Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan Nama ALLAH
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah
dengan limpah kurniaanNya, penulis masih diberi kesempatan & kekuatan untuk
meneruskan penulisan blognya. Kehadiran blog ini yang dulunya hanya kerana
terpaksa memenuhi keperluan tugasan kuliahnya semasa zaman belajar di
universiti, kini menjadi hobi & minat kesukaannya. Dia mahu berkongsi
betapa bahagia & bertuahnya menjadi muslimah beragama Islam.
Biar apa orang nak
kata tentang kita, yang penting kita tahu niat & hala tuju kehidupan kita
hanya kerana mahu meraih cinta ALLAH semata. Ya, jika kehadiran blog ini
semakin mendekatkan dirinya dengan ALLAH & semakin memberi sinar cahaya
pada manusia-manusia lain, inilah jalan yang penulis pilih. Kerna kita hidup
diberi pilihan, mahu yang baik atau yang buruk itu terpulang pada diri setiap
insan. Bukan?
Baik, hari ini
penulis memilih entri bertajuk, ‘Sebuah Rumah Banglo Mewah’. Kenapa penulis ada
rumah macam tu? Takdelah, penulis pun tinggal di rumah kampung yang biasa-biasa
sahaja yang menjadikan rumahku syurgaku adalah ahli keluarga & pengisian di
dalam rumah tersebut. Siapa punya impian nak ada sebuah rumah banglo mewah?
Setiap orang mesti punya impian tersendiri, tapi hari ini penulis bukan nak
bercerita tentang impiannya. Penulis ingin sampaikan analogi menarik tentang
sebuah rumah banglo mewah ini.
Kalau tak tulis kat
blog nanti, dah lupa ceritanya. Pertemuan dengan seorang sahabat kepada sahabat
penulis di bumi bernilai yang penuh menyimpan kenangannya selama hampir lima
tahun hidup bermusafir membuahkan satu perkongsian yang menarik antara kami.
Penulis mendengar penuh khusyuk.
Betul kata orang,
kawan baru yang kita jumpa sentiasa memberi ilmu kepada kita. Dia sempat
berkongsi satu analogi yang menarik. Memetik katanya, dia bertalaqqi di sebuah
pondok dengan seorang syeikh dari negara arab. Satu hari syeikh tersebut
menceritakan bagaimana kisah dia berkahwin.
Pantas syeikh
tersebut menceritakan satu analogi menarik tentang perbandingan antara orang
bujang dan orang yang telah berkahwin. Kata syeikh tersebut: “Orang bujang
melihat alam perkahwinan umpama memerhati & menjenguk sebuah rumah banglo
mewah. Sedangkan orang yang telah berkahwin adalah orang yang telah berada
dalam rumah banglo mewah tersebut. Macam kita manusia biasa bila tengok rumah
banglo mewah dari luar, mesti kita akan terhendap-hendak, menjenguk sana dan
sini, mencari tingkap kaca mahu melihat apa yang ada dalam banglo mewah
tersebut. Kata orang bujang, “Bestnya kalau aku yang berada dalam banglo mewah
ini. Dapat rasai kemewahannya, sejuk dingin, aman, nyaman, besar, bahagia je.
Apa yang ada kat dalam tu yer?” Rasa ingin tahu membuak-buak dalam dada seperti
kanak-kanak kecil perasaan ingin tahunya. Mahu saha orang bujang ini menyelinap
masuk ke dalam rumah banglo mewah itu.
Tetapi sayang, dia
bukan pemilik rumah banglo mewah itu. Dia hanya memerhati dari luar. Beza pula
dengan orang yang telah berkahwin, yang telah berada dalam perut rumah banglo
mewah tersebut. Pahit manis dalam rumah banglo mewah itu harus ditelannya
walaupun terpaksa. Dia dah rasa semuanya. Bahagia, gembira, marah, sedih,
murung, kosong, penat & macam-macam perasaan berada dalam rumah banglo
mewah tersebut.
Analogi yang sangat
menarik. Terima kasih awak. Kehadiran kata-kata ini membuka minda & ingatan
penulis tentang hidup ini kita hanya bergantung padaNya. Takdir ALLAH
menentukan bagaimana perjalanan kehidupan kita nanti. Jadi, sahabat-sahabat
yang masih bujang, usah khuatir rumah banglo mewah untuk kalian sentiasa ada.
Usah khuatir tentang jodohmu. InsyaALLAH dengan izinNya tamatlah zaman
bujangmu. Usah khuatir penulis sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kalian.
Kitakan sahabat.
Meniti kenangan di zaman bujang penulis.
Masa bujang yang indah bersama sahabat-sahabat.
Sungguh merindui detik indah bersama.
Bersyukur &
hargailah zaman bujang, kalian. Ya, kalian masih punya kesempatan & waktu
untuk berbakti pada ibu ayah kandung sebaiknya. Kalian yang bujang juga masih
punya kesempatan untuk mengejar impian masing-masing. Masih punya masa
bermanja & bersahabat dengan
adik-beradik kalian. Masih punya waktu untuk menyambung pelajaran ke peringkat
yang lebih tinggi. Juga masih punya kesempatan menjalin ukhuwwah yang sedia ada
dengan sahabat-sahabat kalian sebaiknya. Tinggalkan kenangan bujang kalian
dengan penuh kenangan pahit manis supaya nanti kalian tidak menyesal di
kemudian hari bila telah memegang amanah sebagai suami atau isteri.
Ada hikmahnya
kalian belum bertemu jodoh. Ada indah & istimewanya kalian masih dengan
gelaran bujang. Supaya nanti kalian siap untuk menghadapi alam perkahwinan yang
penuh dengan ujian. Usah bersedih ya. Penantian seorang hamba akan berakhir
dengan kurniaan & anugerah dari ALLAH yang tidak di sangka-sangka.
Mari kita semua
perhalusi surah at-Tholaaq ayat 2 & 3 yang bermaksud:
2.
...dan
sesiapa Yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari Segala
perkara Yang menyusahkannya),
3. serta memberinya
rezeki dari jalan Yang tidak terlintas di hatinya. dan (ingatlah), sesiapa
berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk
menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan Segala
perkara Yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi
berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Buat
sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga & telah selamat diijab
kabulkan serta sudah punya cahaya mata sendiri, ini pesanan untuk kita bersama.
Pertama, penulis mohon jasa baik kalian untuk terus mendoakan sahabat-sahabat
kita yang belum bertemu jodoh akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Terus mendoakan sahabat-sahabat kita walaupun kita telah bahagia sebagai isteri
atau suami. Doa kan senjata mukmin, sekurang-kurangnya kita sentiasa mendoakan
sahabat-sahabat kita walaupun kita tak dapat memberi sesuatu yang zahir doa juga
satu bentuk pemberian.
Kenangan majlis perkhahwinan penulis.
Ke-2, bersyukur
& hargailah insan-insan yang menyayangi dan sentiasa berada di samping
kalian. Jangan tunggu dah terhantuk baru terngadah, jangan tunggu dah hilang
atau pergi baru kita menyesal kerana tidak menyayangi mereka kerana ALLAH. Kalian
beruntung sebab dah kahwin, dah ada kehidupan sendiri jadi keberuntungan itu
usah dipersiakan. Suami, isteri, anak-anak, keluarga mertua, adik-beradik,
keluarga sendiri, ipar duai, semuanya anugerah ALLAH. Kehadiran mereka bukan
untuk disakiti walaupun mereka terkadang menyakiti biarlah kita menjadi manusia
yang sentiasa menyayangi, menghargai manusia lain.
Ke-3, buat
sahabat-sahabat yang telah mendirikan rumah tangga, mohon jasa baik kita
sebagai sahabat yang telah berkahwin, usah sesekali kita melupakan sahabat kita
secara sengaja atau tidak sengaja. Ingat tak dulu, bukan main susah kita nak
bina ukhuwwah dan mengekalkan persahabatan kita. Kenapa sekarang, bila kita dah
berkahwin, ruang untuk sahabat telah tertutup rapat. Adakah sebab kita dah ada
‘teman rapat’ iaitu suami atau isteri, kita melupakan semua sahabat kita
semudah kita melupakan kesilapan kita? Jangan pernah lupakan ukhuwwah kita.
Setakat ini dahulu
coretan penulis untuk malam ini. Maaf andai ada yang terguris hati, maaf atas
khilaf yang dibuat diri ini. Penulis cuma mahu mengingatkan dirinya tentang
kehidupan yang sementara ini. Sebuah rumah banglo mewah menjadi entri yang
sangat terpahat di dalam hati penulis, kerna penulis dapat analogi ini dari
sahabat yang baru ditemuinya. Analogi ini sangat berharga & dipahatnya di blog ini. Penuh kenangan untuk menasihati
hati sendiri & sahabat-sahabat yang mencari kata semangat.
Siiru ‘alaa
barakatillah...jumpa lagi di lain entri. Terus doakan moga penulis diberi
kekuatan, ilham, kemampuan, masa dalam kesibukan untuk meneruskan penulisan
blog ini.
No comments:
Post a Comment