Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah dengan kuasa & kasih sayangNya blog ini masih punya kata-kata untuk dikongsi bersama-sama dalam meniti kehidupan sebagai individu Muslim. Al-Hamdulillah usai kaki ringan melangkah keluar dari rumah ALLAH. Usai hati meneliti setiap bicara yang keluar dari ustaz, usai juga roh menerima 'sesuap nasi' di rumah ALLAH yang Maha Penyayang.
Al-Hamdulillah, ALLAH masih menyayanginya dengan mengurniakan kesempatan & kelapangan untuk beribadah padanya. Rindu Ilahi bertamu di hati menjadi topik perbualan hari ini. Bagaimana penceramah di masjid dengan pengisian Kuliah Dhuha oleh Dr. Hj. ZulKifli Mohamad Al-Bakri menekankan peri pentingnya hubungan dengan ALLAH. Walau di mana pun kita berada, walau dalam keadaan apa pun kita, walau sejauh mana pun kita pergi, letaklah ALLAH sebagai kebergantungan utama kita, InsyaALLAH semua perkara menjadi mudah bagi diri kita.
ALLAHURABBI...tenang saat mendengar lafaz ini, bahagia saat kaki bisa gagah melangkah bertemu ALLAH di rumahNya bukan untuk mendabik dada mengata penulis ini insan baik tiada cacat celanya, cuma dia insan lemah yang mahu berkongsi betapa manisnya bila rindu Ilahi bertamu di hati lalu mengajak diri beri'tikaf di rumahNya dengan penuh rasa rendah diri. Di sana tiada siapa yang mampu menganggu kita untuk terus beribadat padanya...di sana tiada kerja yang di ingat selain memenuhkan masa dengan mengingati ALLAH. Penulis senang dengan situasi ini.
Walau terkadang syaitan menghasut, nanti bagaimana jika ramai yang mengatamu pergi ke masjid hanya mahu menunjuk? Lalu bagaimana jika amalmu tidak di terima ALLAH? Lalu bagaimana orang yang baik ramai sahaja tak lazimi masjid, mereka tetap bahagia. Bahagia yang dicari jiwanya terisi. Kata-kata yang sentiasa mengingatkannya pada ALLAH Tuhan yang menciptakannya. Tidak rugi walau sebesar zarah untuk kita melazimi masjid, biarpun kita hanya muslimah yang pada aturannya kita digalakkan solat di rumah. Di rumah ALLAH ini banyak yang ditemu, banyak juga mengajar diri, mengetuk hati dari terus leka dengan keindahan dunia. Sekurang-kurangnya, nuraninya terisi
Memetik bicara dalam buku Kitab al-Hikam yang telah dikupas oleh Dr. Hj. ZulKifli Mohamad Al-Bakri dalam pengisian kuliah dhuha di Masjid Putra Nilai pada pagi tadi, "HIKMAH 26: Antara alamat atau tanda kejayaan sesuatu pada akhirnya adalah dengan kembali kepada ALLAH pada permulaannya." Selain itu, "HIKMAH 23: Janganlah menanti masa lapang untuk beribadah." Hikmah ke-23 ini benar menyentap hati penulis yang terkadang tanpa sedar dia sering bertangguh berkata, takpalah esokkan masih ada. Padahal secara logik akalnya dia tidak tahu bila detik kematiannya tiba.
Berbicara tentang kematian, baru semalam usai menziarahi keluarga seorang sahabat yang mana dia telah kehilangan adik lelakinya akibat kemalangan. Detik ini mengingatkan penulis betapa kematian sangat dekat dengannya. Di masjid, terdengar bicara seorang mak cik, "Tak sangka dia hidup tak lama, ALLAH lebih sayangkan dia. Biarlah dia pergi." Mati itu sangat dekat dengan kita, jadi usahlah kita bertangguh dalam melakukan kebaikan. Pedulikan bicara negatif manusia tentang perubahan kita. Nak jadi baik tak payah tunggu hidayah ALLAH semata, kita yang kena berubah jadi baik dulu. & jadi baik tak semestinya mendadak atau pergi masjid je. perubahan bermula dengan diri.
Bila ada niat nak buat baik teruskan niat tersebut, insyaALLAH jalan keluar sentiasa ada untuk kita muslim yang percaya ALLAH sentiasa membantu kita. Seringkali penulis bicarakan dalam penulisannya tentang surah at-Thalaaq ayat 2 & 3 atau lebih dikenali dengan ayat seribu dinar. Nak tahu lebih dalam & terperinci tentang ayat seribu dinar yang kita sering lihat di dinding rumah, digantung indah tanpa ada rasa untuk mentadabburnya. Jom, sama-sama kita buka Kalamullah al-Quran meneliti kembali apa yang tersurat & tersirat di sebalik ayat Cinta ALLAH ini.
Apa-apa perkara yang berlaku rujuklah Al-Quran & cuba lazimi diri dengan menziarahi rumah ALLAH yang dipenuhi dengan rahmat & kasih sayang ALLAH. Hanya insan yang pernah meringankan kaki melangkah ke masjid, merelakan hati merendah pada ALLAH sahaja yang mampu merasai betapa manisnya bertemu ALLAH di rumahNya.
Sesungguhnya rahmat ALLAH Maha Luas, kita sebagai hambaNya labudda berusaha menjadi insan yang bersyukur dengan nikmat pemberianNya. Tiba-tiba merindui kampung halaman yang jauh di pandangan tetapi sentiasa dekat di hati. Bumi serambi Makkah yang penuh tarbiyyah. Di sini dia kenal Tuhan, di sini dia kenal dirinya & di sini mengajar dia bila rindu Ilahi bertamu di hati, usah beralasan untuk mendekati Tuhan.
Siiru 'alaa barakatillah...
No comments:
Post a Comment