Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi
Maha Penyayang
Al-Hamdulillah...kasih sayang & ujian
ALLAH mewarnai kehidupan penulis. Warna-warni pelangi kehidupan sentiasa
memberi peluang kepada penulis untuk bernyawa dalam Islam & iman. Betapa
beruntungnya diri penulis punya iman & Islam yang mengindahkan
kehidupannya. Kalian bagaimana? Tepuk dada tanya hati ya.
Sejauh mana kita memegang gelaran sebagai
muslim & melaksanakan amanah sebagai individu muslim? Hati ini terdetik
& terkesan, akal mulai memikir bila mendengar persoalan yang keluar dari
mulut sahabat, “Blog awak ada cerita pasal isu semasa tak?” Bagai diketuk
dengan tukul, bagai tersentak dari mimpi yang indah, bagai dihiris dengan
sembilu tajam, persoalan itu menghantui diri. Jawapan penulis mudah tidak. Isu
semasa?
Ya, penulis mengakui blognya hanya dipenuhi
dengan cerita peribadi, pengalaman sementara yang mungkin tidak memberi manfaat
@ cetusan idea membina untuk pembangunan Islam, langsung tidak menyentuh isu
semasa yang berlaku sekarang ini. Entah bagaimana mahu dilakar kisah tentang
isu semasa, mungkin salah satu sebab utamanya penulis kekurangan sumber tentang
isu semasa menyebabkan blognya hanya terisi dengan kisah hidup sendiri.
Betul kata orang, pembacaan mencerminkan
peribadi seseorang. Penulis suka hidup dengan buku, suka membaca
pengalaman-pengalaman insan lain, hidupnya banyak dihabiskan dengan membaca
& menulis. Sayangnya isu semasa tidak menjadi topik utama penulis dalam
blog ini.
Isu politik semasa, isu negara, isu besar
Palestin yang menggugat keamanan rakyatnya menimbul kemarahan semua, isu
menyebarkan dakwah Islam secara lebih kreatif & inovatif, isu pendidikan
negara, isu perkauman, isu keamanan negara, isu hukum hakam Islam &
berbagai lagi isu yang timbul tidak dapat dihadam sepenuhnya oleh penulis
walaupun dia memang suka menulis untuk kepuasan diri sendiri. Bukan sahaja
kurang dihadam tetapi juga kurang diteliti & diperdalami sesuatu ilmu.
Penulis ingin sekali menghiasi blognya dengan isu-isu semasa agar dapat membuka
mata semua bahawa Islam itu syumul (menyeluruh sifatnya). Sekali gus dapat
mengelakkan dia dari bersifat seperti katak di bawah tempurung. Impian itu ada
cuma idea & ilham itu masih beku.
ALLAHUAKBAR...cabaran besar bagi penulis
sebenarnya. Mahu dicoret apa blognya agar terus memberi & memberi manfaat
buat ummah? Agar tidak dipandang sebagai blog picisan semata...agar
kehadirannya tidak dipandang sebelah mata sahaja...biar dalam banyak-banyak
‘bintang’, ‘bintang’ ini yang berkerlipan kerana ALLAH. Ya, dengan memberi
penulis rasa bahagia, dengan memberi terlepas segala seksa, dengan memberi
ketenangan mendekatinya, dengan memberi musibah seakan-akan mudah dilaluinya,
setiap persoalan & permasalahan terlerai akhirnya. Itulah kuasa memberi.
Tak tahu bagaimana mahu digarap blog ini agar
tiada hati yang terluka ketika membacanya, tiada manusia yang rasa terpinggir
bila menziarah blog ini, agar blog ini terus memberi cahaya Islam bersinar
menyinari semua. Biar indah & buruknya tetap memberi manfaat buat semua.
Selain memenuhi masa lapang, biarlah kewujudan blog ini memberi satu titik
perubahan kepada penulis sendiri khususnya & kepada semua yang sudi menziarahi
blog ini. Sejujurnya penulis tidak pandai mengulas tentang isu semasa tempatan
atau global. Apa yang pasti penulis mahu memberi & berkongsi dengan apa
yang dia ada walau cuma dengan pena.
Satu hari sebuah buku antara ‘post’ popular
& menabur manfaat buat semua yang sering penulis garapkan dalam blog ini.
Sudah lama penulis tidak membedah buku, sudah lama juga penulis kurang membaca
buku-buku yang dibelinya padahal sebelum ini penulis begitu ghairah mencintai
buku & menjadikan buku sebagai teman rapatnya. Malah jika ada sahabat yang
menghadiahkan buku padanya, ucapan syukur & terima kasih pantas mengukir
laju di bibirnya menyatakan betapa gembiranya dia menerima sebuah buku. Bila
dapat membaca balik, timbul satu keseronokan yang luar biasa hebat. Mindanya
terisi.
Banyak ilmu baharu diperolehinya, banyak juga
kata-kata yang terkadang ‘kena atas kepala sendiri’. Menyedarkan penulis ketika
membaca buku, menjentik hati yang keras ibarat batu. Mari kita bedah buku
Majalah SOLUSI Isu 71! Bersama ALLAH tidak gelisah...ALLAH itu hampir mengapa
kita meminggir. Antara bicara kata dalam SOLUSI 71.
Majalah yang padat dengan ilmu & isu
semasa. Bahagia dapat membelek & membaca dari satu helaian hingga helaian
seterusnya. Isu utama indah hidup bersama ALLAH. Isu yang mungkin dilupakan
oleh ramai individu. Mendekat pada ALLAH hanya pada saat susah & ditimpa
ujian, sedang masa bahagia, kita lupa mengucap syukur padaNya.
Memetik kata-kata, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi
pada halaman 15 majalah SOLUSI ISU 71: “Di mana jua kedudukan kita di mata masyarakat,
namun jika hidup bersama ALLAH, kita akan mencapai ketenangan, keberanian &
kebebasan yang tiada tandingan. Ketenangan yang menyebabkan si miskin hidup
bagaikan hartawan & jutawan. Keberanian yang menyebabkan buruh lebih cekal
berbanding majikannya. Kebebasan yang menyebabkan hamba sahaya lebih bahagia
daripada tuan yang memilikinya.” Sudah lama tidak membelek buku majalah
ini, akhirnya hati kembali terisi. Penulis rindukan buku-bukunya. Teman pasifnya,
teman kala fikiran rasa kosong, kala rindu bertamu pada insan-insan yang
disayanginya kerana ALLAH. Kalam ALLAH juga sering menemaninya.
Mungkin bukan olahan isu semasa yang penulis
ketengahkan dalam blognya, cukup persinggahan ‘bedah buku’ membuat dirinya
& generasi akan datang mendekat pada Ilahi, kembali pada jalanNya. Apa yang
penting penulis dah melangkah setapak dalam matlamat penulisannya. Moga terus
mendapat ilham untuk meneruskan perjuangan dalam penulisan ini biar nanti ada
yang membenci, biar nanti mungkin ada yang tidak suka, biar nanti ada yang
mempersoal usahanya.
Bersama ALLAH tidak gelisah pada halaman 18
Majalah SOLUSI ISU 71 membuka mata penulis ketika membacanya. Digariskan bersama
empat cara untuk kita menghampiriNya, 1) Bersangka baik kepada ALLAH &
berzikir. 2) Bertawakal. 3) Berdoa & solat. 4) Melaksanakan amalan wajib
& memperbanyakkan amalan sunat. Penulisan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi sangat
membekas di hati penulis, bicaranya seolah-olah terus masuk ke qalbu penulis. Inilah
hasil penulisan dari hati ke hati. Penulisan yang tenang & mudah untuk
difahami cepat membekas di hati pembacanya.
Antara kolum yang menarik pembacaan penulis
PERSONALITI: Malu Pada Steve Jobs halaman 94 & 95 & KEMBARA: Dari
Negeri Nabi Yusuf ke Tasik Qarun halaman 108-110. Jom kita telusuri
perbincangan tentang 2 kolum ini yang mungkin memberi pengalaman baru buat
semua pembaca blog ini! Tersusun kemas kolum-kolum dalam buku majalah Solusi
ini semata-mata mahu memberi ilmu kepada pembacanya. Agar yang songsang kembali
benar, yang salah kembali betul, yang tak tahu mendapat ilmu baharu, yang tahu
bertambah tahu. Walau isinya agak berat, tapi usah risau untuk membacanya.
Kolum PERSONALITI membuka fikiran penulis
untuk terus berfikir. Artikel ini adalah penulisan Ustaz Muhammad Luqman
Makhtar. Mari kita baca apa kata Steve Jobs dalam ucapan perasmiannya kepada
graduan Stanford! “Mengingatkan bahawa saya akan mati tidak lama lagi ialah
teknik paling penting yang membantu saya dalam membuat keputusan besar dalam
kehidupan. Ini kerana hampir semua perkara harapan orang pada kita, perasaan
bangga, perasaan takut akan kegagalan & dimalukan akan lenyap begitu sahaja
di hadapan kematian. Yang kekal hanya yang benar-benar penting.” “Tiada siapa
yang ingin mati. Bahkan orang yang berimpian ke syurga juga tidak ingin mati
untuk ke sana. Meskipun begitu, kematian destinasi kita bersama. tiada sesiapa
punya yang terlepas. & begitulah sepatutnya pun, kerana kematian hasil
cipta kehidupan yang terbaik. Kematian ejen perubahan dalam kehidupan. Kematian
mengenyahkan yang lama demi memberi ruang untuk yang baharu.” ( Inside Steve’s
Brain, Leander Kahney)
Betapa hebatnya pemikiran orang barat. Bukan untuk
kita memuja mereka tetapi untuk kita mencontohi sikap cintakan ilmu. Hebat bukan
orang yang bukan Islam meletakkan kematian sebagai matlamat akhirnya untuk dia
membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Kita sebagai muslim sepatutnya
meletakkan kematian sebagai satu titik perubahan. Mari kita tengok contoh
individu yang mempunyai penyakit tiada harapan untuk sembuh, & dia
diberitahu oleh doktor kesempatan hidupnyan hanya setahun. Apa yang dilakukan
olehnya? Adakah masih seronok dengan kemewahan dunia? Adalah masih bahagia
dengan nikmat-nikmat yang berbaki? Bagaimana amalan & ibadahnya hanya
sekadar atau luar biasa hebatnya?
Itu masa dia tahu detik kematian dia, sedang
kita sebenarnya tidak tahu bila kita akan mati. Cakap pasal mati ini, sungguh
mati bagi diri penulis makin mendekat bila mana semalam dia mendapat khabar
sedih tentang kehilangan seorang pemuda Islam yang hebat iaitu Allahyarham
Ustaz Safrizal. Penulis pernah mendengar taujihatnya, penulis pernah mengenali
susuk tubuh bernama Ustaz Safrizal. Perjuangannya menaburkan kebaikan Islam
berhenti di situ setelah ALLAH mengambil nyawanya bersama ibunya dalam satu
kemalangan tragis. Tidak banyak yang penulis tahu tentang dirinya, cuma
kematian beliau membekas di jiwa penulis. Memberi peluang kepada akal penulis
berfikir, bagaimana jika aku yang diambil nyawa oleh ALLAH dalam sekelip mata
sahaja? Adakah aku sempat bertaubat? Adakah aku sempat menggembirakan ibu ayah
& insan-insan yang aku sayangi? Paling penting soalan ini muncul dibenakku,
adakah aku sempat memberi sumbangan pada Islam mempertahan iman di dadanya
& orang sekeliling?
Ya ALLAH...Engkau tempatkanlah allahyarham
bersama-sama orang yang soleh. Limpahkanlah kasih sayangMu padanya. Mari
sama-sama kita menghadiakan al-Fatihah kepada Allahyarham Ustaz Safrizal! Kita bakal
menyusurinya nanti, cuma kita tidak tahu bila detiknya tiba, bila malaikat maut
datang menjemput ruh kita. Moga ALLAH mengampuni setiap dosanya, moga ALLAH
terus merahmatinya. Abadilah allahyarham bertemu ALLAH yang Maha Penyayang. Kepada
ALLAH kita kembali & kepada ALLAH kita berserah diri.
Ingat mati memberi ruang pada diri kita untuk
terus melakukan kebaikan & mahu melakukan yang terbaik dalam kehidupan. ‘Bekerjalah
seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi, & beribadahlah seolah-olah
kamu akan mati keesokan hari.’ Lagi satu kolum dalam buku majalah ini yang
menarik perhatian penulis ialah kolum KEMBARA. Memandangkan memang suka
jalan-jalan bermusafir, jadi kolum ini memberi peluang kepada penulis untuk
meneliti negara-negara lain melalui pembacaan. Penulis artikel ini, Dato’ Hj.
Muhammad Zakaria sering memaparkan penulisan kreatif melalui penelitian
pengalaman kembaranya. Seronoknya dapat mengembara bermusafir mengutip ibrah di
negara-negara lain. Penulis juga punya impian untuk menjadi pengembara musafir
di bumi ALLAH suatu hari nanti. Itupun jika diiznkanNya. Sudah tentu blog ini
dipenuhi dengan cerita-cerita indah di bumi kembaranya. InsyaALLAH...Biiznillah.
Mesir & Makkah dua buah negara yang
diceritakan oleh penulis artikel kolum kembara ini. Pantas cerita tentang Tasik
Qarun menarik pembacaan penulis bila mana diceritakan betapa indahnya tasik itu
dari jauh tetapi bila dekat hitam pekat & kotor. Itulah musibah yang
diterima oleh Qarun yang tamak dengar harta. Pengajaran berguna buat manusia
yang mahu memikirkannya. Jadi, jom kita baca buku majalah SOLUSI ISU 71 untuk
mengetahui cerita seterusnya. Penulis hanya berkongsi setitik daripada ilmu
dalam buku tersebut. Selebihnya, cuba dapatkan dalam buku majalah SOLUSI ISU
71.
Setakat ini dahulu coretan penulis untuk hari
ini. Panjang umur kita jumpa lagi di lain masa & ketika. Bersyukurlah kerana
kita adalah individu muslim yang hidup dalam petunjuk ALLAH. Bahagiakan dirimu
dengan Islam di dada. Siiru ‘alaa barakatillah.
No comments:
Post a Comment