Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan nama ALLAH
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Al-Hamdulillah
dengan izinNya & kasih sayangNya yang sentiasa melimpahi diri ini, telah
memberi ruang & kesempatan kepada penulis blog untuk meneruskan
penulisannya. Tiada bicara terungkap semasa bulan Ramadhan & Syawal 1436H
ini. Ramadhan berlalu pergi terlalu cepat Ramadhan meninggalkan kita. Setiap
detik diri ini mengakui betapa dia merindui untuk bertemu Ramadhan lagi.
Al-Hamdulillah nikmat iman & Islam nikmat terindah anugerah ALLAH yang
tiada tolok bandingnya. Dengan dua nikmat terbesar ini dia hidup di bawah
payungan kasih sayang ALLAH. Tanpa Iman & Islam sudah tentu hidupnya tiada
panduan hilang arah ibarat layang-layang terputus talinya.
Al-Hamdulillah
ucapan syukur sentiasa menghiasi blog ini kerana merasa betapa kasih &
sayangNya ALLAH terhadap diri biar terkadang dia teruji dengan kehidupan yang
penuh pancaroba. Semuanya kembali pada ALLAH, insyaALLAH ketenangan menyapamu.
Kembali entri “Satu Hari Sebuah Buku”. Hari ini penulis nak bercerita tentang
sebuah buku yang sempat dihabiskannya di kampung semasa cuti seminggu sempena
hari raya Aidilfitri baru-baru ini. Buku ini berbentuk novel tarbiah. Lama tak
bedah buku novel, jadi jom kita baca apa isi buku novel ini, & apa yang
seronoknya tentang novel ni?
TAJUK BUKU: Saya
Tunggu Awak (berhalaman: 633)
PENULIS: Bonda Nor
@ nama sebenarnya Norli binti Madlan
TERBITAN: Galeri
Ilmu Sdn. Bhd
“Dalam hidup ini
tidak ada istilah kebetulan. Setiap perkara yang berlaku akan menjadi asbab
kepada perkara lain pula.”
Memetik isi buku
ini pada perenggan akhir halaman 632:
“Ya, sesungguhnya
nikmat iman & ukhuwwah itu terlalu tinggi nilainya. Dalam hati, Rafiq tidak
putus-putus memanjatkan doa untuk mereka. ‘Sahabat-sahabatku Hanna &
Farhan, tunggu kami di sana. InsyaALLAH kita akan berkumupul semula di syurga,’
Rafiq bermonolog sendiri sambil mengukir senyum bahagia.”
Firman ALLAH S.W.T
dalam surah Al-Hadid ayat 22 & 23 yang bermaksud:
22.
tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) Yang ditimpakan di bumi, dan
tidak juga Yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di Dalam Kitab
(pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan Yang
demikian itu adalah mudah bagi Allah.
23.
(kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa Yang
telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan
bangga) Dengan apa Yang diberikan kepada kamu. dan (ingatlah), Allah tidak suka
kepada tiap-tiap orang Yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Bicara cinta ALLAH
ini jelas memberitahu kita betapa pentingnya untuk kita meletakkan ALLAH dalam
setiap perkara yang kita hadapi. Penulis sungguh mengalirkan air mata saat
membaca bicara cinta ALLAH dalam kalamullah ini. ALLAH Maha Penyayang cuma kita
yang terkadang tidak melihat disebalik ujian itu ada tanda ALLAH begitu
menyayangi kita. Terusik hati bila diberita segala kesusahan yang dihadapi itu
adalah atas pengetahuan ALLAH & kita sebagai hambaNya perlu redha &
syukur. Ini baru muslim unggul.
Isi yang turut
menarik penulis blog untuk berkongsi tentang buku ini ialah perkongsian resepi
kek coklat pada halaman 145 buku ‘Saya Tunggu Awak’. Perbualan menarik antara
Hanna Mardhiah & Rafiq Aqlan berkongsi resepi. Menarik!
1)
Mula-mula kisar 4 biji telur hingga berbuih-buih.
2)
Tambahkan susu pekat 1 cawan, susu cair 1 cawan, gula 1 cawan, minyak 1 cawan,
& ovalet 1 sudu & kisar hingga sebati semuanya.
3)
Ayak tepung penaik sendiri & serbuk koko 1 cawan.
4)
Campurkan dengan adunan yang dikisar tadi.
5) Kukus dalam satu
jam & siap dihidang.
Program Tafaqquh
kitab Bidayatul Hidayah oleh Al-Fadhil Sheikh Shirazi al-Banjari dalam seminar
yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Ustazah Hanna Mardhiah membawa pembaca
mengetahui serba sedikit isi kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali. Memetik
bicara kata Sheikh Shirazi pada halaman 207:
“Imam Al-Ghazali
pernah berpesan jadilah orang yang berilmu. Rugi jadi orang yang jahil. Namun,
jangan jadi orang berilmu sahaja. Mestilah beramal juga. Jangan sekadar
beramal. Tetapi mestilah ikhlas pula. Dalam surah Al-Kahfi, ALLAH telah
memperingatkan kita bahawa ada golongan manusia yang terpedaya dengan ilmu
& amalannya. Mereka mensia-siakan perbuatan mereka, sedangkan mereka fikir
mereka telah berbuat baik. Jadi, janganlah kita rasa apabila berdakwah, kita
sudah cukup bagus. Janganlah kita rasa sebagai guru, kita lebih mulia daripada
orang lain. Sentiasa awas dengan tipu daya syaitan. Sentiasa berhati-hati
dengan hati, itulah taqwa kepada ALLAH,” pesanan Sheikh Shirazi kepada Hanna
Mardhiah.
Pertama kali
penulis blog mengenali buku ini melalui sahabat yang baru ditemuinya lewat
ziarah mahabbah ke Kedah memenuhi undangan majlis perkahwinan sahabat dunia
akhiratnya, Puan Siti Zawiroh bt Daud. Dia, Hajar sepupu Wira. Sekalung
penghargaan & terima kasih buat Hajar yang telah memperkenalkan novel ini
kepada penulis. Mulanya, puas penulis blog mencari buku ini dimerata kedai buku, tak jumpa. Terakhir usaha mencari buku ini di Kuala Lumpur kedai buku yang berdekatan dengan Sogo. Dah jumpa apa lagi terus beli. Al-Hamdulillah berkesempatan memiliki & menambah koleksi buku. Asyik membaca buku novel yang penuh pengisian rohani & cara
berhikmah menghadapi kehidupan berumahtangga. Sunnguh novel ini terhias indah
di akhir setiap bab dengan ayat-ayat Al-Quran & hadith Rasulullah s.a.w.
Ya, majlis
perkahwinan itu sangat dinantikan oleh teruna & dara menamatkan zaman
bujang masing-masing. Manis, meriah, & pastinya terpahat kemas di hati. Namun,
sebuah perkahwinan bukan terhenti setakat kemeriahan sebuah majlis walimatul
urus semata, bukan juga manis yang mahu ditelan. Pahit, masam, perit, pedih,
tawar semua ada. Dulu seorang, kini berdua. Dulu sebuah keluarga je, sekarang
dah berganda-ganda bilangan keluarganya. Dulu penat sorang-sorang, makan
sorang-sorang, solat pun sorang-sorang, sedih sorang-sorang, hati pun nak
dijaganya hanya dirinya sorang. Sekarang semuanya berbeza 360%. Semuanya berkongsi
& berdua. Berkahwin bukan bermakna mengahwinainya sorang, tetapi berkahwin juga
dengan ahli keluarganya.
Banyak juga hati
yang perlu dijaga. Al-Hamdulillah, ALLAH telah memberi peluang kepada penulis
blog untuk menghabiskan pembacaan novel ini. Novel ke-3 yang menjadi koleksi
buku novel penulis selepas membaca novel hasil karya, Cahyadi Takariawan &
Habiburrahman El-Shirazi. Pengajian ilmu agama yang padat dalam lingkungan bab
1-82 bersamanya ada prolog & epilog sungguh menarik penulis meneruskan pembacaannya.
Setiap akhir bab diselitkan maksud ayat al-Quran & hadith-hadith yang
berkaitan dengan kisah yang dimainkan. Tidak rugi penulis memiliki buku ini.
Buku ini sarat
dengan nasihat berguna untuk pasangan suami isteri melayari bahtera keluarga. Bagaimana
tarbiyatul aulad yang diterap oleh Hanna Mardhiah watak utama novel ini
terhadap dua orang putera & puterinya sehingga melahirkan generasi yang
subhanallah hebat peribadinya. Islam anak-anaknya bukan hanya pada nama &
kad pengenalan semata tetapi pada peribadi & akhlaknya jua, akidah terjaga,
syariah dipatuhi, membuah akhlak yang terpelihara. Bagaimana pula kisah Hanna Mardhiah
menyantuni suaminya, Farhan yang hanya bekerja sendiri & punya titik hitam
sebagai penagih dadah sedangkan dirinya seorang kaunselor universiti? Bagaimana
Hanna Mardhiah berdepan dengan mehnah ujian kehadiran pelajarnya, Rafiq Aqlan
yang mencintainya sedangkan dia sudah punya suami? Cerita ini digarap indah
oleh penulis, Bonda Nor menambah jatuh cinta penulis blog kepada penulisannya. Buku
pertama beliau, “Pujuklah Hati” turut berjaya memikat hati penulis blog untuk
hanyut leka dengan mainan bicara indah susun atur kata yang mengisi jiwa yang tengah
kosong.
Ha, ini baru betul
novel Islami yang penuh dengan kata nasihat & sepanjang pembacaan buku ini
banyak mendorong pembaca mengingati ALLAH. Semuanya kembali pada ALLAH. Apa
yang berlaku, apa yang terjadi, apa yang tertulis sudah takdir ALLAH. Siapa
kata baca novel hanya menambah cinta kita pada dunia, hanyut dengan cinta yang
entah ke mana, baca novel hanya buat kita hidup ditakuk lama berimaginasi tanpa
ada rasa memenihi impian?? Kehadiran novel ini membuktikan semuanya tidak benar.
Baca novel ini menambah pengisian hati, membuka ruang untuk kita lebih berfikir
dengan iman.
Memetik kata-kata
Ustzh Isfadiah Mohd Dasuki, pensyarah UIAM, personaliti TV pada kulit belakang
novel tarbiah ini:
“Subhanallah. Karya
ini berjaya mengajar kita tentang hakikat bahawa setiap cabaran dalam rumah
tangga pasti ada penyelesaiannya, setiap percintaan pasti ada ujiannya &
setiap perbuatan kita di sisi ALLAH pasti ada catatan & ganjarannya. Semua permasalahan
berjaya disarungkan penyelesaian yang sangat tepat, Islamik & penuh manfaat.
MasyaALLAH sangat berkesan di hati saya. Satu novel tarbiah yang cukup
mentarbiah. Tahniah Bonda Nor.”
Sungguh, buku ini
mengajar penulis mengenali dunia sebenar sebuah bahtera yang dikemudi oleh
suami & isteri dalam melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Semoga selepas
ini lahir lagi banyak novel-novel tarbiah seperti ini & memenuhi pasaran
Malaysia, agar tiada lagi buku novel yang ditulis hanya mahu meracuni pemikiran
anak muda Malaysia semata. Paling penulis ingat klimaks buku ini adalah detik
kematian mengejut Farhan yang sangat tragik ditikam kejam oleh perompak
rumahnya. Paling menyayat hati, bila mana detik kematian mengejut juga Hanna
Mardhiah dalam kemalangan jalan raya yang mana anak sulungnya, Hazim
menyaksikan sendiri pemergian bonda tercinta.
Semua yang berlaku
adalah kembali pada ALLAH. Kita merancang & ALLAH sebaik-baik Perancang. Novel
ini sangat sesuai dibaca oleh mereka yang rindukan tarbiah Islam, yang bakal
melayari bahtera rumah tangga & yang telah berumah tangga. Pastikan sahabat-sahabat
membaca buku bovel ini sekiranya kalian
pencinta novel & jika tidak setidak-tidaknya novel ini memberi sisi pandang
positif tentang olahan penulisan novel Malaysia. Nak tahu bagaimana setiap
watak memainkan peranannya sehingga menjadikan buku novel ini sangat menarik
untuk dibaca? Bolehlah kalian membaca buku ini & menghabiskan pembacaan. Tak
adil jika penulis blog menulis semua isi buku ini di sini. Penulis blog ini
cuba membawa dirinya & pembaca untuk meneruskan usaha murni meneruskan amalan membaca &
membaca.
Panjang penulis
blog berceloteh hari ini. Mungkin kerana isi buku ‘Saya Tunggu Awak’ ini
terlalu menarik untuk dibaca oleh semua terpanggil penulis berkongsi dengan
kalian, hamba ALLAH yang sentiasa dilimpahi kasih sayangNya, Ameen. Moga memberi
manfaat pada semua terutamanya pada diri yang menukilkan kata-kata ini. Lama benar
dia meyepi, hingga Ramadhan berlalu pergi, Syawal menjelma kini namun tiada
khabar dari empunya diri, diamnya bukan bermakna sepi, diamnya penuh rahmat
Ilahi, menikmati dengan rasa mensyukuri. Jumpa lagi di kesempatan lain
insyaALLAH dengan iznNya!
Siiru ‘alaa
barakatillah. Salam Syawal & selamat hari Raya Aidilfitri 1436H.
Mengimbau koleksi kad kawen sahabat dunia akhirat penulis. Moga kalian bahagia hingga ke syurga abadi.