamanya
ALLAH pasti memudahkan & membahagiakan. Cinta & pengorbanan itu tak
selamanya pahit & tidak selamanya membahagiakan. Ambil ibrah dari kisah
nabi insyaALLAH kita akan memperoleh hikmah disebalik ujian & masalah yang
datang.
Kisah pertama tentang perdebatan antara Nabi
Ibrahim, ayahandanya & kaumnya yang telah dirakam dalam kalamullah surah Al-An’am
ayat 74 hingga 79 yang bermaksud:
74. dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar:
"Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?
Sesungguhnya Aku melihatmu dan kaummu Dalam kesesatan Yang nyata".
75. dan Demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan
kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari
orang-orang Yang percaya Dengan sepenuh-penuh yakin.
76. maka ketika ia berada pada waktu malam Yang gelap, ia melihat
sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?"
kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka
kepada Yang terbenam hilang".
77. kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya),
Dia berkata: "Inikah Tuhanku?" maka setelah bulan itu terbenam,
berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika Aku tidak diberikan petunjuk oleh
Tuhanku, nescaya menjadilah Aku dari kaum Yang sesat".
78. kemudian apabila Dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan
cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? ini lebih besar".
setelah matahari terbenam, Dia berkata pula: ` Wahai kaumku, Sesungguhnya Aku
berlepas diri (bersih) dari apa Yang kamu sekutukan (Allah dengannya).
79. "Sesungguhnya Aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah Yang
menciptakan langit dan bumi, sedang Aku tetap di atas dasar Tauhid dan bukanlah
Aku dari orang-orang Yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu Yang lain)".
Demi cinta Nabi Ibrahim
a.s. sanggup berkorban dengan berdebat & berdiskusi bersama-sama masyarakat
dan ayahnya yang merupakan seorang pengukir patung berhala. Mencari kebenaran
di sebalik kebatilan.
Kisah ke-2 tentang
kisah pembakaran Nabi Ibrahim a.s. secara besar-besaran kerana dituduh telah
memusnahkan ‘tuhan-tuhan’ berhala sembahan masyarakatnya. Tempat pembakaran
disediakan untuk membakar Nabi Ibrahim a.s. nak kata bahang apinya sangat besar
sehingga menyebabkan mereka melemparkan Nabi Ibrahim a.s. menggunakan satu alat
yang dinamakan manjanik.
Mari kita lihat
& tadabbur ayat Quran surah Al-Anbiya’ ayat 69 yang bermaksud:
69. Kami berfirman: "Hai api, Jadilah
Engkau sejuk serta Selamat sejahtera kepada Ibrahim! ".
Ketika Nabi Ibrahim
a.s. berada dalam api yang sangat marak, ALLAH telah memerintahkan api untuk
menjadi sejuk & selamat sejahtera untuk Nabi Ibrahim a.s. Betapa tingginya
cinta & pengorbanan Nabi Ibrahim a.s demi mempertahankan kemuliaan Islam
& benar cintanya adalah kerana ALLAH. Semasa dalam api bakaran, Nabi
Ibrahim a.s. tak pernah putus bergantung harap pada ALLAH dengan berzikir
mengingatiNya, “hasbiyallah wa ni’mal wakil.” Demi cinta Nabi Ibrahim a.s.
sanggup mengorbankan dirinya dalam api bakaran & kebergantungan utamanya
pada ALLAH Yang Maaha Esa.
Kisah ke-3 Nabi
Ibrahim a.s. adalah tentang kelahiran satu-satunya putera yang diberi nama
Ismail. NABI Ibrahim a.s. memperoleh seorang anak hasil pernikahannya dengan
Hajar setelah isteri pertama Nabi Ibrahim a.s, Sarah tidak dapat memberikannya
zuriat dengan kuasa ALLAH. Setelah lama menanti berakhir jua detik penantian
itu dengan kelahiran Nabi Ismail. Kelahiran zuriat yang sangat dinanti walaupun
pada ketika itu usia Nabi Ibrahim a.s. adalah tersangat tua. Penantian itu
pengorbanan & kesabaran. Dengan kuasa ALLAH cinta & pengorbanan Nabi
Ibrahim a.s. berbalas dengan kelahiran putera yang diangkat menjadi Nabi
Ismail.
Sabar, cinta &
pengorbanan sangat sinonim bersama. Cubalah didik diri kita untuk sentiasa
menanam perasaan ini supaya kelak kita sentiasa dilimpahi dengan ketenangan. Tak
susah jika kita sentiasa istiqamah melaksanakannya dalam kehidupan.
Kisah ke-4 Nabi
Ibrahim a.s. Kali ini menuntut cinta & pengorbanan yang besar dari Nabi
Ibrahim a.s. apabila ALLAH memerintahkan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan isteri
& anaknya, Hajar & Ismail yang ketika itu masih menyusu dengan ibunya
di tanah gersang. Mereka memulakan perjalanan yang panjang. Sanggupkah seorang
suami meninggalkan isterinya seorang diri? Sanggupkah hati seorang ayah
meninggalkan anaknya yang baru dilahirkan bersendirian di tanah gersang itu? Apakan
daya itu semua suruhan & perintah ALLAH. Siapa tak sayang anak dan isteri? Sudah
tentu Nabi Ibrahim a.s menyayangi mereka, tetapi perintah ALLAH melebihi
kehendak nafsu sebagai manusia. Di lawan perasaan sedih demi memenuhi perintah
ALLAH. Inilah pengorbanan suci seorang suami & ayah.
Mari kita
menelusuri kisah ini! Biarpun kasih sayang kita kepada insan-insan yang kita
sayang melebihi kasih sayang kita kepada segalanya, ingatlah cinta & kasih
sayang yang berpaksi & bergantung pada ALLAH sahaja yang bisa membawa
bahagia dalam kehidupan kita. Tengok betapa Nabi Ibrahim a.s mematuhi setiap
perintah ALLAH walau pada saat itu hatinya sebagai suami & ayah sangat
berat melepaskan ahli keluarganya pergi. Nabi Ibrahim a.s yakin bahawa ALLAH
sentiasa ada untuk menjaga isteri & anaknya. Keyakinan dalam cinta &
pengorbanan membuahkan suasana harmoni.
Kisah ke-5 dan
terakhir yang penulis ingin ‘highlight’kan di sini dengan membaca &
mentadabbur terlebih dahulu ayat al-Quran surah As-Shoffat ayat 99 hingga 111
yang bermaksud:
99. dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu)
pergi kepada Tuhanku, ia akan memimpinku (ke jalan Yang benar).
100. " Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu anak Yang terhitung
dari orang-orang Yang soleh!"
101. lalu Kami berikan kepadanya berita Yang mengembirakan, Bahawa ia
akan beroleh seorang anak Yang Penyabar.
102. maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan
dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak
kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat Dalam mimpi Bahawa Aku akan
menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab:
"Wahai ayah, jalankanlah apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah,
ayah akan mendapati daku dari orang-orang Yang sabar".
103. setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah
itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan Anaknya Dengan meletakkan iringan mukanya di
atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu
telah menjalankan perintah kami),
104. serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!
105. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang Engkau lihat
itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang Yang berusaha
mengerjakan kebaikan.
106. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian Yang nyata;
107. dan Kami tebus Anaknya itu Dengan seekor binatang sembelihan Yang
besar;
108. dan Kami kekalkan baginya (nama Yang harum) Dalam kalangan
orang-orang Yang datang kemudian:
109. "Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!".
110. Demikianlah Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan
kebaikan.
111. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami Yang beriman.
Kisah cinta &
pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dengan anaknya, Nabi Ismail yang sepatutnya kita
contohi bersama. Bila tiba Eidhul Adha kita mesti mahu bercerita tentang kisah
ini. Kisah penyembelihan Nabi Ismail yang akhirnya ditukarkan ALLAH dengan
haiwan sembelihan. Sanggupkah seorang ayah sekali lagi mendapat perintah menyembelih
satu-satunya anak kesayangannya? Sanggupkah seorang ayah mengorbankan jiwa
anaknya demi memenuhi perintah ALLAH? Ya kerana sanggup berkorban & rasa
cinta yang mendalam kepada ALLAH lah Nabi Ibrahim a.s. mahu menyembelih Ismail
dengan persetujuan Ismail. Anak & bapa yang taat pada perintah ALLAH.
CINTA &
PENGORBANAN KERANA ALLAH ini yang mahu penulis garapkan dalam perkongsian hari
ini. Moga hati-hati kita semua akan memperoleh manfaat dan membuka jalan
kebenaran kepada diri kita nanti. Raikan Eidhul Adha dengan penuh kesederhanaan
juga penuh rasa cinta & pengorbanan.
Setakat ini dahulu
coretan penulis untuk kali ini. Maaf andai ada yang salah. Terima kasih untuk
segala sokongan. Teruskan mendoakan penulis & seluruh umat Islam agar kita
terus istiqamah di jalan yang diredhai ALLAH. InsyaALLAH, kita jumpa lagi di ‘next
episode.” :)