Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan
nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah...kesempatan
untuk kali ke 293 telah ALLAH anugerahkan kepada penulis blog ini untuk
mencoret perkongsian pengalaman hidupnya. Al-Hamdulillah ucapan syukur sering
menutur laju saat memuhasabah diri betapa bertuah & beruntungnya dia lahir
sebagai individu yang beragama Islam. Padanya ada iman & Islam, padanya ada
akidah yang perlu dimantapkan, padanya ada akhlak yang perlu sentiasa diperbaiki
& dihiasi dengan kebaikan, pada ada kelemahan yang membuatkan dia sedar
kelemahan diri itu tanda ALLAH amat menyayanginya.
Kesempatan
dan ruang yang terbuka luas ini bukan hanya hadir sebagai artikel picisan,
tetapi hadir untuk menyedarkan diri betapa manisnya hidup di bawah kasih sayang
ALLAH.
Hujung minggu sebagai seorang guru walau hanya guru anak-anak sekitar
umur 4,5, & 6 tahun perlu diisi dengan ilmu agama & sosial kemasyarakat
yang lebih terbuka. Jadi menyahut kata hati yang berbisik baik, dia mengisi
paginya dengan melangkah walau berat ke masjid berdekatan. Al-Hamdulillah,
kerjayanya, membawanya mendekat pada ALLAH dengan mengimarahkan rumah ALLAH.
Hari
ini di rumah ALLAH bersaksikan para malaikat, ustaz berbicara bagaimana nak dapatkan mahabbatullah (kasih sayang ALLAH)?
Pada permulaan bicaranya, ustaz bertanya pada ahli jemaah masjid, “Apa matlamat
sebenar kehidupan kita?” sambil bertanya ustaz terus menjawab, “Ya, untuk
mendapatkan mahabbatullah. & bagaimana caranya untuk kita sentiasa mendapat
kasih sayang ALLAH? Manusia takkan pernah puas dengan manusia lain, kasih
sayang manusia juga terhad, sampai waktu mati memisahkan manusia dengan orang
yang disayanginya. Kasih sayang ALLAH Maha Luas. Mari kita tengok bagaimana
antara cara untuk kita mendapatkan kasih sayang ALLAH?”
1) Firman ALLAH S.W.T dalam
surah Ali-Imran ayat 31 yang bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah daku(Nabi Muhammad s.a.w), nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.”
Erti kata lain, kita sebagai hambaNya perlu
mengikut jalan yang ditunjukkan oleh
Rasulullah s.a.w bagi mendapatkan kasih sayang ALLAH. Buatlah sunnah Nabi
Muhammad s.a.w di samping memperkukuh amalan-amalan wajib.
2) Firman ALLAH S.W.T dalam
surah Al-Maidah ayat 54 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang Yang beriman!
sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah
akan mendatangkan suatu kaum Yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan
dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang Yang beriman dan
berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang Dengan
bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang
Yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah Yang diberikanNya
kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya,
lagi meliputi pengetahuanNya.”
Beberapa ciri golongan yang dikasihi ALLAH
telah terpapar jelas dalam ayat al-Quran ini:
a) bersifat lemah lembut terhadap orang
beriman
b) bersifat tegas terhadap orang kafir bukan
keras tetapi tegas berprinsip
c) berjihad di jalan ALLAH
d) tidak takut dengan celaan orang-orang yang
mencela.
3) Firman ALLAH S.W.T dalam
surah At-Taubah ayat 7 yang bermaksud:
“Bagaimanakah dapat diakui adanya
perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik
(sedang mereka mencabulinya)? kecuali orang-orang (musyrik) Yang kamu telah
mengikat perjanjian setia Dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. maka selagi
mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap
mereka; Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang Yang bertaqwa.”
Taqwa di sini bermaksud, melakukan segala
suruhan ALLAH & menjauhi segala laranganNya sama ada ketika hidup
bersendirian atau dalam jemaah. InsyaALLAH kasih sayang sentiasa melimpahi
kehidupan kita J
4) Firman ALLAH S.W.T dalam
surah Ali-Imran ayat 146 yang bermaksud:
“dan berapa banyak dari Nabi-nabi
(dahulu) telah berperang Dengan disertai oleh ramai orang-orang Yang taat
kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa Yang telah
menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan
tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang Yang sabar.”
Sabar dengan maksud kekal dalam ketaatan
kepada ALLAH walau dilanda ujian yang bertimpa kerana dia yakin dengan ujian
yang datang itu tanda ALLAH sangat menyayangi hamba-hambaNya. Sabar mudah untuk
dilafazkan tetapi terkadang memerlukan mujahada untuk dipraktikkan.
5) Firman ALLAH S.W.T dalam surah
Ali-Imran ayat 148 yang bermaksud:
“oleh itu, Allah memberikan
mereka pahala dunia (Kemenangan dan nama Yang harum), dan pahala akhirat Yang
sebaik-baiknya (Nikmat syurga Yang tidak ada bandingannya). dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi
orang-orang Yang berbuat kebaikan.”
ALLAH sangat menyayangi hamba-hambaNya yang
berbuat kebaikan @ ihsan. Ihsan terbahagi kepada dua ihsan terhadap ALLAH &
ihsan terhadap manusia.
6) Firman ALLAH S.W.T dalam surah
Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
“dan mereka bertanya kepadamu
(Wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. katakanlah: "Darah haid itu satu
benda Yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". oleh sebab itu
hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh Dengan isteri
kamu) Dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka
(untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. kemudian apabila mereka sudah bersuci
maka datangilah mereka menurut jalan Yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu.
Sesungguhnya Allah
mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang Yang
sentiasa mensucikan diri.”
Dua perkara utama yang disentuh oleh ALLAH
bagaimana untuk kita mendapatkan kasih sayangNya dalam ayat ini ialah, pertama
kita mestilah bertaubat daripada dosa mengakui & memperbaiki kesilapan dosa
& sentiasa mensucikan diri dengan berwudhuk.
7) Hadith Rasulullah s.a.w yang
bermaksud:
“Orang
yang paling ALLAH sayang adalah orang yang sentiasa memberi manfaat kepada
manusia lain”
Memetik
kata-kata Ustaz Harizal, “Erti Hidup pada Memberi”. Jadi, sentiasalah hidup
dalam keadaan memberi bukan meminta. Bila kita memberi tanpa syarat insyaALLAH,
ALLAH juga memberi kasih sayangNya pada kita tanpa syarat.
8) Hadith Rasulullah s.a.w yang
bermaksud:
“Orang
yang berkasih sayang kerana ALLAH, maka layaklah dia mendapat kasih sayang
kerana ALLAH.”
Jadi, mari
kita mengambil pengajaran daripada perkara-perkara yang mendekatkan diri kita
kepada kasih sayang ALLAH. Usah kita kalut berkejar nak dapatkan cinta manusia
jika cinta kita kepada ALLAH belum lagi cukup sempurna & kuat menjadi
benteng pertahanan untuk kita mencintai yang lain. Kejarlah cinta ALLAH
terlebih dahulu dalam kehidupan kita, insyaALLAH cinta yang lain akan datang
menyusul tanpa dipinta.
Moga kehadiran
perkongsian kali ini memberi manfaat & ibrah bersama betapa hati amat dahagakan
cinta Ilahi, kerana dengan kasih sayangNya kita bisa meneruskan kehidupan ini
dengan baik dalam redhanya. Mahabbatullah dicari, redhaNya ditemui.
Siiru ‘alaa
barakatillah...