Wednesday 19 March 2014

Sementara AYAH Masih Ada dalam Majalah SOLUSI 65

Bismillahirrahmanirrahim...

Al-Hamdulillah atas segala nikmat pemberian & anugerahMu. Biar hambaMu ini tetap menjadi hamba yang bersyukur Ya ALLAH. Al-Hamdulillah kerana penulis masih punya masa, kekuatan, kesempatan & peluang menggunakan internet yang ada untuk menyumbang sesuatu tanpa membiarkan blognya kosong membisu tiada tulisan.

Biar pada luahan ini terungkai segala keresahan, biar pada perkongsian ini ada manfaat pada jiwa yang mahu mengingati Tuhan, biar pada coretan ini tersingkap segala makna kebaikan, biar pada bicara ini tercipta kenangan dalam pengalaman.



Baiklah, hari ini penulis mahu bercerita tentang buku. Buku yang menjadi pendamping setia penulis saban waktu di pejabat atau di rumah. ‘Post’ yang lepas kita dah bincang serba sedikit pasal buku Ahmad Ammar Ahmad Azzam, hari ini kita bedah pula buku majalah Islam yang sangat diminati ramai iaitu Majalah SOLUSI isu ke-65 berkait rapat dengan insan yang bergelar ayah, papa, abi, abah, baba, walid, & panggilan-panggilan lain tetapi tetap memegang tanggungjawab sebagai bapa.

Isu yang sangat dekat dengan jiwa penulis tentang ayahanda. Ayah insan hebat di sisi anak-anaknya. Bijak pula Ustaz Pahrol Mohamad Juoi bermain dengan kata-kata. Bicara sang ayah yang sangat memukau jiwa & menyebabkan penulis leka bermain dengan air mata. Isu bertajuk “Bahasa Cinta Ayah” halaman 18 itulah tulisan yang berjaya membuat penulis hiba dalam bahagia. Hiba bila mengenangkan berjauhan dari ayah, hiba bila melihat betapa besarnya kasih sayang ayah yang penulis sendiri tak nampak sebelum ini hingga bila membaca buku isu 65 barulah penulis mengerti marah ayahnya tanda dia sayang. Bahagia kerna masih punya ayah.

Al-Hamdulillah Ya ALLAH Engkau telah mengurniakan anugerah terindah kepada penulis kerana penulis punya ayah yang hebat peribadinya walau pelajarannya tersekat dek kemiskinan yang melanda keluarga. Hebat perngorbanan ayah terhadap anak-anaknya. Biar ayah tahu hakikat ayah tak belajar tinggi apatah lagi masuk sekolah ayah tetap berusaha agar semua anak-anaknya dapat belajar samapi habis universiti. Penulis mahu menjadikan impian ayahnya sebagai satu kenyataan memandangkan penulis bakal menamatkan ijazahnya InsyaALLAH jika tiada aral melintang tahun 2014.

Ya bahasa cinta ayah berbeza dengan bahasa cinta ibu. Sayangnya tak pernah ditunjuk dengan mengucapnya dibibir, sayangnya dengan marah bila melihat kita melakukan kesalahan. Bila marah melanda terkadang tali pinggang menyinggah badan. Namun itu semua demi cinta ayah pada anaknya. Benar bicara Ustaz Pahrol Mohamad Juoi kerna penulis turut mengalaminya ketika mana penulis mendapat tawaran universiti ibu paling nampak bahagianya, adik bersorak riang, ayah hanya memandang tanpa kata seraya bertanya, “Berapa perbelanjaanya?”

Nasihat ayah penulis paling ingat, kenapa? Sebab bicara cinta ayah ringkas sahaja, sedang mama panjang lebar ceritanya. “Belajar elok-elok.” “Jangan main cinta waktu belajar.” “Jangan lupa ALLAH.” “Jangan mudah percaya lelaki.” Setiap kali telefon ayah, penulis akan sebak mendengar setiap bait katanya. Ya, katanya menusuk kalbu walau hanya seminit berbicara dengannya. Doakan ayah penulis ya, ayah sedang diuji dengan kesakitan hingga menyebabkan pergerakannya terhad, & tidak lagi bekerja.




Penulis tahu ayahnya kuat sebab tulah ALLAH uji ayah. Terima kasih Majalah SOLUSI kerana dengan kehadiran isu 65 ini sekurang-kurangnya dapat mengubat rindu penulis yang amat dalam pada ayahnya. Banyak lagi artikel lain yang terhias indah dalam buku ini hanya menunggu pembaca membeli & membacanya antaranya, ‘Tok Ayah Pengasas Dua Pondok’, ‘Kasihan Al-Qamah Si Anak Derhaka’, ‘Pencegahan Jenayah Syariah’, ‘Bukti Islam Dinamik’, ‘Tidak Berakhlak Pun Berjaya’, ‘Pesan Nenek: Barang Naik, Iman Turun’, & banyak lagi.

Bicara tentang ayah takkan pernah habis dalam kenangan penulis. Ayah insan istimewa di hatinya sama seperti ibu, ayah juga hero di mata penulis walau pada ayah ada kebaikan & kelemahannya. Walau bahasa cinta ayah terkadang kurang difahami & menimbulkan persoalan memprotes. Maaf andai puterimu ini khilaf duhai ayah, terima kasih atas kasih & sayang yang ayah curah, hanya ALLAH yang bisa membalas sehebat cinta ayah. Lirik nasyid di bawah ini penulis tujukan istimewa buat ayahanda yang disayangi kerana ALLAH, moga ayah bisa tabah dengan ujiannya.



Lirik Ayah – Aeman         
Ketika berjauhan
Masihku rasa hangat kasihmu ayah
Betapaku rindukan redup wajahmu
Hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Chorus
Walau hatimu sering terluka
Tika diriku terlanjur kata
Tak pernah sekali kau tinggalkan
Diriku sendirian
Ketika ku dalam kedukaan
Kau mendakap penuh pengertian
Di saat diriku kehampaan
Kau setia mengajarku
Erti kekuatan

Terpancar kebanggaan
Dalam senyummu
Melihatku berjaya
Bilaku kegagalan
Tak kau biarkan
Aku terus kecewa

Dengan kata azimat
Engkau nyalakan semangat
Restu dan doa kau iringkan

Ulang Chorus
Terbayang ketenangan
Yang selalu kau pamerkan
Bagaikan tiada keresahan

Ulang Chorus

Tak dapatku bayangkan
Hidupku ayah
Tanpa engkau di sisi
Semua kasih sayang
Yang kau curahkan
Tersemat di hati


No comments:

Post a Comment