Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH Yang Maha
Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah...syukur Ya
ALLAH di atas segala nikmat dan kasih sayangMu yang sentiasa melimpahi penulis
blog ini. Penulisan dunia yang abstrak memungkinkan penulis melangkah lebih
jauh dalam dunia ini. Kisah hidup, pengalaman dan pahit manis sesebuah kehidupannya
banyak mengajar dia menjadi manusia. Bukan manusia semata tetapi manusia yang
punya amanah sebagai hamba & khalifahNya.
Andai berkesempatan ingin
dia coret segala kisah hidupnya bukan untuk membangga diri, tetapi hanya mahu
hidup memberi sekurang-kurangnya memberi pada yang memerlukan. Memberi pada
yang mahu mengetahui betapa bersyukur dan bahagia bila meletakkan ALLAH pada
setiap langkah pertama kita dalam kehidupan.
Islam itu sangat indah,
duhai teman. Lebih indah dari isi dunia yang hanya fatamorgana ini. Lebih indah
dari ciptaan-ciptaan teknologi manusia, kerana dengan Islam tamadun terbina
gemilang. Dengan Islam kita punya matlamat hidup yang jelas yang bisa memberi
kita petunjuk menuju jalan kebenaran. Keindahan itu ingin penulis garapkan dalam
penulisannya supaya tiada manusia yang bisa mempertikaikan Islam yang menjadi
pegangan hidupnya. ALLAH Tuhan kita, Muhammad s.a.w. nabi kita, al-Quran
panduan hidup kita, kaabah kiblat kita, jihad jalan juang kita, mati cita
tertinggi kita.
Sesekali menatap deretan
nombor telefon bimbit sahabat-sahabatnya, dia sebak menunggu masa menitis air
mata kerinduan. Rasa macam sudah terlalu lama dia tidak mempedulikan
sahabat-sahabatnya. Biasanya, dia akan menghantar mesej kata-kata tanda ingatan
pada sahabat-sahabatnya. Kali ini dia seolah-olah sepi tanpa kata, membisu
seribu bahasa sejak sibuk menguruskan kehidupan berumah tangga.
Satu per satu sillih
berganti wajah sahabat-sahabatnya terbayang di mata, “Adakah diriku merindui
mereka?” Bagaimana keadaan sahabat-sahabat? Bahagiakah mereka? Deritakah
mereka? Ada diriku ambil peduli? Astaghfirullahal’azim...lama benar dirinya
tidak bertanya khabar, bertukar cerita dengan sahabat-sahabatnya. Adakah diriku
yang menjauhkan diri dari mereka ataukah sahabat-sahabat yang terpaksa
menjauhkan diri dariku kerana kami sudah bertukar status?
Banyak sekali persoalan
yang bermain di fikiran saat meneliti satu per satu nombor telefon bimbit dan
nama-nama sahabatnya yang tersenarai dalam telefon. Kalian melupakanku? Atau
bagaimana? Sungguh diri ini sangat merindui kenangan pahit manis bersama
sahabat daripada berjuang di sekolah rendah, berhijrah sekolah menengah, masuk
alam universiti dan seterusnya alam kerjaya. Semuanya dipenuhi dengan kenangan
bersama-sama sahabat. Rindu benar pada sahabat-sahabatnya Cuma Al-Fatihah
dikirim lewat doa kepada sahabat-sahabat sebagai pengubat rindu.
Adakah diriku masih punya
peluang bersama sahabat-sahabat? Andai bisa diputar masa, ingin dia ulang
kembali kenangan bersahabat di sekolah menengah. Sahabat yang banyak mengajar
erti hidup, sahabat yang banyak mengubah persepsi negatif tentang manusia lain.
Daripada kawan biasa hinggalah bertukar menjadi sahabat dunia akhirat. Semuanya
berlegar di ruangan mata. Masih kuat di ingatannya pada tiga orang sahabat
karib di sekolah menengah. Kami bersahabat agak lama hinggalah masing-masing
membawa diri meneruskan kehidupan & impian tersendiri.
Masuk alam universiti,
sahabat dan kawan-kawannya semakin bertambah. Orang kata berkawan biar seribu,
bermusuh biar satu. Cari & pilihlah kawan yang sebaiknya kerana dalam
memilih kawan, automatik kita terbias sikap & perangai kawan-kawan kita.
Sahabat ini ibarat cermin diri, nak tahu siapa kita, tengoklah dengan siapa
kita berkawan. Alam belajar yang penuh dengan cabaran dan sangat menyeronokkan.
Belajar sama-sama, makan sama-sama. Tidur sama-sama. Layan drama bila stress
menyiapkan ‘assignment’ pun sama-sama.
Ingatan makin kuat pada
seorang sahabat dunia & akhirat penulis dengan nama manjanya, Wira. Dia
anak jati negeri Kedah Darul Aman. Kami berkenalan di awal tahun pengajian kami
di universiti. Dia mengajak penulis belajar bersama walaupun dia tahu kami
berlainan kelas. Dia sahabat yang sangat baik & memahami. Sekarang dah
selamat mendirikan rumah tangga dan bakal mempunyai seorang bayi comel nanti. Penulis tak sabar menunggu kelahiran anak buahnya nanti. Dia sahabat tempat penulis berkongsi cerita. Dia sahabat tempat penulis
berkongsi suka & duka. Dia sahabat yang sentiasa buat penulis tersenyum.
Pada akhir pengajian di
universiti, ALLAH sekali lagi mengurniakan kepada penulis seorang sahabat
dengan panggilan manjanya, Ayu. Kami memilih untuk praktikal bersama-sama di
Banting, Selangor. Bertitik tolak dari itu, kami menjalin persahabatan. Juga
merupakan anak kelahiran Kedah Darul Aman. Jadi, penulis tidak kekok bersama
orang Kedah. Alah bisa tegal biasa. Ayu juga al-hamdulillah telah berumah
tangga dan dikurniakan cahaya mata bernama Lubna yang subhanallah sangat comel
macam anak orang arab.
Di alam pekerjaan pula,
ALLAH Maha Pemurah kepada penulis kerana telah mengurniakan sahabat-sahabat
yang ramai. Kami rakan sekerja dengan amanah muaddibah. Susah senang kami tetap
bersama-sama. Dunia pekerjaan yang sangat membutuhkan pengorbanan ketika itu.
Mengenali watak anak-anak berusia dalam lingkungan 4, 5, & 6 tahun sangat menguji
diri seorang muaddibah dan saling membahu antara kami adalah antara kenangan
yang sangat manis yang tak mungkin penulis lupakan. Kenangan bersama
sahabat-sahabat muaddibah dan anak-anak sentiasa bermain di mata setiap kali
merindui mereka.
Atas permintaan salah
seorang sahabat ‘muaddibah ohsem’ yang begitu merindui kenangan kami waktu
bersama-sama berjuang dalam dunia pendidikan, penulis abadikan gambar-gambar
kenangan kami di sini untuk tatapan Ukhti Siti Sapiah bt Mohd Hudri dan
sahabat-sahabat lain. Harapnya terubat sudah rindu ukhti ya. Memahami dan
menghormati permintaan sahabat memungkinkan penulis menukilkan bicara ini,
“Rindu itu fitrah, duhai
sahabat. Biar kita telah jauh terpisah beribu batu, namun kasih sayang antara
kita takkan pernah padam. Ya, dengan sahabat, diri ini kenal dengan kebaikan,
dengan sahabat pinjaman ALLAH diri ini yang terkadang jatuh tersunkur kembali
bangkit. Sahabat juga anugerah terindah bagi penulis. Kalian banyak melakarkan
kenangan pahit manis bersama-sama, dari sesukar-sukar perkara, sesusah-susah
kehidupan hinggalah ALLAH memberikan kesenangan. Biarlah kali ini, penulis
menghargai kewujudan sahabat-sahabatnya kerana kita bersahabat sampai syurga.
Bukan kerana harta atau kecantikan semata tapi kita bersahabat sampai syurga
kerana ALLAH semata. Ingat tau!”
Gambar-gambar kenangan menyusul di bawah yer!
Setakat ini dahulu coretan
rindu penulis buat sahabat-sahabat terchinta. Moga persahabatan kita berkekalan
hingga ke syurga abadi. Menghargai insan-insan yang menyayangi kita itu perlu
untuk lebih mengeratkan hubungan ukhuwwah & kasih sayang antara sahabat.
Hadiah Al-Fatihah penulis kirimkan buat insan-insan bernama sahabat yang hadir
mewarnai kanvas kehidupannya penuh warna-warni, cantik & abstrak. Terima
kasih untuk kasih sayang kalian. Moga kehadiran entri ini memberi sentuhan rasa
& pengubat rindu pada yang merindu.
Siiru ’ala
barakatillah...jumpa lagi pada entri seterusnya ya!