IKHLASKAH HATIKU?
Ikhlas...mudah
menutur di bibir hamba ALLAH yang leka dengan perjuangan Islam tetapi agak
sukar untuk dibiaskan dalam perbuatan. Ikhlasnya seorang hamba hanya bisa
diukur saat dirinya diuji dengan pelbagai ujian dariNya. Kayu ukur ikhlaskah
seorang hamba menghadapi kehidupannya hanya ALLAH yang bisa mengetahui kerana
ALLAH Maha Mengetahui tentang hambaNya. Mampukah dia ikhlas bila ujian datang
menjengah dalam kamar kehidupannya? Mampukah dia ikhlas saat perjuangannya
dilanda ombai badai yang bergelora menghempas kuat tanpa ada tanda untuk
berhenti menduga? Mampukah dia ikhlas saat dirinya tiba-tiba di campak
sendirian dalam perjuangan...seolah-olah tiada manusia yang mampu membantunya?
Ya ALLAH ujian
dariMu datang tanpa aku mengundang…
Ujian dariMu
menjelma bila aku merasa sendirian…
UjianMu terkadang
menjadikanku hambaMu yang hina ini cuba untuk tegar dengan keadaan…
Cuba untuk
mengerti apa hikmah dan keistimewaan yang tersirat disebaliknya…
Cuba bermonolog
dengan diri mengatakan bahawa aku mestilah menjadi hambaMu yang kuat...
Cuba mencari
cintaNya di setiap sudut aku memandang dunia...
Aku dilahirkan di
dunia bukan untuk menjadi manusia yang lemah dengan mehnah dan ujian yang
bertimpa…aku dilahirkan di dunia bukan untuk menjadi manusia yang sentiasa
jatuh dan tersungkur dengan masalah…aku dilahirkan di dunia untuk jadi manusia
yang tabah dengan cubaan dan masalah. Bukan untuk sentiasa rasa lemah semangat
dan tidak kuat. Jika tidak mana mungkin aku dilahirkan di dunia.
Ikhlaskah aku
menghadapi ujian dariMu...Ya Tuhan? Hanya padaMu aku gantungkan seluruh
pengharapanku.
Saat ku rasa diriku sendirian tanpa sahabat-sahabat di
sisi...saat ku rasa imanku semakin berkurang...saat ku rasa sangat jauh
denganMu...saat hatiku rasa kosong tanpa
kasih sayang dariMu...saat ku rasa diriku ditimpa dengan pelbagai ujian
hati...aku berusaha merangkak dan berlari mendapatkan cintaMu, Ya ALLAH. Aku
membelek helaian demi helaian kalamullah yang penuh dengan cintaMu. Aku
tertarik pada kalamMu, jangan bersedih dan jangan takut sesungguhnya ALLAH
sentiasa bersamaMu. Kini, ku mengerti biar pada hakikatnya aku sendirian tanpa
sahabat-sahabat seperjuangan di sisi...aku tetap dan sentiasa ada ALLAH di
sisiku.
“Ya
ALLAH...Engkau Maha Mengetahui segalanya. Ya ALLAH...kurniakan aku kekuatan dan
kesabaran dalam menghadapi ujian-ujianMu. Jangan sesekali Engkau tinggalkan aku
sendirian menghadapi keindahan dunia ini...Ya ALLAH. Ya ALLAH... tetapkan
hatiku untuk terus mencintai dan menyayangi serta mengingatiMu dalam setiap
helaan nafasku...dalam setiap perbuatan dan doaku. Ya ALLAH...kurniakan aku
hati yang ikhlas dalam menghadapi kehidupan serta takdirku. Sesungguhnya,
solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku hanya kerana ALLAH...Tuhan sekalian
alam.”
Walau aku
terpaksa mengharung ujian ini sendirian aku masih punya cinta ALLAH yang
sentiasa menemaniku saat aku rebah...keliru...sendirian...kegembiraan...atau
kesedihan. Ya...mungkin dengan ujian ini mampu mengajar aku bagaimana menjadi
hambaNya yang tabah dan ikhlas dalam perjuangan kehidupan ini. Aku tidak akan
sesekali menyalahkan takdir kehidupanku. Aku tidak akan sesekali menyerah dalam
keadaan tersungkur , sekurang-kurangnya aku bisa berusaha menjadi hamba ALLAH
sebaiknya walau di mana aku dicampakkan di dunia ini. Aku mahu menjadi hambaNya
walau di mana aku di tinggalkan, aku bisa hidup dengan cinta ALLAH dan dengan
kekuatan yang ALLAH anugerahkan kepadaku.
Mengertilah duhai
diri, ALLAH sangat menyayangimu...dek kerana cintaNya, dirimu dikurnia bermacam
jenis dugaan dan ujian. Ingatlah diri, disebalik ujianNya yang datang tanpa
dipinta penuh dengan hikmah yang bakal dirimu temui kelak...istimewanya dirimu
kerana dipilih ALLAH menerima ujian-ujian ini. Jadilah hambaNya yang tabah
serta sabar dengan ujianNya. Moga suatu saat syurga ALLAH yang aku rindui bakal
menemani di penghujung hidupku.
Jangan
bersedih...saat diri dirasa sendirian
Jangan bersedih
...saat dugaan ALLAH datang bertandang
Jangan
bersedih...saat dirasa diri lemah tanpa kebergantungan
Jangan
bersedih...saat diri keseorangan
Kerna ingatlah
kesedihan itu bisa diubati dengan ubat redha pada takdirNya dan mencintai TUHAN
selagi diri punya waktu dan kesempatan...